PUTRAJAYA, 18 Mei 2022 - Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM telah mempengerusikan 2 mesyuarat iaitu Lembaga Gabenor MPAT ke-62 dan Lembaga MTAT ke-84 bertempat di Bilik Mesyuarat Kalam Azad, Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), hari ini.
Mesyuarat ini adalah bertujuan untuk memantau perlaksanaan kedua-dua kursus ini yang komited terhadap mencapai kejayaan jangka panjang bagi maktab ini dalam usaha membentuk pemimpin masa depan Angkatan Tentera Malaysia amnya. Lembaga Gabenor bertanggungjawab secara kolektif untuk menentukan persekitaran pembelajaran dan hala tuju aktivitinya. Ini termasuk untuk menentukan pelan strategik berterusan bagi maktab ini sentiasa bersifat dinamik dan berupaya untuk memacu maktab ini menjadi sebuah institusi pendidikan ketenteraan yang profesional dan terulung dalam Angkatan Tentera Malaysia khasnya.
Lembaga Gabenor terdiri daripada kalangan pemimpin tertinggi tentera dari setiap perkhidmatan ATM dan juga dari Kementerian Pertahanan (MINDEF). Pengalaman ketenteraan dan latar belakang pendidikan mereka yang luas telah menjadi asas kejayaan maktab ini sejak awal penubuhan maktab ini.