logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

SUBANG, 10 Feb 2023 - Berdasarkan situasi semasa bencana gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Perkhidmatan Kesihatan ATM akan mengaturgerakkan petugas dan kelengkapan Hospital Medan Malaysia Tahap Tiga (3) milik ATM ke Turkiye bagi tempoh pengoperasian 6 minggu sepertimana yang telah dinyatakan oleh Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan pada sesi sidang media di di Kem Lok Kawi, Sabah pada 9 Februari 2023 sempena Lawatan Kerja beliau ke Markas Pemerintahan Armada Timur, Teluk Sepanggar dan Markas Divisyen Ke-5 Infantri Malaysia, semalam.
Tujuan utama pengoperasian Hospital Medan Malaysia (HMM) di Turkiye ini adalah bagi menzahirkan hasrat murni Kerajaan Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang terjejas akibat bencana alam berkenaan. Fokus utama bantuan adalah bagi menyokong Kerajaan Turkiye melalui bantuan perubatan dan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat negara tersebut yang berada dalam kesukaran ketika ini.


Sehubungan itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM telah menyempurnakan Majlis Penghantaran Tim OP STARLIGHT (OPERASI PENGENDALIAN HOSPITAL MEDAN MALAYSIA DI TURKIYE) yang melibatkan sesi penghantaran pertama terdiri dari 36 pegawai dan anggota beserta dengan peralatan Hospital Medan seberat 44 Tan di Pangkalan Udara Subang pada 10 Februari 2023 jam 0300 pagi.
Keseluruhan 106 pegawai dan anggota ATM diketuai oleh Brigedier Jeneral Dato' (Dr) Amran bin Amir Hamzah sebagai Pemerintah Operasi, diterbangkan ke Turkiye dengan 3 fasa penghantaran bermula 10 Februari 2023 menggunakan pesawat A400 dan pesawat komersil.
Hospital Medan ini akan ditempatkan di Adiyaman dengan bantuan koordinasi dari Kedutaan Turkiye di Malaysia, Kementerian Luar Negeri Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).


Hospital Medan Tahap 3 ini juga berkapasiti 60 buah katil yang turut dilengkapi dengan kemudahan wad, Bilik Pembedahan (Operation Theatre Room), Unit Rawatan Rapi (Intensive Care Unit Room), Radiologi dan makmal. Ianya juga menawarkan 9 kepakaran iaitu Perubatan Primer, Orthopedik, Pembedahan, Anesthesia, Maxilo-Facial, Obsterik & Ginekologi, Pediatrik, Opthalmologi dan Perubatan Kecemasan. Melalui kemudahan yang disediakan akan membolehkan Hospital Medan ini memberi tumpuan kepada perkhidmatan rawatan kepada mangsa yang terlibat di samping mempunyai kapasiti katil untuk mangsa yang memerlukan rawatan lanjut.
Keseluruhan pengoperasian OP STARLIGHT ini juga diletakkan di bawah Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato' Noor Mohamad Akmar bin Mohd Dom TUDM sebagai peneraju operasi dan akan berhubung rapat dengan perkhidmatan lain, agensi dalam dan luar negara dalam melaksanakan misi sejajar dengan peranan serta tanggungjawab yang di amanahkan.


Turut hadir di Majlis Penghantaran Tim OP STARLIGHT ialah Tuan Yang Terutama (TYT) Emir Salim YÜKSEL, Duta Besar Turki di Malaysia; Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, Panglima Tentera Udara; Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman, Timbalan Panglima Tentera Darat mewakili Panglima Tentera Darat; Laksamana Madya Datuk Sabri bin Zali, Timbalan Panglima Tentera Laut, mewakili Panglima Tentera Laut; Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad, Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Dato’ (Dr) Zulkeffeli bin Mat Jusoh, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM dan para Pegawai Kanan ATM.

Lihat Galeri Gambar