logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

KUALA LUMPUR, 17 Okt 23 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah telah berkenan mencemar duli ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT) tahun 2023 di Balairung Seri Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.
 
Turut berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang juga Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
 
Istiadat Pengurniaan DKAT kali ini menyaksikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan Darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) kepada Panglima Angkatan Tentera; Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman, Panglima Tentera Darat; Jeneral Dato' Muhammad Hafizuddeain bin Jantan dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob. Turut sama dikurniakan PGAT adalah 6 pegawai kanan tentera dari negara asing iaitu Panglima Tentara Nasional Indonesia; Laksamana Yudo Margono, Panglima Tentera Nasional Indonesia, Panglima Angkatan Tentera Singapura, Vice Admiral Aaron Beng, Komander Tentera Darat Emiriah Arab Bersatu; Major General Saeed Rashid Ali Al Shehhi, Kepala Staf Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Darat; Jenderal TNI Dudung Abdurachman, Panglima Tentera Laut Pakistan; Admiral Muhammad Amjad Khan Niazi dan Panglima Tentera Laut Diraja Thailand; Admiral Cherngchai Chomcherngpat
 
Pada Istiadat hari ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut berkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kepada 13 penerima, Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) kepada 43 penerima, Kesatria Angkatan Tentera (KAT) kepada 112 penerima, dan Bentara Angkatan Tentera (BAT) kepada 116 penerima.
 
Seramai 587 penerima dianugerahkan pingat dalam Istiadat Pengurniaan DKAT pada tahun ini yang yang diadakan dalam dua sesi pengurniaan. Sesi pertama adalah pada hari ini dengan penglibatan 293 penerima pingat dan sesi kedua akan dilaksanakan pada 19 Okt 23 dengan penglibatan 294 penerima pingat.
 
Penganugerahan Pingat DKAT diberikan kepada Pegawai dan Lain-Lain Pangkat yang berkelayakan di atas jasa dan pengorbanan yang dicurahkan di dalam perkhidmatan ATM. 5 Darjah Kebesaran Angkatan Tentera disenaraikan khusus bagi warga ATM yang terdiri daripada Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT), Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT), Pahlawan Angkatan Tentera (PAT), Kesatria Angkatan Tentera (KAT) dan Bentara Angkatan Tentera (BAT).
 
Turut hadir ke Istiadat berkenaan adalah Menteri Kanan Pertahanan; YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Hasan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan; Datuk Seri Isham bin Ishak dan Timbalan Panglima Tentera Udara; Leftenan Jeneral Datuk Seri Haji Muhamad Norazlan bin Aris TUDM.