
LEFTENAN JENERAL DATO' AZHAN BIN HJ MD OTHMAN
PSAT DPKK PAT JMN KAT AMK PJM PNBB (Lebanon)
Dip Strategic & Defence Studies (UM) Fellow Scholar (NDUM) nrc
Leftenan Jeneral Dato’ Azhan bin Hj Md Othman telah dilantik sebagai Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia pada 4 Februari 2025. Beliau dilahirkan di Muar, Johor pada tanggal 4 September 1969. Beliau mula menceburi bidang ketenteraan dengan mengikuti Latihan Pegawai Kadet di Sungai Besi pada 25 Ogos 1987. Beliau telah ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 29 Julai 1989 dan memulakan perkhidmatannya sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja.
Sebagai seorang Pegawai Infantri, Leftenan Jeneral Dato’ Azhan bin Hj Md Othman telah berkhidmat sebagai seorang Pegawai Staf dan Pemerintah bagi beberapa jawatan. Beliau telah dinaikkan pangkat ke Leftenan Kolonel pada 1 Mei 2007 dan dipertanggungjawabkan sebagai Pegawai Memerintah Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja. Beliau kemudiannya telah diarahkan untuk ke Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) sebagai Juruarah pada 14 Januari 2010 dan seterusnya menghadiri kursus peningkatan kerjaya French Joint Defence College - War College (Ecole de Guerre) di France Military Academy pada 1 Januari 2012 sehingga 30 Jun 2013. Beliau sebelumnya dilantik sebagai Panglima Ke-2 Divisyen Infantri Malaysia yang terletak di Pulau Pinang sebelum dilantik sebagai Asisten Ketua Staf di Cawangan Operasi dan Latihan di Markas Tentera Darat, Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur pada 6 September 2024.
Berdasarkan kepimpinan dan perwatakan, beliau telah diberikan kepercayaan untuk memimpin Batalion Siap Sedia Tentera Darat sebagai Komander bermula 1 Ogos 2017 hingga 5 September 2018 dan seterusnya dilantik sebagai Komander MALBATT 850-6 bermula 6 September 2018 hingga 9 November 2019. Beliau juga memiliki Diploma Pengajian Strategik dan Pertahanan dari Universiti Malaya pada tahun 2002 dan kursus kerjaya terakhir beliau adalah Kursus Ketahanan Nasional di Maktab Ketahanan Nasional pada tahun 2021. Leftenan Jeneral Dato’ Azhan bin Hj Md Othman telah menerima beberapa pengiktirafan daripada Kerajaan Malaysia serta Kerajaan Negeri di atas segala jasa bakti yang dicurahkan olehnya. Beliau juga telah diperkenan bagi menerima Ahli Yang Kehormat Yang Kedua (Dato’ Paduka) bagi Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (D.P.K.K) dengan membawa gelaran Dato’.
Leftenan Jeneral Dato’ Azhan bin Hj Md Othman telah mendirikan rumahtangga bersama Datin Noor Ainy binti Mohd Ali pada 25 Mei 1996 dan dikurniakan dengan sepasang cahaya mata. Beliau merupakan seorang yang gemar membaca buku-buku ilmiah, menonton televisyen dan bersukan pada masa lapang.


Aduan & Maklumbalas
Soalan Lazim
Hubungi Kami
Peta Laman