SEJARAH TENTERA UDARA DIRAJA MALAYSIA

Titik mula Tentera Udara Diraja Malaysia ialah dengan penubuhan pasukan Sukarela Tentera Udara Negeri-Negeri Selat (SSVAF) oleh British pada 1936. Ketika itu ia dilengkapi dengan pesawat udara Hawker Audax. Pada 1940, namanya ditukar kepada Pasukan Simpanan Tentera Udara Malaya (MVAF) dan pasukan ini kemudiannya dibubar selepas Perang Dunia Kedua.

Pada tahun 1950, MVAF dihidupkan semula dalam bentuk Tentera Udara Diraja British Malaya (RAF Malaya). Anggota tempatan Malaya telah diambil berkhidmat sebagai juruteknik di bawah pengawasan RAF. Pada 17 April 1958, penubuhan Tentera Udara Malaya menjadi kenyataan apabila pesawat udara Twin Pioneer pertama mendarat di Pangkalan RAF di Kuala Lumpur. Pesawat udara ini diberi nama “Lang Rajawali”, yang merupakan pesawat udara pertama ditugaskan membantu dalam operasi keselamatan menentang pengganas komunis. Dengan kelulusan Ordinans Tentera Udara oleh Majlis Perundangan, Tentera Udara Diraja Malaya telah ditubuh dengan rasminya pada 2 Jun 1958 di Pangkalan RAF, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Pemerintah pertama Tentera Udara Diraja Malaya ialah Air Comodore A.V.R. Johnstone yang dipinjam daripada RAF. Beliau hanya mempunyai empat belas anggota Tentera Udara di bawah pemerintahannya.

Untuk menentang ancaman komunis, Rejimen Askar Melayu telah diperbesarkan daripada tiga batalion kepada tujuh batalion. Pada tahun 1950-an, kesemua tujuh batalion Rejimen Askar Melayu diletakkan di bawah kawalan operasi Tentera Darat Timur Jauh British (Far East Land Forces) yang berpusat di Singapura dan Malaya Command yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Semasa darurat, batalion Rejimen Askar Melayu telah ditugaskan beroperasi berganding bahu dengan pasukan British dan pasukan Komanwel British lain dari Australia, New Zealand, Fiji dan negara-negara Komanwel Afrika yang lain.

Skuadron Latihan Penerbangan telah ditubuhkan di Kuala Lumpur pada Disember 1958 dengan enam pesawat udara Chipmunk. Pada 8 Februari 1959, tiga lagi pesawat udara (2 Single Pioneer dan 1 Twin Pioneer) tiba untuk digunakan bersama Twin Pioneer yang pertama (Lang Rajawali). Bilangan pesawat udara Pioneer kemudiannya ditambah menjadi dua belas. Penyerahan Pangkalan RAF di Kuala Lumpur kepada Tentera Udara Diraja Malaya pada 25 Oktober 1960 menandakan satu lagi peristiwa penting dalam pembangunan Tentera Udara Diraja Malaya. Dengan penubuhan Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaya menjadi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan nama ini kekal hingga sekarang.

TUDM menyaksikan pembesaran yang ketara dalam tahun 1960-an. Pada awal 1961, TUDM membeli pesawat udara Piston Provost untuk menggantikan Chipmunk yang digunakan untuk melatih juruterbang di Skuadron Latihan Penerbangan. Pada September 1961, TUDM menerima lima lagi pesawat udara yang terdiri daripada dua Cessna dan tiga Dove. Pesawat udara ini diletakkan di bawah Skuadron No. 2 yang baru ditubuhkan pada 19 Januari 1962. Pengenalan helikopter Alouette 111 Perancis pada Ogos 1963 untuk menubuhkan Skuadron No. 3 semakin menambahkan lagi peranan TUDM dalam membantu operasi Tentera Darat. Dalam bulan yang sama, TUDM menerima dua pesawat udara Heron menggantikan Cessna yang tamat beroperasi pada 12 Oktober 1963. Ketibaan pesawat udara pengangkutan Dart Herald pada November 1963 menandakan kemasukan TUDM dalam arena pengangkutan jarak sederhana. Pesawat udara ini diletakkan di bawah Skuadron No. 4. Pesawat udara dan skuadron ini dihentikan perkhidmatannya berperingkat-peringkat pada 31 Oktober 1976.

