HULU TERENGGANU, 28 November 2024 - Pegawai Memerintah Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) (18 RAMD (Para), Lt Kol Mohd Ashafiq bin Abd Aziz menegaskan bahawa pasukan sentiasa bersiap sedia 24 jam bagi membantu dan menyelamat penduduk yang terjejas banjir sepanjang Monsun Timur Laut ini di KTJ Hulu Terengganu, Marang dan Dungun.
18 RAMD (Para) telah diletakkan di bawah Appointed Military Commmander (AMC) 8 Bgd. Semua atur gerak aset dan anggota telah dikoordinasikan bersama agensi yang berkaitan bagi memastikan keselamatan orang awam sentiasa terjaga dan terpelihara pada musim tengkujuh ini.
Tinjauan serta pemantauan yang berterusan di kawasan berisiko banjir sentiasa dilaksanakan selain daripada inisiatif yang diambil untuk mengenal pasti rumah yang diduduki oleh warga emas dan kurang upaya. Disamping itu, pasukan juga turut memberi bantuan dalam menghubungkan laluan yang tidak boleh dilalui akibat limpahan air sungai kepada masyarakat setempat dengan menggunakan aset kenderaan dan bot.
Pada waktu yang sama, Forward Medical Team 18 RAMD (Para) yang diketuai oleh Kapten (Dr) Izzul Islam bin Bakri juga telah diaturgerak untuk berganding bahu bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melaksanakan pemeriksaan kesihatan di kawasan yang terjejas teruk iaitu di daerah Hulu Terengganu dan Marang.