logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

INFORMASI & PENGUMUMAN

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

Bismillahirrahmanirrahim
 
Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain, Panglima Tentera Darat;
 
Yang Berbahagia Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany, Panglima Tentera Laut;
 
Yang Berbahagia Jeneral Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM, Panglima Tentera Udara;
 
Panglima-Panglima, Dato’-Dato’, Pegawai-Pegawai, Sarjan Mejar Rejimen ATM, Sarjan Mejar Rejimen Perkhidmatan, tuan puan warga Angkatan Tentera Malaysia yang saya hormati dan seluruh warga awam yang berkhidmat di bawah pentadbiran Angkatan Tentera Malaysia,
 
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera,
 
PENDAHULUAN
 
1. Segala pujian dan syukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala, di atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam juga buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta pengikut-pengikut baginda yang setia sehingga ke akhir zaman.
 
2. Alhamdulillah, kita kini telah melangkah ke tahun baharu 2022. Saya kira di kesempatan ini masih belum terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2022 buat sekalian warga ATM tidak kira di mana jua anda berada. Marilah kita bersama-sama mendoakan semoga tahun baharu 2022 membawa lebih banyak kebaikan agar angkatan keramat ini dapat mengekalkan keabsahannya sebagai Benteng Pertahanan Negara.
 
3. Pada masa sama, marilah kita mengucapkan setinggi-tinggi syukur kepada Allah SWT, kerana dengan izin-Nya jua, kita berjaya mengharungi tahun 2021, iaitu tahun yang penuh dugaan dan cabaran, dengan selamat dan jayanya.
 
4. Saya percaya bahawa, kejayaan-kejayaan yang dicapai sepanjang tahun 2021 ini adalah hasil daripada pengorbanan serta dedikasi tinggi oleh saudara dan saudari sekalian. Ketahuilah bahawa saya amat berbangga dengan anda semua. Syabas dan terima kasih saya ucapkan!.
 
RUMUSAN 2021
 
Warga Angkatan Tentera Malaysia yang saya kasihi,
 
5. Hari ini saya akan menyampaikan rumusan saya bagi tahun 2021 dan diikuti dengan keutamaan bagi tahun 2022. Semoga apa yang akan saya sampaikan ini dapat menjadi pembakar semangat serta panduan untuk kita terus komited dalam menjadikan organisasi yang kita cintai ini, kekal teguh melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atasnya.
 
6. Amnya, sepanjang tahun 2021, Angkatan Tentera Malaysia telah meletakkan sepenuh usaha dalam menangani ancaman pandemik COVID- 19 yang kini, Alhamdulillah, secara beransur-ansur, mula menampakkan keberhasilannya. Antara khidmat yang paling signifikan sepanjang pandemik COVID-19 adalah aturgerak hospital medan ketika sistem kesihatan negara hampir lumpuh serta kelancaran program vaksinasi kebangsaan sehingga membolehkan inisiatif Program Pemulihan Negara dapat direalisasikan.
 
7. Bukan itu sahaja, kita sekali lagi berjaya membuktikan kesiapsiagan yang tinggi apabila menjadi responden terawal bagi menyelamatkan mangsa banjir kilat yang berlaku baru-baru ini. Khidmat ini diteruskan dengan membantu melaksanakan pembersihan kawasan serta baik pulih kediaman yang musnah akibat bencana tersebut.
 
8. Semua perkara yang telah dilakukan ini adalah usaha kita bersama. Setiap dari anda memainkan peranan dengan baik dalam memastikan pelaksanaan operasi ketenteraan selain peperangan atau Military Operation Other Than War (MOOTW) dapat dioptimumkan dengan efisiyen dan efektif. Sudah tentunya kita akan terus bersiap sedia pada sebilang masa untuk memenuhi tuntutan ini apabila diperlukan pada bila-bila masa kelak.
 
9. Disebalik tumpuan terhadap memenuhi tugas-tugas sekunder tersebut, Angkatan Tentera Malaysia tetap meneruskan tugas-tugas utamanya bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara dilindungi dari sebarang ancaman musuh. Tugas-tugas operasi serta kawalan dan juga aspek hubungan diplomasi pertahanan masih diteruskan tanpa henti. Lebih utamanya, perancangan pelan pembangunan angkatan terus diperkasakan dalam memastikan Angkatan Masa Hadapan yang seimbang (balance force) dapat dimaktubkan.
 
