logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

 

Langkawi, 14 Dis 23 - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah melaksanakan penembakan misil Exocet MM40 menerusi Eksesais TAMING SARI Siri 22 Tahun 2023 (Eks TAMING SARI 22/2023) di utara perairan Selat Melaka pada tengahari tadi. Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato Seri’ Mohammad bin Ab Rahman telah hadir dan menyaksikan dari platform KD MAHAWANGSA kejayaan penembakan dua buah misil Exocet MM40. Turut hadir, Tetamu Khas, yang juga bekas Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan; Datuk Seri Isham bin Ishak, Panglima Tentera Darat; Jeneral Dato’ Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Panglima Tentera Laut; Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob, Panglima Tentera Udara; Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM dan Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia; Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim.

Eksesais TAMING SARI adalah siri latihan penembakan misil oleh aset kombatan TLDM bagi menguji keupayaan dan kesiapsiagaan sistem peluru berpandu di kapal serta tahap kompetensi warga The Navy People. Semasa Eks TAMING SARI 22/2023, sebanyak dua buah misil Exocet MM40 telah dilancarkan oleh kapal penembak, KD LEKIU dan KD LEKIR menjadi kapal penembak simpanan semasa eksesais ini. KD LEKIU merupakan kapal kelas Frigat (FFGH30) yang ditauliahkan pada 7 Oktober 1999 dan diketuai oleh Pegawai Memerintah, Kepten Mahamad Nazir bin Darus TLDM. Manakala KD LEKIR pula merupakan kapal kelas Korvet (FSG26) yang ditauliahkan pada 18 Jun 1984 diketuai oleh Pegawai Memerintah, Komander Mhd Izmi Faizal bin Mhd Khani TLDM.

Dengan berkonsepkan Force Integration Training (FIT), aspek kebersamaan atau jointness telah dizahirkan di dalam eksesais ini melalui penglibatan sebanyak 14 buah kapal permukaan, 8 bot dan 12 pesawat dari TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Selain KD LEKIU dan KD LEKIR, aset-aset lain yang terlibat adalah KD MAHAWANGSA, KD TERENGGANU, KD SRI INDERA SAKTI, KD KEDAH, KD MAHAMIRU, KD JEBAT, KD LAKSAMANA HANG NADIM, KD LAKSAMANA TUN ABDUL JAMIL, KD GAGAH SAMUDERA, KD PERKASA, KD PENYU, Fast Combat Boat, Helikopter Operasi Maritim, helikopter Super Lynx dan Fennec dari TLDM, pesawat pejuang F/A 18D, pesawat pengangkut C130 dan CN235 MSA serta helikopter AW 139 dari TUDM, KM SUGUT, helikopter AW 139 dan Bot Penggalang dari APMM. Eks TAMING SARI 22/2023 turut menguji keupayaan semua aset yang terlibat disamping memperagakan kehadiran angkatan pertahanan maritim negara di perairan Selat Melaka.

Eksesais yang bermula dari 4 hingga 16 Disember 2023 ini terbahagi kepada empat fasa utama iaitu Fasa Pelabuhan, Fasa Pembersihan Kawasan dan Raptai Penembakan, Fasa Hari Penembakan dan Fasa Penutup. Semasa Fasa Pelabuhan dari 4 hingga 9 Disember 2023 di Pangkalan TLDM Lumut, pelbagai aktiviti untuk persediaan di laut telah dilaksanakan meliputi Majlis Pembukaan, Taklimat Eksesais, Perbincangan Pegawai Operasi, Table Top Exercise (TTX) dan Taklimat Pra-Pelayaran. Semasa fasa ini, segala perancangan bagi menghadapi fasa seterusnya telah diperincikan bagi memastikan kejayaan penembakan ini. Seterusnya, kesemua aset-aset yang terlibat telah belayar ke utara perairan Selat Melaka bagi melaksanakan Fasa Pembersihan Kawasan dan Raptai Penembakan dari 10 hingga 13 Disember 2023 disusuli dengan penembakan sebenar hari ini. Sepanjang berada di laut, kesiagaan aset-aset ini turut diuji melalui pelaksanaan FIT. Selanjutnya, aset-aset ini akan menjalani Fasa Penutup di Markas Wilayah Laut 3, Langkawi pada 15 dan 16 Disember 2023. Semasa fasa ini, Post Mortem dan Post Exercise Debrief akan dijalankan bagi mengenalpasti sebarang ruang penambahbaikan pelaksanaan eksesais yang akan datang sebelum diakhiri dengan Majlis Penutup Eksesais.

Berlandaskan lanskap geo-strategik yang semakin mencabar ketika ini, ATM melalui TLDM memainkan peranan yang sangat penting untuk kekal relevan dalam konteks pertahanan maritim. Pelaksanaan Eks TAMING SARI 22/2023 dapat mempamerkan keupayaan kuasa tempur TLDM sekaligus membuktikan bahawa ia masih lagi bertaring di arena pertahanan maritim, kredibel dan mampu mempertahankan kedaulatan perairan negara. Kejayaan penembakan ini membuktikan keupayaan ATM dan kesiagaan armada serta kompetensi warga TLDM yang sentiasa menjadi keutamaan.