logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

 

JOHOR BAHRU, 17 Mac 25 - "Jangan tanya apa kamu inginkan, tapi tanya apa yang kamu mampu sumbang kepada Perkhidmatan ini", ujar Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Hj Mohd Nizam bin Hj Jaffar dalam program dialog bersama The Navy People di Pangkalan TLDM Johor Bahru hari ini. PAT dalam ucapan pembukaannya menyeru agar seluruh warga The Navy People menerapkan rasa bangga menjadi sebahagian daripada ketumbukan keramat Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Program dialog tersebut merupakan sebahagian daripada agenda utama beliau semasa Lawatan Kerja ke Pangkalan TLDM Johor Bahru. Program ini yang dilaksanakan dalam dua sesi yang turut disertai oleh Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Datuk (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain telah dihadiri kira-kira 75 orang bagi sesi bersama Jawatankuasa Laksamana (JLAKS) TLDM dan Pegawai yang dilaksanakan di Cakerawala Lounge, manakala 170 orang bagi sesi Lain-Lain Pangkat yang berlangsung di Auditorium Bangunan Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM.

Sesi dialog tersebut merupakan inisiatif daripada PAT dan pucuk pimpinan ATM untuk memahami dan menyelami luahan hati The Navy People di peringkat akar umbi. Sesi ini menyediakan platform terbuka dan neutral bagi pertukaran pandangan, pemberian pendapat, serta perkongsian perspektif antara pihak PAT/pucuk pimpinan ATM dengan warga ATM berkaitan isu-isu dan perkara-perkara yang relevan. Dalam ucapan pembukaannya, PAT juga turut menekankan kepada warga ATM agar mengambil kira dan mengaplikasikan Inisiatif MADANI yang diperkenalkan Kerajaan, 10 fokus utama Kementerian Pertahanan, di samping 13 perkara yang terkandung dalam Ucaptama PAT, sebagai panduan dalam setiap langkah tindakan di semua peringkat. Semua ini bertujuan untuk memastikan ATM dapat terus menyokong Dasar Keselamatan Negara dan Kertas Putih Pertahanan, seterusnya menjamin kedaulatan tanah air yang kekal terpelihara.

Selain itu, turut ditampilkan adalah wakil daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Koperasi Tentera (KT) yang didatangkan khas bagi memberikan penjelasan mengenai caruman dan lain-lain manfaat yang ditawarkan oleh LTAT dan KT. Hadirin yang hadir turut diberi peluang melontarkan soalan berkaitan untuk dijawab oleh wakil LTAT dan KT.

Seusai kesemua sesi dialog, PAT bersama JLAKS TLDM dan warga Pangkalan TLDM Johor Bahru telah bersama-sama berbuka puasa di Dewan Serbaguna. Terdahulu, satu sesi tazkirah ringkas telah disampaikan oleh Pengarah Cawangan Agama Markas Tentera Laut, Kol Ahmad Kamil bin Hj Abdulllah diikuti dengan berbuka puasa serta solat Maghrib berjemaah. Seusai berbuka, PAT menghadiri majlis makan malam bersama The Navy People di Padang Kawad.

Sebelum mengakhiri sesi lawatan kerja, PAT turut menyampaikan sumbangan kebajikan kepada Pegawai dan Anggota serta ahli keluarga warga Navy People yang berkelayakan untuk menerima sumbangan daripada Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) atas masalah kesihatan yang dihadapi. Semoga sumbangan yang dihulurkan dapat meringankan sedikit beban kepada individu yang terlibat.

Lawatan kerja ini menggambarkan kesungguhan ATM dalam memperkukuh semangat anggota serta memahami cabaran yang dihadapi oleh warga pasukan. Interaksi langsung antara kepimpinan tertinggi dan anggota di peringkat operasi adalah penting dalam memastikan kesiagaan angkatan laut negara kekal ampuh serta kredibel dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara.

Turut serta dalam sesi ini adalah Timbalan Panglima Tentera Laut; Laksdya Dato' Ts. Shamsuddin bin Hj Ludin; Inspektor Jeneral MK ATM, Laksda Dato' Pahlawan Farizal Myeor, Panglima Pasukan Simpanan TLDM, Laksma Azhar bin Adam; barisan kepimpinan TLDM, para pegawai dan anggota warga The Navy People.

Lihat Galeri Gambar