logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

KUALA LUMPUR, 5 Julai 2023 – Ketua Pengarah Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP), Laksamana Muda Dato’ Ts. Shamsuddin bin Hj Ludin telah mempengerusikan 10th ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM) - Experts’ Working Group (EWG) on Cyber Security (CS) yang bermula semalam 4 Julai hingga 5 Julai 2023 di Sunway Putra Hotel.
Persidangan pada kali ini telah dipengerusikan oleh Malaysia dan Republik Korea (ROK) sebagai Pengerusi Bersama bagi 10th ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM) - Experts’ Working Group on Cyber Security dari tahun 2021 hingga 2023 yang mana Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) bersama-sama Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik (BDPS) Kementerian Pertahanan telah dilantik sebagai agensi pelaksana kepada Malaysia bagi persidangan ini.

ADMM Plus (ADMM+) adalah satu mekanisme pertahanan multilateral yang melibatkan negara-negara ASEAN (Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara) dan lapan negara Plus (Australia, China, India, Jepun, Korea, New Zealand, Rusia, dan Amerika Syarikat). Ia merupakan perluasan dari Mesyuarat Pegawai Kanan Pertahanan ASEAN (ADSOM) yang melibatkan penglibatan negara-negara Plus dalam kerjasama pertahanan. ADMM Plus ditubuhkan pada tahun 2010 dengan matlamat untuk memperkuatkan hubungan dan kerjasama pertahanan di rantau Asia Tenggara dan serantau Asia-Pasifik. Ia berfungsi sebagai platform bagi negara-negara anggota untuk berbincang dan bekerjasama dalam pelbagai bidang pertahanan, termasuk latihan ketenteraan bersama, dialog politik pertahanan, dan kerjasama dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau.

Objektif utama EWG CS adalah untuk menangani isu keselamatan siber dengan mengenalpasti pembangunan kecekapan teras dan merumuskan pendekatan praktikal bagi meningkatkan keselamatan siber serta melaksanakan penyelesaian segera. Selain itu, inisiatif ini bertujuan membina keyakinan dan hubungan di antara negara-negara yang terlibat melalui penubuhan Mekanisme Titik Hubungan (Point of Contact, POC). ADMM Plus telah menjadi platform penting bagi negara-negara ASEAN dan negara-negara Plus untuk berinteraksi, membina hubungan dan kepercayaan, dan bekerjasama dalam mendepani cabaran keselamatan siber serantau. Ia memainkan peranan yang penting dalam membina kestabilan dan keselamatan di rantau Asia Tenggara dan serantau Asia-Pasifik secara keseluruhannya.

Selain itu, perbincangan pada kali ini memberi penekanan kepada pembangunan sebuah cyber security framework (CSF) yang berfungsi sebagai panduan bersama ke arah EWG mengenai aspirasi, prinsip dan tingkah laku CS yang akan digunapakai oleh negara ahli ADMM-Plus. Ia juga berfungsi sebagai pemboleh utama ke arah meminimumkan jurang kapasiti dan keupayaan CS antara negara melalui promosi perkongsian maklumat dan kesedaran serta mendokumentasikan komunikasi bersama prosedur dalam bertindak balas terhadap serangan siber. CSF juga merujuk kepada undang-undang dan perjanjian antarabangsa serta menghormati undang-undang negara untuk menggalakkan penggunaan prinsip tingkah laku bertanggungjawab Negara ke arah mewujudkan keadaan yang lebih selamat, aman, dan persekitaran siber yang berdaya tahan.

Dalam pada itu, inisiatif ini juga dapat meningkatkan pembinaan kapasiti siber dan kebolehoperasian ADMM-Plus melalui pengendalian persidangan, seminar dan latihan. Kemunculan Revolusi Perindustrian Ke-4 yang terdiri daripada Internet of Things (IoT), pengkomputeran awan, data besar, 5G dan kecerdasan buatan (AI) telah mendedahkan infrastruktur kerajaan termasuk operasi ketenteraan kepada ancaman siber. Oleh itu, adalah pentingnya rancangan pembangunan yang berterusan dalam kapasiti ADMM-Plus termasuk membincangkan kaedah komunikasi bersama untuk bertindak balas terhadap ancaman siber, bertukar-tukar maklumat dan membina rangkaian di kalangan pegawai kerajaan dan tentera, ahli akademik dan pemain industri. Ini akan membantu mengurangkan jurang keupayaan, membina kepercayaan dengan persamaan yang lebih kukuh, dan meningkatkan kerjasama praktikal.

Sebagai kesimpulan, ADMM-Plus EWG CS dilihat dapat bertindak sebagai platform terbaik bagi negara-negara anggota ASEAN dan negara-negara Plus untuk bekerjasama dalam meningkatkan kerjasama keselamatan siber serta memperkukuhkan keselamatan siber dan seterusnya membina keyakinan di antara negara-negara yang terlibat dengan menumpukan kepada kecekapan teras, pendekatan praktikal, dan penyelesaian segera. Sebagai platform yang kondusif, jurang kompetensi dapat dikenal pasti dan kerja ke arah membina asas bersama di kalangan negara ADMM-Plus dalam menentang ancaman siber boleh dirangka secara bersama.

 

Lihat Galeri Gambar