Dengan pembesaran pesat TUDM, kemampuan latihan teknik dan simpanan peralatan juga perlu ditambah. Ekoran itu, sebuah Sekolah Latihan Teknik ditubuhkan di Kinrara, Kuala Lumpur pada Ogos 1963. Ini diikuti dengan penubuhan Depot Peralatan di TUDM Kuala Lumpur pada Januari 1964.

Pada April 1964, TUDM mengembangkan sayapnya di luar Kuala Lumpur, bermula dengan penubuhan pangkalan TUDM untuk melatih juruterbang di Alor Star. Skuadron Latihan Penerbangan di Kuala Lumpur kemudiannya dipindahkan ke Alor Star. Setahun kemudian, Skuadron No. 5 (helikopter Alouette 111) ditubuhkan di Labuan bagi menampung keperluan helikopter di Sabah dan Sarawak. Ini diikuti dengan penubuhan Skuadron No. 8 (pesawat udara Twin Pioneer) di Labuan pada 1 Mac 1966. Satu lagi jenis pesawat udara Caribou daripada Kerajaan Kanada, menyertai Skuadron ini pada 4 September 1966.

Dalam melaksanakan operasi melawan insurgensi, Tentera Darat memerlukan komitmen yang lebih besar dari TUDM dalam bentuk mengatur gerak trup dan pengungsian kecederaan. Keperluan Tentera Darat ini membawa kepada penubuhan dua lagi pangkalan TUDM tambahan, di Kuantan dan di Kuching pada April 1967. Pada Ogos 1967 helikopter Sikorsky S6I A-4 mula digunakan. Oleh kerana helikopter ini lebih besar daripada Alouette III, helikopter Sikorsky ini dapat mempertingkatkan dengan begitu baik sekali keupayaan pengangkutan udara menegak TUDM, justeru itu memberikan mobiliti dan fleksibiliti kepada trup Tentera Darat. Dengan helikopter yang diberi nama “Nuri” ini Skuadron No. 7 telah ditubuhkan di Pangkalan TUDM Kuching.

Dalam bulan yang sama, pesawat udara jet pejuang Canadair CL 41G tiba untuk memberi bantuan serangan taktik kepada pertempuran Tentera Darat. Dengan pesawat udara jet Kanada yang digelar “Tebuan”, Skuadron No. 6 ditubuhkan di Pangkalan TUDM Kuantan.

Pembangunan TUDM maju setapak lagi dengan tertubuhnya Markas Udara Taktik di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak pada tahun 1967. Markas-markas ini menyediakan pemerintahan dan kawalan rapi yang diperlukan bagi pelbagai operasi yang dilaksanakan oleh Skuadron TUDM di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Pembesaran pesat TUDM hingga November 1967 adalah di bawah pengawasan rapi RAF. Pada 1 November 1967, Komodor Udara Dato’ Sulaiman bin Sujak adalah anak Malaysia pertama menjadi Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia. Dengan penarikan keluar tentera British dari Butterworth, TUDM diberi tanggungjawab utama memelihara keselamatan pertahanan udara negara. Tugas ini diberi kepada Skuadron No. 11, yang ditubuhkan pada September 1969 di Butterworth dengan sepuluh pesawat udara F86 Sabre yang diberi oleh Kerajaan Australia. Pada tahun yang sama Pangkalan TUDM Butterworth ditubuhkan bersampingan dengan Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia.

Pada 1968, TUDM menubuhkan sebuah lagi skuadron helikopter Nuri, Skuadron No. 10 di Kuantan. Skuadron No. 9 ditubuhkan pada September 1969 untuk melatih juruterbang TUDM bagi pesawat udara jet pejuang Tebuan. Skuadron ini ditempatkan bersama dengan Skuadron Tebuan No. 6 di Pangkalan TUDM Kuantan.

Pada 20 November 1969, semua pesawat udara Single Pioneer dan Twin Pioneer ditamatkan perkhidmatannya dalam TUDM. Dalam tahun yang sama Caribou mula berkhidmat dengan Skuadron No. 1 menggantikan Twin Pioneer. Pusat Pertahanan Udara (ADC) No. 1 telah ditubuhkan pada 1 September 1971 di Pangkalan TUDM Butterworth menggunakan radar Marconi S-600.

