logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

PUTRAJAYA, 10 Jun 2023 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan bercemar duli ke Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji SPB Yang di-Pertuan Agong sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda bertempat di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya hari ini.

Turut berangkat sama adalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. Sempena istiadat ini sebanyak lima (5) Panji-Panji SPB Yang di-Pertuan Agong diarak oleh kontinjen-kontinjen dari tiga (3) perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM) melibatkan Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Kor Armor Diraja (KAD) di samping Panji-Panji Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Istiadat ini melibatkan 131 pegawai dan 1,087 anggota lain-lain pangkat (LLP) di mana dari jumlah keseluruhan tersebut, seramai 57 pegawai dan 862 anggota LLP diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Azamri bin Abdullah, Pegawai Memerintah Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) adalah mereka yang terlibat dalam perbarisan istiadat berkenaan. Istiadat berkenaan turut diserikan dengan penglibatan lima buah pesawat ATM iaitu 3 buah Helikopter EC725AP, sebuah Agusta 109 dan sebuah Superlynx yang membuat formasi terbang lintas hormat dengan membawa Bendera Jalur Gemilang, Bendera ATM, TDM, TLDM dan TUDM diketuai oleh Mejar Mohd Husni Bin Mohd Tarmizi TUDM dari No 10 Skuadron, Pangkalan Udara Kuantan bersama dengan Tembakan Kehormatan 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohammad Asri bin Che Wil. Keseluruhan perbarisan pada pagi ini diiringi oleh gabungan Pancaragam Pusat Angkatan Tentera Malaysia di bawah pimpinan Leftenan Kolonel (DOM) Muhamad Nor Azizan bin Yahaya.

Istiadat ini diadakan 3 kali dalam tempoh lima (5) tahun pemerintahan bagi setiap Raja Melayu yang dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu bagi tahun pertama, tahun ketiga dan tahun terakhir pemerintahan. Tahun pertama pemerintahan Seri Paduka Baginda, istiadat ini dilaksanakan pada tahun 2019. Pada tahun ketiga pemerintahan iaitu pada tahun 2021 tidak dapat dilaksanakan akibat penularan wabak COVID-19, namun ia dibawa pada tahun lepas iaitu 2022 dan tahun kelima ini Seri Paduka Baginda sekali lagi telah memberi perkenan untuk Istiadat ini dilaksanakan. Perbarisan mengarak Panji-Panji adalah satu istiadat yang penuh dengan aspek rejimental dan protokol kepada ATM itu sendiri.

Panji-Panji merupakan satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat dan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh ATM terhadap Raja dan Negara. Dilihat dari sudut sejarah, Panji-Panji itu sendiri berasal daripada bendera yang digunakan oleh suatu ketumbukan angkatan tentera pada zaman dahulu. Walaupun begitu, pada hari yang serba moden ini, Panji-Panji tersebut masih mempunyai peranannya yang signifikan di dalam pembangunan sesebuah angkatan yang moden. Ianya sebagai pengisi kekuatan ‘intangible’ di kalangan warga serta menjadi asas kepada sistem-sistem ataupun platform berteknologi tinggi yang di kira sebagai kekuatan ‘tangible’. Di dalam era moden ini, Panji-Panji serta upacara mengaraknya menyumbang kepada lambang perhubungan sesuatu pasukan atau ketumbukan dengan institusi di Raja dan kerajaan di bawah naungan Baginda.
Panji-Panji ini juga amat penting sebagai identiti serta pemilikan (ownership) setiap warga pasukan ke atas sikap tanggungjawab, legasi dan taat setia yang tidak berbelah bagi terhadap Raja dan negara. Perkataan ‘Battle Honours’ yang tertera di atas Panji-Panji melambangkan pertempuran dan kempen-kempen yang telah dilalui oleh Rejimen atau pun pasukan tersebut. Ini sebagai tanda peringatan kepada setiap warganya tentang pengorbanan yang telah dilalui oleh generasi terdahulu sebelum layak dianugerahkan Panji-Panji berkenaan. Panji-Panji ini juga akan sentiasa dipertahankan sehingga ke titisan darah terakhir.

Kegagalan mempertahankannya sehingga ia jatuh ke tangan musuh serta sebarang perlakuan yang boleh dianggap mengkhianati kepercayaan Raja dan rakyat merupakan suatu ‘kehinaan’ yang tidak boleh dipandang ringan. Justeru, dapat dirumuskan bahawa betapa pentingnya Panji-Panji ini untuk dimuliakan dan apabila ianya diarak, akan menjadi tanda penghormatan warga ATM dalam menzahirkan taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Pada masa yang sama, dalam keadaan aman, apabila Panji-Panji dibawa berarak dalam sesuatu istiadat, selain dari dapat membangkitkan semangat keperwiraan, secara tidak langsung ia juga dapat meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya menjaga maruah negara melalui simbol Panji-Panji ini. Selain itu, perarakan ini juga sebagai tanda jaminan di atas kesanggupan setiap warga Perkhidmatan, Rejimen mahupun pasukan untuk rela berkorban demi mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara serta nilai-nilai rakyat Malaysia.

Turut hadir dalam Istiadat ini adalah Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim serta isteri, YABhg Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof dan isteri, YABhg Datin Sri Hajah Ruziah Binti Mohd Tahir; Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Hasan; Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly bin Zahari; Ketua Setiausaha Negara, YBhg Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Bin Ali dan isteri Puan Sri To’Puan Seri Norizam Binti Che Mohd Nor; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM; Panglima-panglima Perkhidmatan ATM, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, tetamu kenamaan dari kedutaan dan penasihat pertahanan luar negara, pihak pengurusan tertinggi ATM dan Kementerian Pertahanan.

Lihat Galeri Gambar