10. Kita telah menyaksikan kemasukkan beberapa aset ketenteraan di dalam inventori Angkatan Tentera Malaysia bagi tahun 2021. Perolehan aset-aset ini dibuat secara tersusun dan berperingkat bagi mengoptimumkan peruntukan kewangan yang terhad yang diterima setiap tahun. Tidak dinafikan bahawa keadaan ini akan menjadi dilema buat kita saban tahun, tetapi saya yakin, dengan kesepakatan antara perkhidmatan yang telah dibina, kita akan dapat mengharungi kekangan ini dengan sebaik-baiknya.
 
11. Selain itu, tahun 2021 juga menyaksikan Angkatan Tentera Malaysia memberikan penekanan terhadap kebajikan warga terutamanya dalam usaha memastikan setiap warga ATM bersedia bagi menjalani kehidupan setelah bersara kelak. Untuk itu, pelbagai platform sedang disediakan bagi meningkatkan kemahiran sekaligus membuka peluang kebolehpasaran apabila berada di luar nanti. Pada masa sama, kesedaran ini turut mendapat sokongan padu daripada Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera atau BAKAT yang turut giat menggembleng usaha tanpa henti untuk menjana keupayaan keluarga secara holistik. Hasratnya adalah untuk melihat para isteri dapat turut menyumbang kepada menambah pendapatan isirumah demi menikmati kehidupan yang lebih selesa untuk mereka sekeluarga.
 
12. Perkara yang sama turut diberikan perhatian kepada para Veteran ATM. Melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia, beberapa inisiatif baharu telah diusahakan dalam membantu menambahbaik kualiti hidup para Veteran ATM. Antaranya adalah Program Kerjaya Kedua dan terkini adalah Program Kerjaya Ekonomi Gig yang membuka ruang untuk mereka mendapatkan peluang pekerjaan bersesuaian dengan kemahiran yang dimiliki mereka. Sudah tentunya, kita akan terus melihat inisiatif-inisiatif lain dan saya amat berharap agar peluang yang disediakan ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya
 
13. Banyak lagi perkara yang telah kita lalui dan kejayaan-kejayaan yang dicapai sepanjang tahun 2021. Namun begitu, secara keseluruhannya, saya amat berbangga dengan tahap kesiagaan dan juga prestasi Angkatan Tentera Malaysia sepanjang tahun tersebut. Kita semua telah berjaya melaksanakan tugas-tugas mempertahankan kedaulatan negara serta pada masa sama, berjaya memenuhi tuntutan memastikan kesejahteraan buat rakyat di tanahair tercinta ini tercapai.
 
14. Hasilnya, rakyat kini menunjukkan kepercayaan yang tinggi dan bergantung harap terhadap keupayaan Angkatan Tentera Malaysia. Mereka yakin bahawa khidmat yang diberikan oleh anggota tentera bukan sahaja berkesan, malah ianya lebih dari itu kerana anggota tentera sanggup berkorban apa sahaja demi kepentingan negara. Keadaan ini merupakan suatu indikator penting buat kita kerana ianya membuktikan bahawa segala khidmat bakti yang telah dicurahkan selama ini tidaklah disia-siakan begitu sahaja. Sekali lagi, syabas saya ucapkan kepada anda semua!.
 
KEUTAMAAN 2022
 
Para Panglima, Perwira, Bintara dan Perajurit yang dikasihi,
 
15. Saya optimis bahawa kedatangan tahun 2022 ini akan menjadi tahun pemulihan buat kita semua. Pemulihan yang dimaksudkan adalah memastikan tradisi dan legasi terdahulu dapat diteruskan setelah tergendala akibat ketidaktentuan yang dibawa oleh pandemik COVID-19. Sudah tentunya, ia perlu diselaraskan dengan keperluan norma baharu, apatah lagi dalam kita menuju peralihan ke arah fasa endemik COVID-19 yang bakal
 
diumumkan oleh negara. Justeru, saya ingin mengambil peluang ini untuk menyatakan keutamaan bagi tahun 2022 agar dapat dijadikan panduan buat kita semua.
 
