logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

KUALA LUMPUR, 28 Oktober 2021 – Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein pada hari ini telah mengadakan Pertemuan Dua Hala bersama Menteri Pertahanan Republik Indonesia, TYT Prabowo Subianto dalam rangka lawatan kerja beliau selama sehari ke Malaysia yang merupakan pertemuan bersemuka pertama antara Menteri Pertahanan kedua-dua negara sejak pandemik melanda dunia.

Pertemuan tersebut yang berlangsung di Wisma Pertahanan turut melibatkan pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia bagi membincangkan beberapa isu bersama untuk mengeratkan hubungan diplomasi pertahanan antara Malaysia dan Indonesia.

Diantara perkara yang dibincangkan adalah kerjasama Pertahanan Dua Hala termasuk mengadakan kembali latihan ketenteraan bersama seperti KEKAR MALINDO dan LINUD MALINDO serta operasi bersama seperti Patrol Terkoordinasi (PATKOR) Laut dan PATKOR Udara selain perkongsian amalan terbaik berkaitan pemberian vaksin, kaedah rawatan dan pendekatan ujian saringan COVID-19 antara Perkhidmatan Kesihatan angkatan tentera kedua-dua negara.

Selain itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) juga akan terus bekerjasama memperkukuh kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Indonesia terutamanya menerusi pengoperasian Pos-Pos Gabungan serta latihan bersama dan kerjasama dalam menangani ancaman pengganas iaitu melalui LATGABMA MALINDO DARSASA yang akan diadakan di Malaysia pada tahun hadapan.

Disamping itu, Malaysia juga bakal menjadi tuan rumah General Border Committee Malaysia-Indonesia (GBC MALINDO) ke-42 tahun hadapan yang merupakan platform bagi membincangkan usaha-usaha memperkukuh keselamatan sempadan antara kedua-dua negara.

Menteri Kanan Pertahanan turut menyuarakan pendirian tegas Malaysia mengenai pembentukan Kerjasama Pertahanan Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom (AUKUS) kerana ia berpotensi mengganggu gugat keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara serta berharap agar sebarang perbezaan dan pertikaian perlu ditangani dengan konsisten dan jelas menerusi dialog dan rundingan.

Dalam rangka lawatan hari ini juga, Menteri Pertahanan Republik Indonesia, TYT Prabowo Subianto turut melakukan Kunjungan Hormat ke atas Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob terlebih dahulu sebelum mengadakan sesi pertemuan bersama Menteri Kanan Pertahanan Malaysia.

Sumber daripada:
Kementerian Pertahanan Malaysia