ATM DALAM PERTAHANAN SERANTAU 

Malaysia yakin bahawa selain daripada membangun dan memodenkan Angkatan Tentera Malaysia, ia juga perlu menjalin hubungan pertahanan dan keselamatan dengan negara-negara jiran serta juga negara-negara sahabat. Selama beberapa tahun, Malaysia telah berjaya memupuk hubungan ketenteraan yang erat dengan negara-negara ASEAN dan negara-negara lain di rantau Asia Pasifik. Hubungan ini dijalin dalam bentuk pendekatan dua dimensi iaitu untuk mewujudkan hubungan dua hala (bilateral) dan hubungan pelbagai hala (multilateral).
PENDEKATAN PERTAMA : HUBUNGAN DUA HALA
Malaysia sekarang ini menjalin hubungan dua hala dengan semua negara jiran ASEAN pada pelbagai peringkat kerjasama ketenteraan. Hubungan ketenteraan dua hala meliputi pelbagai aspek yang luas seperti lawatan saling balas, program pertukaran anggota, kursus ketenteraan, seminar dan mesyuarat berkala yang membawa kepada pelaksanaan eksesais gabungan pada waktu-waktu yang ditetapkan. Pendekatan pertama hubungan dua hala terbahagi kepada tiga kategori. Kategori pertama membabitkan Thailand dan Indonesia, yang berkongsi sempadan dan masalah keselamatan dengan Malaysia. Kategori kedua melibatkan hubungan dua hala dengan Singapura, Brunei dan Filipina, dan ketiganya dengan negara anggota Peraturan Pertahanan Lima Negara (Five-Power Defence Arrangement-FPDA) serta negara-negara sahabat yang lain.

Dalam hubungan dua hala kategori pertama, hubungan pertahanan dan keselamatan Malaysia dengan Indonesia dan Thailand terjalin erat. Hubungan dua hala tersebut dipupuk ketika era Perang Dingin apabila Indonesia dan Thailand bersama-sama Malaysia menghadapi ancaman pemberontakan komunis. Dengan terhapusnya ancaman komunis, kerjasama tentera dua hala kini dijalankan dalam bentuk eksesais tentera di darat, laut dan udara yang dilaksanakan di antara ATM dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Angkatan Tentera Diraja Thai (RTAF). Siri eksesais tentera ATM-TNI dikenali seperti berikut:

  •     Ex Kekar Malindo (Tentera Darat).
  •     Ex Malindo Jaya (Tentera Laut).
  •     Ex Helang Malindo (Tentera Udara).
  •     Ex Malindo Darsasa (Angkatan Tentera).

Dengan Thailand, eksesais gabungan darat, laut dan udara di antara ATM dan RTAF dikenali sebagai siri Land Ex Thamal (Thailand-Malaysia), Sea Ex Thamal dan Air Ex Thamal. Kesemua eksesais dua hala ini dilaksanakan setiap tahun di bawah naungan Perjanjian Jawatankuasa Sempadan Am (General Border Committee-GBC) dan setiap negara bergilir-gilir menjadi tuan rumah. Latihan tentera ini merupakan mercu tanda hubungan erat yang dinikmati oleh Malaysia dengan Indonesia serta juga Thailand. Selain daripada latihan dan Iawatan saling balas yang sering diadakan, terdapat juga mesyuarat tahunan GBC yang membabitkan Jakarta dan Bangkok. GBC diwujudkan dalam era insurgensi komunis dan sejak itu telah melalui beberapa penyesuaian ekoran terhapusnya ancaman komunis. Kini, isu-isu lain seperti lanun, narkotik dan penyeludupan senjata telah menjadi perkara agenda dalam perbincangan mesyuarat GBC. Mesyuarat GBC telah juga memperluaskan mandatnya untuk membincang dan melaksanakan pembangunan sosio-ekonomi di wilayah sempadan yang pernah menjadi sarang pemberontak komunis.

Dengan Angkatan Tentera Singapura (SAF), peringkat eksesais dan hubungan dilaksanakan melalui Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA). Perjanjian pelbagai hala ini menyediakan kemudahan bagi Malaysia dan Singapura bekerjasama antara satu sama lain dari segi ketenteraan. Ini membabitkan eksesais ketiga-tiga elemen darat, laut dan udara. Siri eksesais darat diberi nama Ex Semangat Bersatu, manakala eksesais tentera laut digelar Ex Malapura (Malaysia-Singapura), dan eksesais udara diberi nama kod Sarex untuk latihan mencari dan menyelamat.