16. Pertamanya adalah meneruskan 4 teras yang telah saya nyatakan di dalam Perintah Ulung saya iaitu, Memperkasakan Kesiagaan Aset ATM, Memperkasa Warga ATM Yang Cemerlang, Mengukuhkan Keupayaan ATM dalam Domain Siber dan Menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan. Teras-teras ini haruslah dijadikan sebagai panduan strategik dalam merealisasikan hasrat menjadikan Angkatan Tentera Malaysia sebagai sebuah angkatan berspektrum penuh yang holistik dan mampan.
 
17. Sepertimana tahun-tahun sebelumnya, keseluruhan kesiagaan serta kejayaan pencapaian Angkatan Tentera Malaysia bergantung sepenuhnya kepada kepatuhan terhadap ke-empat-empat teras ini. Jika dilihat dari sudut yang lebih luas, kejayaan melaksanakan teras-teras ini sudah tentunya akan memberi implikasi yang besar bukan sahaja kepada Angkatan Tentera Malaysia, malah, terhadap prestasi Kementerian Pertahanan secara keseluruhannya. Oleh kerana itu, tidak boleh tidak, kita harus memastikan agenda ke-empat-empat teras ini dapat dilaksanakan dan saya yakin, kita akan mampu memperoleh keputusan yang lebih baik pada tahun 2022 ini. Insya-Allah.
 
18. Keutamaan kedua adalah memastikan pengurusan peruntukan kewangan yang diterima dibelanjakan dengan sebijak-bijaknya. Tahun ini peruntukan kewangan yang disalurkan kepada Angkatan Tentera Malaysia bagi Pertahanan Negara adalah sebanyak RM 15.4 billion, iaitu peningkatan
 
sebanyak RM 0.4 billion berbanding tahun sebelumnya. Walaupun terdapat peningkatan, namun kita masih perlu berhemah dan rasional dalam melakukan perbelanjaan. Manfaatkan sebaik-baiknya peruntukan yang telah diberi dan cuba melihat secara holistik dalam menentukan keperluan sebenar yang kita inginkan.
 
19. Keutamaan ketiga adalah untuk melihat edisi terkini dokumen Strategi Ketenteraan Negara 2.0 dan 4DMAF dapat dilancarkan pada tahun ini. Saya mengakui bahawa ianya mengambil masa yang agak lama untuk menyelaraskan kedua-dua dokumen ini, namun, saya yakin ianya akan memberikan suatu perspektif yang baharu buat kita semua. Kedua-dua dokumen ini haruslah difahami kerana ianya akan menjadi rujukan utama dalam meneruskan agenda pembangunan angkatan sepertimana yang telah dihasratkan di dalam Kertas Putih Pertahanan.
 
20. Dalam menjayakan ketiga-tiga keutamaan ini, kita semua tidak boleh lagi mengamalkan business as usual. Dengan peralihan kepada fasa endemik dan juga ancaman persekitaran geostrategik global dan serantau yang semakin kompleks serta ancaman Bukan Kinetik yang boleh berlaku pada sebilang masa, kita harus bersikap lebih realistik untuk terus bergerak kehadapan. Cara kita berfikir dan cara kita melihat kepada sesuatu perkara atau keperluan perlu diubah bagi memastikan kehendak situasi semasa dapat dipenuhi.
 
21. Konsep learn, unlearn and relearn harus sentiasa diadaptasi dan diaplikasi agar kita dapat menjadi warga tentera kelas pertama yang relevan, inovatif dan berdaya saing. Percayalah, jika perubahan ini dapat dilakukan, keseluruhan kesiapsiagaan angkatan akan dapat diperkukuh dan diperkasa, sekaligus membolehkan kita mendepani cabaran alaf baharu dengan lebih realistik, sistematik dan inklusif.
 
NASIHAT
 
Para Panglima, Tuan-tuan dan Puan-Puan sekalian,
 
22. Menjadi sebuah angkatan yang dapat menjadi harapan serta kepercayaan rakyat dan negara bukanlah sesuatu yang boleh diperolehi dengan mudah, apatah lagi untuk mengekalkan status tersebut. Namun begitu, saya yakin jika kita dapat meneruskan tradisi amalan kerja yang baik (good governance) dan sentiasa memelihara integriti dalam apa jua tugas yang dilakukan, kita akan berjaya.
 
