logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

SERDANG, 7 Ogos 21 - Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM semalam telah mengiringi YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob , Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pertahanan; membuat lawatan kerja ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRCB), MAEPS, Serdang bagi meninjau pengoperasian Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley Special Task Force (GKV STF) yang beroperasi di pusat berkenaan.

Greater Klang Valley Special Task Force (GKV STF) dianggotai seramai 12 pegawai yang terdiri daripada pakar-pakar kesihatan dan perubatan, logistik perubatan dan pentadbiran di bawah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT) serta lima pegawai dari Bahagian Logistik Petahanan ATM telah diaturgerakkan mulai 18 Jul 21. Gerak kerja GKV STF dilaksanakan mengikut kluster masing-masing dan ketika ini Bilik Operasi Sementara ditempatkan di MAEPS atas kerjasama oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

GKV STF bertindak untuk melaksanakan mandat yang diberikan dalam menangani peningkatan penularan wabak COVID-19 di kawasan Lembah Klang termasuk utara Negeri Sembilan, barat Pahang dan selatan Perak. Pada 16 Jul 21 lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan mesyuarat bersama ATM melalui PKAT tentang keperluan kerjasama di antara kedua-dua organisasi ini bagi melaksanakan dengan segera pelan tindakan kawalan pandemik COVID-19 di Greater Klang Valley ini.

Bagi memastikan tindakan pelaksanaan dapat dilakukan dengan segera dan sebaiknya, organisasi GKV STF diterajui bersama oleh KKM dan ATM di mana pelantikan secara rasmi oleh KKM ke atas pegawai-pegawai yang terlibat telah dibuat pada 18 Jul 21. Ketua Pengarah PKAT, Leftenan Jeneral Dato’ (Dr) Zulkeffeli bin Mat Jusoh telah dilantik untuk menganggotai Kumpulan Pengurusan Strategik manakala Brigedier Jeneral (Dr) Mohd Arshil bin Moideen, Ketua Pengurusan PKAT di lantik sebagai Komander Bersama Joint Task Force di peringkat operasi.

ATM turut sama merancang langkah strategik bagi mengoptimumkan tindakan pengesanan kes, perkhidmatan perawatan, sokongan logistik perubatan dan am, perkhidmatan sokongan kepada komuniti, petugas kesihatan dan barisan hadapan. Inisiatif utama yang giat dilaksanakan ketika ini adalah meningkatkan kapasiti katil, penjagaan ICU, bekalan oksigen, mobilisasi tenaga kerja, pemindahan pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta, pengurusan logistik dan bantuan anggota dari ATM serta sukarelawan.

Di dalam pelaksanaan pelan tindakan GKV STF, logistik dan sumber manusia merupakan dua perkara utama yang akan menentukan keberkesanan tindakan yang diambil. Dalam tempoh dua minggu gerak kerja GKV STF ini, ATM telah membantu menghantar sebanyak 548 katil pesakit ke lima buah hospital di Lembah Klang serta 90 unit Oxygen Concentrator ke Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM.

Bagi membantu pelaksanaan Feeder Bus Project oleh kluster Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), ATM juga membuat penilaian kesesuaian jenis kenderaan yang digunakan mengikut kesesuaian lokasi, contohnya ATM telah menempatkan sebuah kenderaan jenis MAXUS bersama pemandu di CAC Titiwangsa untuk mengambil pesakit dari rumah ke CAC. Selain itu, ATM juga menjadi koordinator kepada beberapa agensi lain dalam pengurusan pengangkutan bagi logistik perubatan, mobilisasi petugas kesihatan ke MAEPS serta pergerakan pesakit dari rumah ke CAC.

KKM juga telah memohon bantuan ATM untuk mendirikan Hospital Medan ATM ke-7 dan berdasarkan aset semasa, ATM pada masa ini berkemampuan untuk membuka sebuah hospital medan di Hospital Selayang dengan kapasiti 80 katil pesakit yang mampu merawat pesakit yang memerlukan bantuan oksigen.

Terkini, KKM telah memohon bantuan tambahan daripada ATM bagi satu Task Force untuk membantu KKM di dalam mengoptimumkan sistem pengurusan logistik dan pengoperasian hospital-hospital KKM di dalam Greater Klang Valley. ATM melalui Tentera Darat Malaysia telah melantik Panglima Briged Ke-11 Infantri Malaysia pada 3 Ogos 21 sebagai komander bagi atur gerak anggota tentera dan logistik dalam membantu GKV STF. ATM telah menyediakan sebanyak 750 anggota bagi pecahan penugasan melibatkan 120 anggota sebagai Oxygen Carrier Team (OSCAR) ditempatkan di MAEPS. Seramai 420 anggota sebagai Rapid Resupply Team (RRT) ditempatkan di 6 buah hospital di Lembah Klang. Manakala, seramai 210 anggota sebagai Body Management Team (BMT) bersiap-sedia diatur gerak ke hospital-hospital Lembah Klang secara on call apabila berlaku kes kematian pesakit COVID-19.

ATM juga komited mambantu negara dari segi persediaan simpanan bekalan oksigen dengan mempersiapkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menerbangkan sebarang keperluan daripada luar negara jika perlu.