logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

KUALA LUMPUR, 7 Mac 2023 – Markas Angkatan Tentera Malaysia (MATM) telah menganjurkan perbarisan ulung Sarjan Mejar Rejimen Angkatan Tentera Malaysia (SMR ATM) bertempat di Padang Kawad, Kem Kementah, hari ini. Seramai 541 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang berkhidmat di bawah naungan Markas ATM telah terlibat dalam menjayakan Perbarisan SMR ATM yang julung kali dilaksanakan pada tahun ini. Ketibaan Pegawai Waren 1 Hayazi bin Abdul Aziz, SMR ATM telah disambut oleh Pegawai Waren 1 PAP (GI) Saiful Hisham bin Abd Azis, SMR Istiadat ATM ke pentas utama. Seterusnya Ketua Perbarisan iaitu Pegawai Waren 1 Nik Mohd Khairy bin Ibrahim telah melapor kekuatan anggota perbarisan yang hadir sebelum nyanyian lagu ATM dimulakan.


Acara diteruskan dengan pemeriksaan perbarisan yang turut disertai oleh SMR terkanan dari setiap BCJ bagi memastikan setiap anggota terlibat sentiasa dalam keadaan segak dan mematuhi etika pemakaian tentera yang ditetapkan. SMR ATM dalam pengucapannya telah mengingatkan kepada seluruh anggota agar sentiasa menjaga dan mengekalkan tahap disiplin yang tinggi disamping menjaga penampilan yang kemas pada setiap masa serta sentiasa memberi penghormatan kepada yang lebih terkanan. Hal ini adalah merupakan asas utama dalam nilai-nilai rejimental bagi seorang tentera yang perlu diterap dan sentiasa dipatuhi oleh setiap lapisan warga ATM khasnya. Selain itu, beliau turut menekankan agar sentiasa mengutamakan aspek amanah dalam tanggungjawab yang diberikan berpandukan kepada prinsip dan peraturan ATM yang telah digariskan agar imej organisasi sentiasa terpelihara sebilang masa.


Penganjuran perbarisan seumpama ini adalah selaras dengan hasrat Panglima Angkatan Tentera dalam Teras Kedua Perintah Ulung beliau iaitu memperkasa warga ATM yang cemerlang dalam segenap aspek termasuk profesionalisme, siasah warganya dan pembangunan nilai-nilai murni yang bersendikan kekuatan semangat berpasukan.

Lihat Galeri Gambar