logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

KUALA LUMPUR, 1 Januari 2022 - Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini telah melaksanakan kerja-kerja pengagihan barangan yang disumbangkan oleh Kerajaan United Arab Emirates (UAE) kepada warga ATM yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.

Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Hajah Tengku Muhaini binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM telah bersama ahli-ahli BAKAT yang lain di bantu anggota ATM, turun padang dalam menjayakan gerak kerja pembungkusan yang telah dilaksanakan pada 30 dan 31 Disember 2021 di Rumah BAKAT ATM di Kem KEMENTAH serta gerak kerja pengagihan yang dilaksanakan mulai hari ini.

Sebanyak 2000 bungkusan kit solat telah disediakan oleh BAKAT di samping barangan sumbangan UAE yang terdiri daripada telekung, Al-Quran, hygene set, barang kering dapur, beras dan minyak serta alat cucian sumbangan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera.

Hari ini, 13 rumah anggota yang terkesan akibat banjir di sekitar Shah Alam, Klang dan Hulu Langat telah dikunjungi oleh organisasi berkenaan dan sekaligus menyuntik semangat moral mereka untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

Menyahut konsep Keluarga Malaysia, BAKAT ATM turut menyampaikan bantuan tersebut kepada beberapa keluarga masyarakat awam yang ditimpa musibah banjir di Hulu Langat, Kg Bukit Lanchung dan Rantau Panjang, Klang. Inisiatif ini merupakan antara usaha BAKAT meluaskan peranannya yang bukan sahaja menjaga hal ehwal kebajikan keluarga warga ATM malah turut menyumbang khidmat baktinya kepada masyarakat awam yang memerlukan bantuan seiring cogan katanya iaitu “Bersama Berbakti”.

Program bantuan ini akan diteruskan pada esok, 2 Jan 22 di Temerloh dan Mentakab, Pahang terutama memberi tumpuan kepada anggota di Kem Batu 3, Temerloh yang terjejas terus akibat banjir ini.

Pada Khamis lalu, Kerajaan UAE telah menyampaikan bantuan barangan keperluan asasi untuk diagihkan kepada lebih 700 anggota warga tentera yang terkesan banjir. Simbolik penyampaian sumbangan tersebut telah diadakan di Wisma Perwira ATM yang disampaikan melalui dutanya di Malaysia iaitu H.E. Khalid Ghanim Alghaith kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM.

Sumbangan barangan bagi fasa pertama ini terdiri daripada sejadah, Al-Quran, telekung, barang kering dapur, beras, minyak masak dan hygiene kit. Manakala fasa kedua terdiri daripada cadar, tilam, tuala, selimut dan bantal di samping peti sejuk, dapur masak, kipas, cerek dan periuk nasi elektrik, tong gas, katil single bed dan peralatan mencuci rumah. Bantuan kerajaan UAE ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang ditanggung mereka.

Sesungguhnya ATM amat berterima kasih dengan keprihatinan dan bantuan yang disumbangkan oleh Kerajaan UAE ini dalam membantu mereka yang terkesan dengan bencana banjir terutama kepada warga tentera dan keluarga mereka.

Lihat Galeri Gambar