logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

Johor Bahru, 13 Jun 2021 - ATM terus komited membantu Negara menangani penularan wabak COVID-19 yang kini dilihat semakin membimbangkan semasa Negara berusaha melengkapkan Program Imunisasi Kebangsaan bagi membentuk imuniti kelompok di seluruh rakyat Malaysia.

Berdasarkan situasi semasa di beberapa negeri, ATM melalui Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT) kini mengaturgerakkan Hospital Medan seterusnya di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) bagi membantu mengatasi masalah kekurangan katil dalam merawat kes-kes COVID-19 untuk kategori 3, 4 dan 5 di negeri berkenaan.

Hari ini, Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kesihatan Malaysia (KKM), YB Dato' Sri Dr. Adham bin Baba, Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni bin Mohamad dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM turun padang meninjau persiapan serta kesiagaan hospital medan berkenaan yang ditempatkan di perkarangan pakir HSAJB.

Turut bersama tinjauan ini adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Ketua Setiausaha KKM, Ketua Pengarah Kesihatan KKM, Panglima Tentera Darat, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Panglima 3 Divisyen dan para pegawai dari KKM.

ATM telah mengaturgerak anggota dan aset Hospital Medan ATM di HSAJB bermula pada 8 Jun lalu di mana kerja-kerja pemasangan hospital medan berkenaan selesai pada 9 Jun 2021. Seramai 6 pegawai dan 33 anggota daripada Batalion Kedua Perubatan (2 Bn Ubat), diketuai oleh Mejar (Dr) Khir Reza sebagai Komander hospital tersebut di samping 16 pegawai dan anggota daripada Briged Ke-7 Infantri Malaysia (7 Bgd), Kem Mahkota, Kluang juga terlibat dalam aturgerak dan penyediaan hospital berkenaan.

Kompleks rawatan medan ini yang diletakkan di bawah pemerintahan Panglima 7 Bgd, turut dibantu oleh NADMA, KKM dan Jawatankuasa Bencana Negeri dalam memastikan kelancaran pengoperasian sepenuhnya hospital ini yang dijadualkan pada 15 Jun 2021.

Sebanyak 2 kompleks khemah rawatan yang mampu menempatkan 60 pesakit COVID-19 bagi kategori 3 dan 4 serta sebuah kompleks ICU yang mampu menempatkan 6 pesakit telah siap di dirikan. Hospital ini secara keseluruhannya berupaya di tingkatkan kepada 100 katil pesakit COVID-19 bagi kategori 3 dan 4 dan sehingga 12 katil bagi rawatan ICU.

Kesemua kompleks rawatan medan ini akan menerima bekalan oksigen terus daripada Bangunan Utama HSAJB dan setiap katil pesakit akan mempunyai bekalan oksigen tersendiri. Inovasi kelengkapan ini yang di selia oleh Bahagian Kejuruteraan KKM, telah dapat membantu mengurangkan keperluan lojistik tambahan bagi penggunaan tong-tong oksigen yang banyak. Di samping itu, kerja-kerja tambahan melibatkan skop Sivil, Elektrikal dan Mekanikal telah dibantu oleh JKR, TNB, Syarikat Air Johor dan Medivest.

Hospital Medan ATM ini di siapkan dengan masa yang begitu singkat dan mampu memberikan impak maksimum di dalam rawatan kes-kes kritikal COVID-19 bagi Negeri Johor. Mengambil kira kesesakan HSAJB pada sebilang masa walaupun ketika sebelum pandemik melanda, Kompleks Hospital Medan ini juga mampu bertindak sebagai decanting centre bagi kes-kes bukan COVID-19 di masa hadapan sekiranya kes-kes wabak ini menurun serta dapat dikawal dengan baik.