23. Pada masa sama, amatlah penting untuk kita terus memastikan struktur rantaian pemerintahan (Chain of Command Structure) diperkasa sewajarnya dan pada masa yang sama, segala Rancangan Kontigensi (RANKON) yang sedia ada haruslah diperkemaskini dan difahami agar kita dapat memberikan respon yang cepat dan tepat apabila keadaan memerlukan kelak.
 
24. Disamping itu, operasi-operasi kawalan dan pemantauan di sempadan darat dan lautan negara, sama ada yang sedang dilaksanakan oleh perkhidmatan mahupun di bawah koordinasi National Task Force wajar diberikan keutamaan berterusan. Sepanjang pengendalian National Task Force di bawah tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia, hampir 18 ribu tangkapan PATI telah dilakukan dan berjaya mengumpulkan barang rampasan yang keseluruhannya bernilai sehingga RM 711 juta. Ini membuktikan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia mengaplikasikan konsep Whole of Government dan Whole of Society, dan sewajarnya haruslah terus diperkasakan oleh semua pihak dalam apa jua tugas yang dilaksanakan.
 
25. Selain itu, program-program untuk meningkatkan kesejahteraan warga ATM akan terus diperluaskan dan dilaksanakan sewajarnya. Panglima-Panglima dan para Pegawai Memerintah haruslah memainkan peranan dalam memastikan kemahiran warga dipertingkatkan demi kebaikan organisasi dan juga manfaat jangka panjang buat semua warga, terutamanya setelah mereka bersara kelak.
 
26. Namun begitu, untuk mencapai semua yang dinyatakan, tidak boleh tidak, kita harus sentiasa peka dan memastikan tahap kesihatan fizikal dan mental berada dalam keadaan yang baik pada sebilang masa. Perkara ini tidak boleh diambil ringan terutamanya dalam melaksanakan tugas yang sentiasa mencabar dan penuh dengan risiko ini. Kegagalannya, sudah tentu akan memberi kesan negatif terhadap kelancaran serta keberkesanan organisasi secara keseluruhannya.
 
PENGHARGAAN
 
Para Panglima, Tuan-tuan dan Puan-Puan sekalian,
 
27. Marilah kita semua bersama-sama memperbaharui lafaz ikrar taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Tanggungjawab mempertahankan kedaulatan dan kepentingan tanahair serta institusi Raja-raja Melayu, akan kita teruskan sehingga ke titisan darah yang terakhir.
 
28. Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada pihak Kerajaan, Kementerian Pertahanan dan seluruh rakyat Malaysia yang telah memberikan sokongan dan kepercayaan yang tinggi terhadap Angkatan Tentera Malaysia. Kami, seluruh warga ATM akan terus komited dan sentiasa bersiap siaga untuk mempertahankan kedaulatan dan kesejahteraan tanahair tercinta ini.
 
PENUTUP
 
Panglima-Panglima dan seluruh warga ATM yang dikasihi,
 
29. Marilah kita semua mengamalkan sikap bermuhasabah diri dalam setiap perkara yang telah kita lakukan sepanjang tahun 2021 yang lalu. Perbaiki segala kelemahan diri dan jadikan pengalaman tahun 2021 sebagai pengajaran agar kita dapat meneruskan tahun 2022 ini dengan lebih baik.
 
30. Di kesempatan ini, saya ingin mengingatkan diri saya dan anda semua untuk terus menunaikan tanggungjawab menjaga hubungan dengan Sang Pencipta (Hablum Min Allah) dan juga hubungan sesama manusia (Hablum Minan Nas) pada setiap masa. Saya yakin, jika kita dapat menjaga kedua- dua hubungan ini, nescaya, segala urusan kita akan sentiasa dipermudahkan oleh-Nya, Insya-Allah.
 
31. Akhir kalam, marilah kita sebagai satu angkatan, berdiri teguh dengan penuh keikhlasan dan memperbaharui tekad dalam memastikan ATM kekal sebagai Benteng Pertahanan Negara. Marilah kita juga bersama-sama memanjatkan doa agar tahun 2022 ini menjadi tahun yang lebih baik dan membawa kejayaan yang berterusan kepada kita semua. Semoga usaha kita semua ini beroleh keredaan dan perlindungan dari-Nya jua. InsyaAllah.
 
32. Kedaulatan Negara, Tanggungjawab Bersama,
 
33. Sekian,
 
Wabillahi Taufiq WalHidayah Wasalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
 
Panglima Angkatan Tentera
24 Januari 2022 (Isnin)