KUALA LUMPUR, 19 Okt 23 – Seramai 292 penerima dianugerahkan pingat dalam sesi kedua Istiadat Penganugerahan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT) tahun 2023 yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Negara pada pagi ini. Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman dilihat turut menghadiri Istiadat sama selaku tetamu kehormat selepas menerima Darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) pada sesi pertama 17 Okt 23 yang lalu.
Istiadat bagi sesi kedua ini menyaksikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan bercemar duli mengurniakan Darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) Kehormat kepada 2 penerima, Darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kepada 9 penerima, Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) kepada 43 penerima, Kesatria Angkatan Tentera (KAT) kepada 112 penerima dan Bentara Angkatan Tentera (BAT) kepada 126 penerima.
Penerima bagi Darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) bagi sesi pada kali ini adalah 2 pegawai kanan tentera dari negara asing iaitu Air Chief Marshal Fadjar Prasetyo, Kepala Staf Tentera Nasional Indonesia - Angkatan Udara dan Major General Kelvin Khong, Panglima Tentera Udara Republik Singapura.
Sesi kedua Istiadat ini selesai pada kira-kira jam 1130 dan diakhiri dengan Jamuan Makan bersama-sama semua penerima pingat yang diserikan dengan kehadiran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.