Dalam tahun 1970-an, program modenisasi TUDM diteruskan dengan penubuhan Pusat Pertahanan Udara No. 2 di TUDM Kuala Lumpur. Pusat ini kemudiannya berpindah ke Bukit Jugra, Selangor pada tahun 1972. Dalam tahun yang sama Pusat Pertahanan Udara No. 3 ditubuhkan di TUDM Kuantan dan sebuah Pusat Kawalan Lalulintas Udara Bersama telah ditubuhkan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Subang.

Di Pangkalan TUDM Alor Star, pesawat udara Piston Provost yang digunakan bagi latihan penerbangan asas telah digantikan dengan pesawat udara Bulldog pada 1972. Pesawat udara HS 125 yang digelar “Merpati” mula berkhidmat di Skuadron No. 2 pada tahun 1973 dan pesawat udara Fokker F28 pada tahun 1975 sebagai pesawat udara komunikasi (pengangkutan) dif-dif kenamaan. Pada tahun 1975, pesawat udara Cessna 402B dimasukkan ke dalam inventori TUDM untuk tugas komunikasi biasa (pengangkutan) di Skuadron No. 2 dan untuk latihan penerbangan lanjutan di Pangkalan TUDM Alor Star.

Dalam tahun yang sama, Sekolah Latihan Helikopter ditubuhkan di Pangkalan TUDM Kuala Lumpur menggunakan BELL 47G untuk melatih juruterbang helikopter. Sekolah latihan ini kemudiannya dipindahkan ke Kluang, Johor apabila pangkalan TUDM dibina di sana pada Mei 1979.

Pada 31 Mei 1975, buat julung-julung kalinya TUDM menceburi era supersonik dengan memperolehi pesawat udara F5E dan F5B yang berpangkalan di Butterworth. Ini membawa kepada penubuhan Skuadron “Supersonik” No. 12 dan penamatan berperingkat-peringkat Skuadron No. 11 pesawat udara Sabre.

Pada Mei 1976, TUDM menyaksikan penubuhan Depot Baikpulih Pesawat Udara atau Aircraft Overhaul Depot (AIROD) di Subang. Depot ini (sekarang diswastakan) berupaya membaikpulih enjin pesawat udara, justeru itu mengurangkan kos penyenggaraan.

Dengan bertambahnya tanggungjawab operasi, TUDM memperolehi pesawat udara pengangkutan jarak jauh C130H untuk menubuhkan Skuadron No. 14 di Pangkalan TUDM Kuala Lumpur pada Julai 1976. Pesawat udara pengangkutan Dart Herald dan Hewn kemudiannya ditamatkan perkhidmatannya berperingkat-peringkat.

Pada tahun 1978, TUDM menubuhkan Sekolah Latihan Jurulatih Penerbangannya sendiri yang ditempatkan bersama dengan Sekolah Latihan Penerbangan di Alor Star. Sebuah lagi pangkalan TUDM ditubuhkan di Ipoh, Perak pada 7 November 1979. Pangkalan ini menempatkan Pusat Latihan Rekrut TUDM.

Di sepanjang tahun 1980-an, TUDM telah melengkapkan dirinya supaya berdikari dalam menghadapi pengunduran sepenuhnya RAAF dari Butterworth. Dengan pengumuman pada April 1979, Skuadron No. 4 telah dihidupkan semula untuk memegang peranan pengawasan maritim selepas memperolehi pesawat udara C130P Hercules pada 1 Mei 1980. Pada April 1981, pesawat udara serang F5B telah digantikan dengan pesawat udara jet F5F. Pesawat udara ini digunakan untuk pengubahsuaian juruterbang dan operasi harian.

Dalam tahun 1983, PC-7 Turbo Trainer tiba untuk menggantikan Bulldog yang telah usang di Sekolah Latihan Penerbangan TUDM Alor Star. Dalam tahun yang sama pesawat udara Aermacchi MB 339A tandem two seater trainer/ground attack diperolehi bagi pengubahsuaian jet dan peranan serangan ringan. Bagi peranan tinjauan udara Skuadron No. 11 yang terdiri daripada pesawat udara F5E telah dihidupkan semula pada 1 Jun 1984. Dengan penubuhan skuadron ini TUDM melengkapkan diri untuk memikul lebih banyak peranan taktik dan pertahanan udara.

McDonnell Douglas A-4 PTM Skyhawk menyertai barisan pesawat udara TUDM di Kuantan pada 28 Disember 1984. Pesawat udara ini dibeli sebagai sebahagian daripada program pembangunan TUDM menggantikan pesawat udara Jet Tebuan di Pangkalan TUDM Kuantan.