logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

 

SUBANG, 6 November 2024 - Menteri Pertahanan, YB Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin yang diiringi Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad bin Ab. Rahman telah menyempurnakan Majlis Penghantaran Kumpulan Pertama Malaysian Battalion (MALBATT) 850-12 di 16 Skuadron, Pangkalan Udara Subang, hari ini. Majlis ini turut menyaksikan Upacara Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Kontinjen MALBATT 850-12 UNIFIL, serta Majlis Penyerahan Bendera Malaysia kepada Komander MALBATT 850-12, Kolonel Johan Effendi bin Haji Mohd Shalleh.

Majlis ini berperanan sebagai simbolik penugasan bagi Kontinjen MALBATT 850-12 sebelum mereka berangkat ke Lubnan. Acara ini turut melibatkan kehadiran wakil dari ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), wakil dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), wakil anggota wanita, serta anggota Lain-lain Pangkat (LLP) ATM. Kontinjen MALBATT 850-12 terdiri daripada 854 anggota, termasuk 82 pegawai dan 772 anggota LLP, yang turut merangkumi 3 pegawai dan 27 anggota dari ABDB serta seorang Pegawai Kewangan Awam dari Kementerian Pertahanan.

Pegawai dan anggota MALBATT 850-12 merupakan individu terpilih yang telah bersiap sedia untuk menggalas segala amanah yang diberikan kepada pasukan Malaysia di bawah UNIFIL. Mereka telah menjalani latihan intensif selama tiga bulan, yang meliputi sebulan Latihan Satu Perkhidmatan dan dua bulan Latihan Integrasi Pasukan (Force Integration Training, FIT), di bawah pengawasan Markas Angkatan Bersama, bertempat di Perkampungan MALBATT, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Selain itu, anggota juga telah menjalani ujian psikologi bagi memastikan mereka layak diklasifikasikan sebagai "Fit for Mission". ATM yakin bahawa semua anggota yang terpilih mempunyai tahap moral yang tinggi sebelum diaturgerakkan ke kawasan misi.

Atur gerak Kontinjen MALBATT 850-12 akan dilaksanakan secara berperingkat, dimulai dengan kumpulan pertama yang terdiri daripada 220 pegawai dan anggota LLP. Pergerakan ini akan menggunakan pesawat Batik Air bagi menghantar Kontinjen MALBATT 850-12 ke lokasi penugasan serta membawa pulang Kontinjen MALBATT 850-11 yang telah berkhidmat selama 12 bulan.

Pertukaran pasukan ini dilaksanakan kerana tempoh perkhidmatan Kontinjen MALBATT 850-11 telah tamat, dan kini digantikan oleh Kontinjen MALBATT 850-12. Pertukaran ini juga berdasarkan ketetapan Force Commander Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), yang melibatkan semua negara penyumbang pasukan di bawah UNIFIL.

Ianya juga menunjukkan Malaysia sebagai sebuah negara yang cintakan keamanan sejagat di samping membina reputasi sebagai negara yang konsisten dalam diplomasi dan penyelesaian konflik secara aman.

Hadir bersama adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim bin Ali; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy bin Ithnain; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; Ketua Staf Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad; Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato’ Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato' Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim serta Pegawai-pegawai Kanan ATM.

Lihat Galeri Gambar