logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

KUALA LUMPUR, 4 Oktober 2023 – KDYMM Tuanku Sultan Kedah, Al-Aminul Karim, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah selaku Kolonel Yang di-Pertua Rejimen Askar Melayu Diraja telah menyempurnakan Istiadat penganugerahan Panji-panji Rejimen kepada Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD) di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, yang turut dihadiri oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman.
 
Penganugerahan panji-panji di dalam ATM telah dilaksanakan bermula pada 12 Februari 1950 kepada pasukan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang mana ketika itu disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya, yang mewakili Ratu Elizabeth Ke-2.
 
Batalion 23 RAMD adalah merupakan Batalion yang ke-23 dianugerahkan panji-panji rejimen daripada jumlah keseluruhannya; 26 Batalion. Batalion ini secara rasminya ditubuhkan pada 1 Mac 1979 yang kini berusia 44 tahun. Dengan Cogan Kata “Hubbul Watan Minal Iman” Batalion ini memegang kepada pengorbanan demi cinta dan kasih sayang untuk tanah air, agama, nusa dan bangsa adalah separuh daripada iman.
 
Sehingga kini, seramai 25 orang Pegawai Memerintah yang mana Pegawai Memerintah Ke-13 adalah Panglima Angkatan Tentera sekarang iaitu Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohamad bin Ab Rahman. Batalion ini juga turut melahirkan beberapa orang pemimpin kanan dalam TD; antaranya adalah Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato’ Muhammad Hafizuddeain bin Jantan dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi bin Sabri.
 
Perbarisan yang penuh dengan istiadat ini melibatkan seramai 23 pegawai dan 386 anggota lain-lain pangkat dari 23 RAMD yang diketuai oleh Pegawai Memerintah, Leftenan Kolonel Mohd Azroi bin Ariffin Shah. Penolong Ketua Perbarisan adalah Mejar Sharil Indera bin Hj Salahuddin, manakala pegawai pembawa panji-panji adalah Lt Azrul bin Ishak dan Lt Ainul Azlisham bin Abdul Roni.
 
Hadir sama dalam istiadat berkenaan adalah Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato’ Muhammad Hafizuddeain bin Jantan; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah D.A., YB Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali; Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad; Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim; Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi bin Sabri; Panglima Medan Timur TD, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi bin Md Lepi serta panglima-panglima Formasi.