logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

PROFIL SARJAN MEJAR REJIMEN ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

smratm
1098007 PW 1 HAYAZI BIN ABDUL AZIZ

AMN BAT BSD PPT BKT PCK PPS PPA

Beliau dilahirkan pada 19 September 1974 di Alor Setar Kedah. Mula menceburi Perkhidmatan Tentera Darat pada 10 April 1993 di Pusat Latihan Rekrut (PLR) dahulunya dan sekarang dikenali sebagai Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) selama 5 bulan di Port Dickson Negeri Sembilan dan seterusnya pada 3 Oktober 1993 beliau ditempatkan di Batalion Ke Sembilan Rejimen Askar Melayu Diraja (Para), Kem Terendak, Melaka. Di sepanjang perkhidmatan, beliau telah menunjukkan sikap dedikasi dan ketekunan kerja yang tinggi dan berusaha dengan gigih untuk meningkat maju dalam kerjaya ketenteraan. Hasil daripada kesungguhan dan dedikasi yang telah dipamerkan dalam tempoh 26 tahun perkhidmatan, beliau telah berjaya mencipta sejarah menyandang jawatan sebagai Sarjan Mejar Rejimen Angkatan Tentera Malaysia (SMR ATM) yang pertama pada 27 September 2019 semasa Perbarisan Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia ke-86 di Padang Kawad KD Pelanduk, Pengkalang TLDM Lumut, Perak.

Pegawai Waren Satu Hayazi bin Abdul Aziz juga telah memegang beberapa Jawatan lain sepanjang tempoh perkhidmatan, Di antaranya adalah sebagai Anggota Repalman, Penolong Ketua Seksyen, Ketua Seksyen, Sarjan Platun, Probos Sarjan, Kompeni Sarjan Mejar danPegawai Waren Jurulatih Payung Terjun di 9 RAMD (Para). Selain daripada itu, beliau telah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Sarjan Mejar Rejimen di Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada 17 Ogos 2006 hingga 19 Ogos 2009, Sarjan Mejar Rejimen Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 20 Ogos 2009 hingga 30 Jun 2013, Sarjan Mejar Rejimen Markas Medan pada 1 julai 2013 hingga 29 April 2014, Sarjan Mejar Rejimen Kor Infantri pada 30 April 2014 hingga 6 Mei 2015 dan Sarjan Mejar Rejimen Tentera Darat (SMR TD) pada 7 Mei 2015 hingga 5 Oktober 2019, dengan ketokohan beliau, maka beliau telah diberi kepercayaan dan mandat oleh pucuk pimpinan Angkatan Tentera Malaysia untuk menjawat jawatan sebagai Sarjan Mejar Rejimen Angkatan Tentera Malaysia yang Pertama.

Kursus-kursus kerjaya dan kepakaran yang telah dihadiri beliau di sepanjang perkhidmatan adalah Kursus Asas Payung Terjun di PULPAK, Asas Kerani di 17 RAMD (Para), Kadar Pasukan di 9 RAMD (Para), Asas Semboyan di 9 RAMD (Para), Jurulatih Abselling Repelling dan Penyelamat Udara di PULPAK, Pengesan Tempur di PULADA, Ketua Penerjunan di PULPAK, Ketua Seksyen di PULADA, Asas Tempur Tanpa Senjata (TTS) di 9 RAMD (Para), Jurulatih Payung Terjun di PULPAK, Kursus Pentadbiran Sarjan Platun (KPSP) di 9 RAMD (Para), Sjn Platun di PULADA, Kursus Pentadbiran Sarjan Mejar Kompeni (KPSMK) di IPDA, Kursus Kawad dan Pentadbiran Pegawai Tidak Tauliah Kanan (KPPTTK) di IPDA. Semua kursus-kursus yang dihadirinya memperolehi keputusan yang cemerlang dan membanggakan.

Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Yusandayu binti Yahaya. Sepanjang perkongsian hidup, mereka telah dianugerahkan dua orang cahayamata lelaki yang memberi kekuatan untuk beliau lebih berjaya demi anak-anak yang disayangi. Beliau juga memanfaatkan masa lapang beliau dengan aktiviti kerohanian disamping beriadah bersama keluarga dan beliau adalah seorang yang peramah serta amat disegani oleh rakan-rakan.

Di dalam jawatan ini, beliau bertindak sebagai penasihat dan bertanggungjawab terus kepada Panglima Angkatan Tentera mengenai aspek-aspek kebajikan anggota/keluarga LLP dalam ATM. Beliau juga bertindak sebagai penasihat kepada Panglima Angkatan Tentera dalam perkara-perkara yang melibatkan dasar-dasar perkhidmatan, kerjaya dan hal ehwal sosial anggota LLP. Beliau juga merupakan wakil kepada anggota LLP bagi membawa semua usul kepada pucuk pimpinan tertinggi ATM berhubung segala maklumat yang diterima berkaitan pendapat dan masalah anggota untuk perhatian dan tindakan pihak atasan MK ATM. SMR ATM juga perlu mengiringi lawatan dan perbarisan yang dihadiri oleh Panglima Angkatan Tentera serta memberi maklum balas kepada pihak atasan berkaitan perkara yang perlu diambil tindakan. Beliau juga bertanggungjawab untuk menyelia tugas-tugas SMR bagi perkara yang melibatkan rejimental dan pengurusan. Beliau juga bertanggungjawab menyelaraskan pengurusan sumber manusia melibatkan anggota LLP yang bertugas di MK ATM.