logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

KUALA LUMPUR, 20 Mei 2022 - Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM telah hadir ke Majlis Pra Pelancaran Blueprint Perumahan 3.0 yang disempurnakan oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Seri Hishammuddin Hussein bertempat di Galeri Jualan Platinum South Valley, Sg Besi, hari ini.


Blueprint Perumahan 3.0 ini merupakan pelan infrastruktur perumahan yang komprehensif bagi menambahbaik agenda perumahan demi kepentingan kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran ATM serta ahli keluarga mereka dan warga awam Kementerian Pertahanan (MINDEF) yang dibina dengan bersandarkan tiga (3) objektif utama iaitu Pembinaan, Penyelenggaraan dan Pemilikan. Ia merupakan kesinambungan daripada Blueprint Perumahan 1.0 yang diperkenalkan pada tahun 2017 serta Blueprint Perumahan 2.0 yang diperkenalkan pada tahun 2019.


Dalam majlis yang sama, Menteri Kanan Pertahanan turut menyempurnakan simbolik penyerahan kepada bakal pemilik rumah SASaR di Kem Sungai Besi ini atau diberi nama ‘Residensi Sateria’. Sebanyak 3,500 unit rumah SASaR Kem Sungai Besi ini sedang dibina dan dijangka siap pada tahun 2025 dan akan dijual pada harga separuh dari pasaran. Kompleks SASaR ini bakal dimiliki dan didiami oleh 2,100 anggota ATM (merangkumi 1,260 darat, 420 laut, 420 udara); 900 veteran dan 500 kakitangan awam Kementerian Pertahanan serta dilengkapi dengan kemudahan 14 unit kedai yang hanya akan dimanfaatkan oleh usahawan veteran ATM.


Demi memastikan lebih ramai anggota, veteran ATM dan ahli keluarga mereka serta warga awam MINDEF dapat mendiami kediaman yang selesa dan kondusif, terdapat 4 program utama akan dilaksanakan di bawah Blueprint Perumahan 3.0 ini. Pertama, Pembangunan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT). Secara keseluruhannya, sebanyak 12,733 unit RKMAT baharu akan dibina menerusi 5 fasa keseluruhan dari tahun 2023 hingga 2030. Setiap rumah ini akan mengikut spesifikasi terkini dan turut akan dilengkapi perabot serta keperluan asas lain seperti taman permainan, surau, dewan serbaguna dan gelanggang sukan.


Kedua, Penyelenggaraan dan Naik Taraf. Di bawah program ini, lebih banyak RKMAT sedia ada akan melalui proses naiktaraf daripada dua unit kepada satu unit (2-to-1). Proses naik taraf ini penting memandangkan rumah sedia ada agak kecil dan hanya memiliki dua bilik tidur dan satu bilik air yang mana ia tidak lagi sesuai pada masa kini. Proses naik taraf ini bertujuan menambah keluasan rumah dan bilangan bilik tidur serta bilik air sekaligus meningkatkan keselesaan anggota dan ahli keluarga yang mendiaminya.


Ketiga, Program Pemilikan Rumah Mampu Milik. Di bawah program ini, lebih banyak program di bawah inisiatif Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) akan dibina sehingga tahun 2030 yang ditawarkan khusus kepada anggota ATM serta veteran dan akan dijual kepada mereka pada harga mampu milik. Ini termasuklah 3,500 unit di Kem Sungai Besi yang sedang dibina dan bakal siap pada tahun 2025; 974 unit yang dijangka mula dibina di Kem Wardieburn pada tahun 2023 hingga tahun 2025; dan 6,400 unit di Kem Genting Klang bermula tahun 2028 hingga 2034.


Keempat, Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM. Untuk tahun 2022, di bawah Blueprint ini, sebanyak 30 unit rumah baharu akan dibina khusus untuk veteran ATM yang terpilih manakala 70 unit lagi akan dinaiktaraf.

Lihat Galeri Gambar