logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

KUALA LUMPUR, 18 Mei 2022 - Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM telah menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Komander National Task Force (NTF) di antara Laksamana Madya Dato’ Aris Adi Tan bin Abdullah dengan Laksamana Madya Dato’ Roslan bin Mohd Yunus bertempat di Wisma Pertahanan pada 18 Mei 2022.
Laksamana Madya Dato’ Aris Adi Tan bin Abdullah yang telah menjawat jawatan Komander NTF sejak penubuhan NTF pada Mei 2020 akan memulakan cuti persaraan pada 19 Mei 2022 setelah mencurahkan bakti selama 42 tahun dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Manakala, Komander NTF yang baharu, Laksamana Madya Dato’ Roslan bin Mohd Yunus sebelum ini merupakan Panglima Wilayah Laut 2 Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berpusat di Telok Sepanggar Sabah telah dinaikkan ke pangkat Laksamana Madya pada 17 Mei 2022.


Mengimbas kembali penubuhan NTF, YAB Perdana Menteri pada masa itu, telah menurunkan mandat untuk memperkasakan kawalan sempadan negara dari kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bagi mengekang penularan wabak COVID-19 masuk ke negara. PAT telah diarahkan untuk menubuhkan dan mengetuai NTF bagi perlaksanaan Op BENTENG berkenaan selaras dengan pengarahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN). Direktif pemula Op BENTENG telah dikeluarkan secara rasmi pada 06 Mei 2020 selaras dengan keperluan operasi semasa.


Mengimbas kembali, Laksamana Madya Dato’ Aris Adi Tan bin Abdullah sebelum menjawat jawatan sebagai Komander NTF, beliau merupakan Panglima Armada Barat di Pangkalan TLDM Lumut. Beliau yang sepatutnya menjalani persaraan wajib pada tahun 2021 namun dengan perlantikan sebagai Komander NTF, tempoh perkhidmatan beliau telah ditambah setahun lagi. Pencapaian Op BENTENG di bawah kepimpinan beliau telah menunjukkan banyak kejayaan contohnya kawalan sempadan negara terkawal dan penangkapan PATI semakin berkurangan. Selain kejayaan memperketatkan kawalan sempadan, NTF juga berjaya menjadi pemudah proses kerja setiap agensi dalam mencapai misi yang diamanahkan. NTF juga berjaya menyelaras perkongsian maklumat perisikan antara agensi yang terlibat melalui pasukan petugas risikan bersama dan mengkoordinasikan perolehan logistik semua agensi terlibat.


Dengan pengalaman dan keperibadian tinggi yang dimiliki oleh Laksamana Madya Dato’ Aris Adi Tan, beliau telah berjaya menyatukan kesemua 19 agensi keselamatan dan penguatkuasaan menjadi sebuah pasukan yang telah dapat merealisasikan hasrat negara dengan lancar dan berkesan sehingga ke hari ini. Tugas untuk menyatukan 19 agensi di bawah satu pucuk pimpinan bukannya satu tugas mudah memandangkan setiap agensi mempunyai latarbelakang dan budaya kerja yang berbeza. Kesepaduan ketiga-tiga komponen darat, laut dan udara di bawah NTF juga berjaya melaksanakan Op BENTENG secara optimum dengan menggunakan aset sedia ada tanpa mengganggu operasi sedia ada.


Bagi pihak Kerajaan Malaysia dan ATM merakamkan setinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Laksamana Madya Dato’ Aris Adi Tan bin Abdullah kerana telah berjaya membawa NTF dan Op BENTENG ke tahap yang amat membanggakan. PAT berharap agar segala usaha dan buah fikiran mantan Komander NTF dalam mengkoordinasikan NTF dan operasi bersepadu ini akan diteruskan oleh semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan. Operasi bersepadu seumpama ini bukan sahaja sesuai dilaksanakan dalam situasi COVID-19 tetapi ia juga sangat praktikal digunakan untuk semua ancaman samada dalam atau luar negara. Konsep Whole Of Government Approach atau pengembelingan keseluruhan jentera kerajaan memang mendatangkan keberkesanan berbanding dengan bekerja secara “silo” yang dipraktiskan sebelum ini.


Perlantikan Laksamana Madya Dato’ Roslan bin Mohd Yunus mengambil alih tampuk selaku Komander NTF yang baharu adalah bagi memastikan kesinambungan Op BENTENG berjalan seperti biasa dan tidak tergendala sehingga MKN telah bersedia untuk mengambilalih operasi ini dari NTF seperti yang dirancangkan iaitu pada 30 Jun 22 ini. Turut hadir dalam Majlis Serah Terima Tugas Komander NTF adalah Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany; Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato’ Indera Hj. Yazid bin Hj. Arshad TUDM; Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA), Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Haji Ahmad; Wakil Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM, SAC Mohamad Azlin bin Haji Sadari; Wakil Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Muda Maritim Hamid bin Haji Mohd Amin; Wakil Pengarah Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Jabatan Imigresen Malaysia, Encik Megat Putera Nizman bin Megat Hussin serta pegawai-pegawai kanan dari ATM, Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ) & Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Lihat Galeri Gambar