logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

KUALA LUMPUR, 9 Disember 2021 – Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Ismail Sabri hari ini telah merasmikan Program Hari Terbuka 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Program yang bermula hari ini hingga 12 Disember itu merupakan antara inisiatif kerajaan dalam menyemarakkan lagi semangat Keluarga Malaysia merentasi agama, kaum, warna kulit dan sempadan.

Program ini juga antara lain menyeru rakyat Malaysia mengetepikan perbezaan dalam memulihkan semula negara untuk mengembleng tenaga dalam cabaran mendepani pandemik COVID-19 dan merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Antara pengisian program adalah karnival kerjaya, persembahan kebudayaan, malam aspirasi seni, jualan usahawan, sukan rakyat, galeri pencapaian kementerian serta program bantuan.

Ruang pameran daripada setiap kementerian merupakan antara tarikan yang disediakan bagi memberikan informasi kepada pengunjung atas setiap inisiatif dan pencapaian prestasi kementerian bagi tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan.

Ruang pameran bagi Kementerian Pertahanan mempamerkan kejayaan Kementerian yang diterajui oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein yang memberi perhatian dalam usaha memerangi COVID-19, menjamin keselamatan dan ketenteraman negara serta meningkatkan kesejahteraan sosial.

Sebanyak 15 inisiatif daripada 6 perkara AKM sebagai tanda aras 100 hari sepertimana yang telah ditetapkan telah berjaya dicapai oleh Kementerian Pertahanan. Enam aspirasi tersebut adalah Covid-19; Kawalan Sempadan; Hubungan Antarabangsa; Perumahan; Jiwa Murni dan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Sehingga 8 Disember 2021, semua 15 inisiatif ini telah berjaya dilaksanakan dan mencapai tahap sasaran 100 peratus.

Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut mempromosikan kerjaya ATM melalui ruang pameran yang disediakan di Booth 50 Tingkat 1 dalam memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kemasukan sebagai pegawai dan anggota bagi setiap perkhidmatan Tentera Darat, Laut dan Udara.

Aspirasi Keluarga Malaysia dicetuskan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai satu manifestasi bagi memastikan budaya kerja berprestasi tinggi di kalangan penjawat awam agar penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan baik demi menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat terutamanya dalam menghadapi tempoh pasca pandemik COVID-19.

Turut hadir bersama Menteri Kanan Pertahanan dalam perasmian program ini adalah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato' Sri Muez bin Abd Aziz.

Lihat Galeri Gambar