logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

Kuala Lumpur, 24 Jun 2021 – Panglima Angkatan Tentera bagi negara-negara Peraturan Pertahanan Lima Negara atau Five Power Defence Arrangements (FPDA) telah menghadiri persidangan kali ke-20 FPDA Defence Chiefs’ Conference (FDCC). Persidangan ini telah dianjurkan oleh Malaysia dan dilaksanakan secara maya di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur pada petang semalam, 23 Jun 2021.

Persidangan FDCC yang dianjurkan secara bergilir-gilir oleh Malaysia dan Singapura merupakan forum profesional ketenteraan peringkat tertinggi di dalam FPDA yang menyediakan platform untuk Panglima Angkatan Tentera negara-negara FPDA berdialog serta bertukar pendapat mengenai isu-isu berkaitan dengan pembangunan kapasiti dan keselamatan serantau. Kali terakhir persidangan ini dianjurkan adalah pada tahun 2019 di Singapura.

Persidangan FDCC pada kali ini telah dipengerusikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM dan dihadiri oleh Panglima Angkatan Tentera Australia, Jeneral Angus Campbell; Panglima Angkatan Tentera New Zealand, Air Marshal Kevin Short; Panglima Angkatan Tentera Singapura, Leftenan Jeneral Melvyn Ong Su Kiat; dan Timbalan Panglima Angkatan Tentera United Kingdom, Laksamana Sir Tim Fraser.

Di persidangan ini, Panglima Angkatan Tentera negara-negara ahli FPDA telah menegaskan komitmen mereka terhadap FPDA serta prinsip-prinsip asas peraturan pertahanan tersebut. Di samping itu, persidangan turut menekankan tentang kepentingan FPDA sebagai peraturan pertahanan yang konstruktif dan telus yang juga merupakan sebahagian daripada struktur keselamatan serantau. Selain meneruskan dan memperkukuhkan latihan ketenteraan dalam bidang peperangan konvensional, persidangan pada kali ini bersetuju supaya FPDA meneruskan pembangunan keupayaan peperangan bukan konvensional selari dengan cabaran keselamatan semasa dan akan datang melalui latihan yang berkaitan dengan ancaman keganasan, bantuan kemanusiaan dan bencana serta keselamatan maritim.

Panglima Angkatan Tentera negara-negara FPDA juga bersetuju bahawa aspek ketelusan perlu diteruskan melalui program pemerhati yang mana akan memberi peluang kepada negara-negara serantau untuk memahami setiap pelaksanaan latihan dan aktiviti FPDA. Usaha ini adalah bagi memastikan FPDA kekal relevan dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau.

Panglima Angkatan Tentera negara-negara FPDA turut mengambil maklum bahawa keperluan FPDA untuk menjadi lebih fleksibel dan meningkatkan ketahanan dalam menghadapi situasi pandemik COVID-19 agar setiap aktiviti dan latihan ketenteraan dapat dijalankan dalam persekitaran yang selamat. Kejayaan penganjuran Eksesais BERSAMA SHIELD 2021 (BS21) secara maya di Kuantan, Pahang pada 13 hingga 28 April adalah bukti terbaik komitmen dan kerjasama negara ahli FPDA dalam menjayakan pelaksanaan latihan ketenteraan dalam situasi yang mencabar.

Antara perkara yang dibentangkan di persidangan ini adalah berkenaan dengan FPDA Exercise Concept Directive 2021 dan perbincangan mengenai rancangan 10 tahun pembangunan FPDA. Sempena ulang tahun ke-50 FPDA, rancangan pembangunan yang dibentangkan akan menjadi panduan bagi pelaksanaan aktiviti dan latihan ketenteraan dalam meningkatkan keupayaan FPDA untuk melaksanakan operasi konvensional dan bukan konvensional serta memperkukuhkan kesepakatan dan interaksi antara negara anggota FPDA.

Panglima Angkatan Tentera negara-negara FPDA turut diberikan taklimat berkenaan dengan aspek keselamatan persekitaran serantau oleh Bahagian Staf Perisikan Pertahanan Malaysia (BSPP), aktiviti/latihan FPDA yang telah diadakan tahun 2019/2020 dan isu berkaitan pembangunan Headquarters Integrated Area Defence System (HQIADS) oleh Komander HQIADS, Air Vice Marshal, Geoffrey Harland.

Persidangan FDCC ke-20 dilaksanakan secara maya selari dengan dasar dan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 semasa Malaysia. Selain itu, kaedah ini juga mempamerkan komitmen negara anggota untuk meneruskan aktiviti FPDA walaupun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19.

Di akhir sesi, Panglima Angkatan Tentera negara-negara FPDA turut menyatakan penghargaan di atas kejayaan penganjuran FDCC ke-20 dan menantikan sambutan Jubli Emas FPDA ke-50 pada tahun ini.