logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

SUNGAI BESI, 23 Okt 23 - Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman telah menyempurnakan Perutusan Perintah Ulungnya sebagai Panglima Angkatan Tentera Ke-22 dalam satu perbarisan tempur statik yang penuh tradisi ketenteraan bertempat di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi. Beliau secara rasminya telah mengambil alih jawatan tersebut pada 6 September 2023.
 
Perbarisan Perintah Ulung PAT telah diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Mohd Azroi bin Ariffin Shah. Terdapat 12 detasemen menyertai perbarisan tersebut yang terdiri daripada 6 detasemen Tentera Darat Malaysia (TDM), 3 detasemen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 3 detasemen Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkekuatan seramai 40 Pegawai dan 1159 Lain-Lain Pangkat.
 
Perbarisan tersebut turut menyaksikan terbang lintas 4 buah pesawat helikopter ATM iaitu 2 buah helikopter EC-725 TUDM, sebuah helikopter Fennec TLDM dan sebuah helikopter A-109 TDM yang membawa bendera ATM, TDM, TLDM dan TUDM yang diketuai oleh Mejar Khairul Ridhuan bin Ramlee TUDM. Perbarisan juga turut diiringi oleh Pancaragam Gabungan ATM di bawah pimpinan Leftenan Amirul Shafiq bin Abdul Aziz.
 
Manakala, aset lain yang turut terlibat di dalam perbarisan berkenaan adalah Kereta Kebal PT-91M Pendekar, Kenderaan Perisai 8x8 GEMPITA, Kenderaan Pelancar Unit Lancar Berganda Roket ASTROS II dan Meriam 155mm G5 MKIII dari TDM, Trailer Pembawa Exocet 40mm Missile dari TUDM dan Prime Mover Pembawa KH-29T Air to Surface Missile dari TUDM. Perbarisan turut melibatkan kehadiran oleh lebih kurang 2000 penonton daripada kalangan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
 
Di dalam perbarisan tersebut, PAT telah mengambil Tabik Hormat serta memeriksa perbarisan menggunakan Kenderaan Perisai 8x8 GEMPITA sebelum menyampaikan Perutusan Perintah Ulungnya kepada seluruh warga ATM yang hadir. Terdahulu, satu gimik penyerahan Perintah Ulung kepada PAT telah dilaksanakan oleh 21 Skuadron Istiadat Berkuda (21 SIB) dan Bahagian Operasi Pasukan Khas Pertahanan menggunakan sekumpulan tentera berkuda serta kumpulan serbuan yang diketuai oleh Pegawai Memerintah 21 SIB, Leftenan Kolonel Shahanun bin Osman.
 
PAT dalam Perutusan Perintah Ulungnya telah menekankan peranan utama ATM adalah melindungi kepentingan negara, terutamanya mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayah daripada ancaman keselamatan tradisional dan bukan tradisional melalui penekanan operasi darata, maritim, ruang udara dan siber elektromagnetik. ATM kini menuju ke arah Angkatan Masa Hadapan (AMH) berpandukan kepada Kertas Putih Pertahanan (KPP), Strategi Ketenteraan Negara (SKN) dan 4 Dimensi ATM (4DMAF) yang disokong oleh pelan strategik TDM, TLDM dan TUDM. Intipati Perutusan Perintah Ulung PAT telah menggariskan 4 tonggak iaitu Tonggak 1; Memperkasakan keupayaan dan kesiagaan menuju AMH 2030, Tonggak 2; Melaksanakan transformasi operasi, latihan dan doktrin, Tonggak 3; Menggilap modal insan angkatan yang positif dan progresif secara holistik dan Tonggak 4; Memperkasakan gagasan bersepadu tentera dan rakyat. PAT berharap agar seluruh kepimpinan ATM dan warga ATM dapat bersama-samanya memastikan kesemua yang digariskan dilaksanakan dengan sehabis baik dan tulus ikhlas agar kedaulatan negara dapat dipelihara.
 
Turut hadir menyaksikan perbarisan ini adalah Panglima Tentera Darat; Jeneral Dato' Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Panglima Tentera Udara; Jeneral Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, Timbalan Panglima Tentera Laut; Laksamana Madya Dato' Zulhelmy bin Ithnain dan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia; Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Hj Ahmad.