logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

KUCHING, 5 Ogos 2022 - Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM pada hari ini telah mengiringi Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Poliklinik Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terletak di Kem Penrissen, Kuching Sarawak.
Poliklinik Kesihatan ATM yang berkeluasan 13,643 meter persegi ini merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan bersama ATM adalah bertujuan untuk memberikan manfaat kepada kira-kira lebih 12,000 anggota ATM dan keluarga serta Veteran ATM di Kuching dan kawasan sekitar agar dapat menikmati kemudahan kesihatan yang lebih baik disamping mengurangkan kebergantungan terhadap Hospital Kerajaan di Kuching dan Pusat-Pusat Kesihatan ATM seperti Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT), Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) dan Hospital Angkatan Tentera (HAT).
Poliklinik Kesihatan ATM ini juga mempunyai kemudahan perkhidmatan yang lengkap meliputi perkhidmatan Klinik Tentera, Klinik Kesihatan Keluarga, Unit Kecemasan, Dewan Bedah, Wad Pesakit Dalam, Pusat Hemodialisis, Unit Rehabilitasi, Perkhidmatan Pergigian dan Perkhidmatan Kesihatan Awam. Turut disediakan sebagai kemudahan sokongan perubatan adalah Makmal Perubatan, Farmasi dan Pengimejan (X-ray). Di samping itu juga, poliklinik ini bakal menempatkan khidmat doktor pakar perubatan dan pakar pergigian termasuk kemudahan pesakit luar.
Dengan beroperasinya Poliklinik ini, warga ATM dan keluarga serta Veteran ATM yang berada di Kuching dan kawasan sekitar tidak lagi perlu diterbangkan atau dirujuk kepada HAT atau Hospital di Semenanjung Malaysia bagi mendapatkan khidmat doktor pakar ataupun kemudahan lain kecuali bagi kes-kes tertentu sahaja.
Turut hadir menyaksikan majlis perasmian tersebut adalah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Dato' Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mardzuki bin Muhammad, Pegawai-pegawai Kanan ATM dan pihak Pengurusan Tertinggi Kementerian Pertahanan.

 Lihat Galeri Gambar