SEJARAH RINGKAS ATM 

Sebagai sebuah negara berdaulat, organisasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merangkumi ketiga-tiga cabang pasukan termasuklah organisasi sokongan. Kewujudannya adalah untuk mempertahankan negara dari ancaman luar dan dalam negara. Bermula dari awal penubuhannya, ATM telah mengharungi pelbagai dugaan dan kepayahan dalam mencurah khidmat baktinya kepada negara. ATM mengandungi ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat (TD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan Pemerintah Tertinggi dalam ATM. Baginda melaksanakan tanggungjawabnya mengikut nasihat Menteri Pertahanan dan Kabinet. Menteri Pertahanan bertanggungjawab kepada Baginda dan juga Kabinet dalam menggubal dan membuat keputusan polisi berhubung keselamatan dan pertahanan bagi memastikan ATM yang merangkumi pelbagai formasi dan unit melaksanakan peranan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh polisi.

Sungguhpun kewujudan pasukan tentera asalnya disertai oleh sekumpulan anak Melayu di dalam Ceylon Rifle Regiment di abad ke-18 lagi dan kemudiannya disertai oleh pelbagai bangsa di dalam Malay State Volunteer Rifles sejak 1915, susur-galur ATM boleh diimbau dari penubuhan rasmi Tentera Darat. Begitu juga dengan warisan sejarah Tentera Darat sendiri boleh diimbau dari pembentukan Rejimen Melayu (The Malay Regiment) pada 1 Mac 1933 di Haig Lines Port Dickson, Negeri Sembilan.

Segala-galanya berlaku selepas Majlis Jawatankuasa Perundingan Persekutuan Tanah Melayu menyerahkan Rang Undang-undang, Akta No 11 susulan British War Office meluluskan pembentukan sebuah pasukan tentera yang disertai oleh rakyat tempatan. Rejimen ini terdiri dari dua buah batalion intantri menjelang bermulanya Perang Dunia II dan anggota-anggotanya telah berperang sehingga menyerah kalah selepas Peperangan Singapura atau Battle of Singapore 1942. Pasukan 1 Batalion Rejimen Melayu terkenal dengan keberanian mereka mempertahankan Bukit Chandu atau dikenali “Opium Hill”.

Peperangan Bukit Chandu atau “Battle of Opium Hill” pada 14 Februari 1942 melibatkan seramai 42 anggota tentera diketuai Lt Adnan Bin Saidi yang berjuang bermati-matian dari serangan Divisyen ke-18 Tentera Darat Jepun. Penyusunan semula Rejimen Melayu selepas Perang Dunia II tamat memperlihatkan anggota-anggota rejimen ini masih mewarisi sifat-sifat keberanian sehinggalah zaman Insurgensi yang menyaksikan semangat kental mereka berperang menentang pengganas komunis.

Era Insurgensi memperlihatkan pembentukan beberapa buah unit gempur iaitu Rejimen Renjer, Gerup Gerak Khas dan pelbagai pasukan sokongan tentera darat ditubuhkan seperti Artileri, Jurutera, Armor dan Semboyan. Sebagai sebuah negara yang tergolong dalam gugusan kepulauan Melayu yang mempunyai hasil marina, mewah dan mewarisi keperwiraan laksamana dan pelaut, tidak lama selepas penubuhan Rejimen Melayu, cabang angkatan laut telah ditubuhkan dalam organisasi ATM. Penubuhan Straits Settlement Royal Naval Volunteer Reserve (SSRNVR) pada 27 April 1934 menandakan bermulanya sejarah sebuah angkatan laut moden yang kini dikenali Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Seperti juga Tentera Darat, TLDM turut menyumbangkan khidmat bakti dan keberanian semasa Perang Dunia II, zaman Insurgensi dan konfrontasi serta pasca Perang Dingin dan pasca 9/11.

Tentera Udara Diraja Malaysia atau TUDM merupakan cabang termuda dalam ATM semasa ditubuhkan secara rasmi pada 1 Jun 1958 dengan perolehan pesawat pengangkut pertama. Bermula dengan pengoperasian pesawat pengangkut Twin Pioneer, TUDM kini boleh berbangga dengan kemasukan pesawat-pesawat kombat moden dalam pegangan aset udaranya dan TUDM juga disokong oleh para pegawai dan anggota profesional. Seperti juga kedua-dua cabang darat dan laut, TUDM telah melalui pelbagai cabaran dan rintangan sepanjang lima dekad penubuhannya.

Pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, menyaksikan kerajaan telah merombak pembentukan ketiga-tiga cabang perkhidmatan di bawah Angkatan Tentera Persekutuan yang kini tertakluk di bawah Akta Angkatan Tentera (1972). Kerajaan juga telah mempersetujui iaitu Hari Angkatan Tentera disambut pada hari dan tarikh yang sama setiap tahun sempena penubuhan Malaysia. Bagaimanapun, mengambil kira penubuhan awal pasukan tentera pada 1933, yang merupakan pasukan tentera peneraju negara, tahun tersebut juga telah dijadikan sebagai tahun tertubuhnya ATM.