logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

KUALA LUMPUR, 25 Jun 2021 – Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Hajah Tengku Muhaini binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah telah merasmikan Seminar Program Transformasi Digital BAKAT yang diadakan secara maya bertempat di Rumah BAKAT ATM, Kem Kementah pada petang ini.

Seminar yang bertemakan ‘Dari Usahawan Kepada Usahawan’ ini akan berlangsung selama tiga hari mulai 25 hingga 27 Jun 21 telah disertai oleh 100 orang peserta yang merupakan ahli-ahli BAKAT daripada golongan B40 dan merupakan fasa pertama atau ‘’pilot project’’ dalam Program Transformasi Digital BAKAT yang menggunakan platform Learning e-BAKAT dibangunkan oleh MGATE Emerging Technologies Sdn Bhd (MGATE).

Dalam seminar pertama ini, peserta akan didedahkan kepada topik-topik asas untuk memulakan perniagaan serta asas untuk menjadi seorang intrepeneur yang berjaya dan turut dibantu oleh 8 orang panel berpengalaman dalam memberikan semangat, rangsangan serta dorongan sebelum sebelum peserta dibahagikan kepada dua kursus utama iaitu Kursus Jahitan dan Kursus Kulinari (Masakan dan Pembuatan Kek) yang dijadualkan pada awal Julai 2021.

Selari dengan dasar dan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 semasa, Setiap kursus akan dilaksanakan secara dalam talian menerusi dua kaedah iaitu kelas pra rakaman (pre-recorded) dan kelas secara langsung (live) oleh tenaga pengajar berkelayakan.

Program e-BAKAT merupakan cetusan idea Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM sebagai sebuah program yang dirangka di bawah Program Transformasi BAKAT: Halatuju Kedua – Pembangunan Ekonomi Keluarga bagi meningkatkan kemahiran serta pengetahuan ahli BAKAT untuk membentuk mereka menjadi seorang usahawan yang berjaya dan berpotensi tinggi dalam menjana pendapatan tambahan.

Menerusi pelaksanaan ‘pilot project’ ini, objektif Program Transformasi Digital BAKAT untuk membuka peluang kepada komuniti BAKAT bagi menjana ekonomi keluarga menerusi pendigitalan dapat direalisasikan selain mempamerkan komitmen BAKAT ATM untuk melengkapkan ahlinya dengan kemahiran serta ilmu keusahawanan bagi melestarikan keupayaan institusi kekeluargaan warga ATM.

Seminar yang diadakan secara maya ini tadi turut disertai oleh Pengerusi-Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Perkhidmatan, Penasihat BAKAT ATM dan ahli BAKAT Transformation Task Force (BTF).