logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

JOHOR BAHRU, 27 September 2023 - Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim pada hari ini telah berkenan mencemar duli ke Majlis Perasmian dan Penamaan Pangkalan TLDM Johor Bahru di Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM, Bandar Baru Permas Jaya, Masai, Johor.
 
Baginda menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dari KD MALAYA yang terdiri daripada 3 pegawai dan 103 anggota yang diketuai oleh Lt Kdr Norman bin Ahmad Shaip TLDM.
DYMM Sultan Johor telah dipersembahkan dengan gimik perasmian melibatkan aksi penerjunan anggota Pasukan Khas Laut KD PANGLIMA HITAM secara fast-roping dari pesawat Helikopter Operasi Maritim TLDM. Baginda turut berkenan menandatangani plaque perasmian dan penamaan Pangkalan TLDM Johor Bahru.
 
Pangkalan ini dinamakan sebagai Pangkalan TLDM Johor Bahru kerana lokasinya yang berhampiran dengan ibu negeri Johor. Cadangan ini mengambil kira nama Pangkalan Utama yang diambil sempena bandar utama yang berhampiran. Pangkalan ini terletak di atas Lot 1827 dan Lot 50731, Mukim Plentong, Johor Bahru dengan kawasan seluas 47 ekar di mana 17 ekar telah digunakan bagi pembinaan pangkalan dan baki 30 ekar untuk pembangunan akan dating.
Projek pembinaan pangkalan ini telah bermula pada 20 Disember 2016 dan telah siap sepenuhnya untuk diserahkan kepada TLDM pada 6 Mac 2020. Pangkalan TLDM Johor Bahru ini menjadi penempatan Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM dan KD SRI MEDINI. Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM telah berpindah dari Bahagian Pasukan Simpanan Markas Tentera Laut dan beroperasi mulai 10 Februari 2020.
 
Pangkalan baharu ini menjadi penempatan KD SRI MEDINI yang sebelum ini bertapak di kem sementara, Kem Tebrau. Kompleks ini menyediakan pusat latihan yang lengkap dan menempatkan keperluan ketenteraan terkini, keperluan infrastruktur lengkap, keperluan tempat tinggal pegawai dan anggota serta pelatih yang lebih selesa dan mesra pengguna.
Markas Pemerintahan Pasukan Simpanan TLDM merupakan Markas Pemerintah bagi unit-unit Pasukan Simpanan TLDM. Markas bertanggungjawab untuk menggubal dasar, struktur latihan dan pelaksanaan latihan bagi Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM). Selain itu, Markas turut berfungsi sebagai pusat latihan bersepadu PSSTLDM dan menjadi garison TLDM di bahagian selatan Semenanjung Malaysia.
 
Turut berangkat ke upacara hari ini adalah Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor.
Turut hadir, Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor; Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Pertahanan; Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman, Panglima Angkatan Tentera dan Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob, Panglima Tentera Laut.dan anggota serta pelatih.