logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

KUALA LUMPUR, 9 November 2021 – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM telah menyempurnakan Majlis Perasmian Bengkel Peluang Kerjaya Kedua Anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dengan kerjasama PERKESO bertempat di Hotel Royale Chulan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Bengkel ini merupakan satu usaha kerjasama dalam memastikan peluang kerjaya kedua yang mengangkat martabat Veteran ATM sebagai perwira negara. Bengkel ini juga amat signifikan kepada Keluarga Malaysia Veteran ATM memandangkan input dan pembelajaran di dalam bengkel ini bakal membantu peserta berhadapan dengan majikan baharu dan dunia awam.

Panglima Angkatan Tentera (PAT) dalam ucapan beliau menyatakan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa menitik berat hal ehwal kebajikan warganya dari mula memasuki angkatan sehinggalah ke akhir hayat mereka. Fitrah ini telah menjadi keutamaan kerana setiap anggota tentera, tanpa ada rasa berbelah bahagi, sanggup mengorbankan segala-galanya - blood, toil, tears and sweat - demi memastikan rakyat dan negara dapat menikmati kehidupan yang sejahtera pada sebilang masa.

Justeru, dalam meneruskan legasi ini, ATM akan sentiasa mengusahakan inisiatif-inisiatif yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada warganya dan ianya bermula ketika mereka masih berada di dalam perkhidmatan. Dengan cara ini, warga ATM akan lebih bersedia untuk meneruskan kehidupan dengan selesa setelah meninggalkan perkhidmatan kelak.

"Adalah menjadi harapan saya agar bengkel ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh anda semua. Saya juga mendoakan agar bengkel ini dapat menjadi batu loncatan buat para Veteran ATM dalam meningkatkan taraf sosio-ekonomi dan juga keboleh-pasaran mereka. Saya yakin bahawa kerjasama JHEV ATM dan PERKESO ini akan terus diperkasa menerusi pelaksanaan program–program susulan di seluruh negeri selepas ini. Harapan saya agar usaha murni ini juga dapat memberi impak dan manfaat jangka panjang bukan sahaja kepada para veteran ATM, malah kepada Keluarga Malaysia secara keseluruhannya". Ujar beliau.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, lebih 47,000 majikan telah berdaftar dengan PERKESO manakala lebih 740,000 jawatan kosong turut ditawarkan menerusi portal Myfuturejobs. Justeru, PAT berharap Veteran ATM yang memohon kerja menerusi portal ini diberi tawaran kerja yang selayaknya dengan kemahiran dan pengalaman mereka. Dan juga ditawarkan tangga gaji yang lebih menarik berbanding pemohon awam yang lain.

Keluarga Malaysia Veteran ATM yang berdaftar dengan JHEV ATM sehingga kini berjumlah 204,020 orang. Dari jumlah ini, seramai 73,863 adalah mereka yang bersara tanpa pencen. Secara purata lebih 5,000 orang warga ATM akan bersara setiap tahun dengan 63% daripada mereka berada dalam lingkungan umur di bawah 60 tahun, iaitu kelompok umur yang masih produktif dan mampu menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara. Veteran ATM merupakan aset yang wajar diberi perhatian dalam pelbagai latar latihan dan kemahiran.

Adalah menjadi harapan JHEV ATM agar bengkel ini menjadi batu loncatan khusus kepada Veteran ATM dalam meningkatkan taraf sosioekonomi mereka. Kerjasama JHEV ATM - PERKESO akan terus diperkasa menerusi pelaksanaan program– program susulan di seluruh negara selepas ini.

Antara program yang bakal menyusul merangkumi bidang fidlot, pertanian, akuakultur dan pelancongan serta platform digital My Veteran Mall. Semoga usaha ini memberi impak dan manfaat jangka panjang kepada Keluarga Malaysia Veteran ATM secara menyeluruh.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato' Mohammad Bin Ab Rahman mewakili Panglima Tentera Darat, Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO, Dato' Mohd Sahar Bin Darusman mewakili Ketua Eksekutif PERKESO dan Ketua Pengarah JHEV, Mej Jen Dato’ Dzulkarnain Bin Ahmad.