Dengan negara Brunei, Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani pada 14 Februari 1992, menyeru peningkatan kerjasama ketenteraan dua hala di antara Angkatan Tentera kedua-dua negara. Terdapat juga rancangan untuk meningkatkan tahap eksesais dan hubungan di antara kedua-dua Angkatan Tentera serta pertukaran maklumat mengenai hal ehwal keselamatan dan pertahanan. Dalam hal ini, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah memulakan hubungan dengan Tentera Laut Diraja Brunei bagi melaksanakan beberapa siri eksesais tentera laut dikenali sebagai Ex Hornbill. Tentera Darat Malaysia juga mengadakan eksesais darat dengan Rejimen Askar Melayu Diraja Brunei dikenali sebagai Ex Malbru Setia. Hubungan ketenteraan dua hala dengan Filipina juga dalam proses kajian semula bertujuan untuk mempertingkatkan kerjasama pertahanan hasil pertukaran lawatan panglima tentera tertinggi kedua-dua Angkatan Tentera.

Dalam kategori ketiga, Malaysia telah bekerjasama pada pelbagai peringkat dengan negara-negara lain seperti United Kingdom, Australia dan New Zealand di bawah naungan FPDA dan negara-negara lain seperti Amerika Syarikat. Dalam hal Amerika Syarikat, beberapa siri eksesais tentera dijalankan di antara Tentera Darat Malaysia dan Tentera Amerika Syarikat. Ini termasuk eksesais seperti Ex Penyu Trident, Ex Balance Mint dan Ex Wira Eagle yang dilaksanakan di bawah Program Kumpulan Latihan dan Perundingan Dua Hala (Bilateral Training and Consultative Group- BITACG).

PENDEKATAN KEDUA : PERATURAN PERTAHANAN LIMA NEGARA
Pada pendekatan hubungan tentera yang kedua, Malaysia merupakan salah sebuah dari lima negara anggota yang menandatangani Peraturan Pertahanan Lima Negara (Five Power Defence Arrangement-FPDA) pada 1971. Hakikatnya, FPDA ialah produk keselamatan yang telah dipertingkatkan daripada dua perjanjian pertahanan yang dimeterai lebih awal yang dikenali sebagai Perjanjian ANZAM (Australia, New Zealand, British Malaya) tahun 1948 dan AMDA (Perjanjian Pertahanan Inggeris-Malaya) 1957.

FPDA merupakan suatu perikatan pertahanan bersama yang dikendalikan melalui perundingan bersama ketika menghadapi krisis. Perancang FPDA amat bijak kerana memandang jauh ketika menggubal peraturan rangka kerja tersebut sebagai satu perikatan yang mempunyai kelonggaran namun begitu berupaya mengekalkan kerjasama pertahanan yang kredibel. Kelima-lima negara selain menjadi negara anggota Komanwel, mempunyai pertalian sejarah melalui peristiwa-peristiwa ketenteraan dalam Perang Dunia Kedua, Darurat Pertama dan Konfrontasi Malaysia-Indonesia.

Dengan wujudnya FPDA, mana-mana pihak yang ingin mencabuli kedaulatan Malaysia atau Singapura perlu mengambil kira reaksi dan pembabitan tentera British, Australia dan New Zealand sepertimana yang dapat dilihat dalam rekod persengketaan bersenjata yang dialami di negara sebelumnya.

PERUNTUKAN PENTING FPDA

Peruntukan yang paling penting dalam Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri Lima Negara yang berlangsung di London pada April 1971 menyatakan bahawa, “sekiranya berlaku sebarang bentuk serangan bersenjata yang dirancang atau dibantu oleh negara asing atau wujudnya ancaman bersifat sedemikian terhadap Malaysia dan Singapura, Kerajaan mereka boleh segera berunding untuk memutuskan langkah yang perlu diambil bersama atau secara berasingan berhubung dengan serangan atau ancaman tersebut.”

Perkara-perkara lain yang penting dalam Kenyataan Bersama tersebut ialah:

  •     Penubuhan Markas Sistem Pertahanan Udara Bersepadu (Integrated Air Defence System-IADS).
  •     Peruntukan liputan IADS bagi Malaysia dan Singapura.
  •     Penubuhan Majlis Pertahanan Udara (Air Defence Council-ADC).
  •     Pembentukan Majlis Perundingan Bersama (Joint Consultative Council-JCC) untuk mengadakan forum perundingan pada peringkat pegawai kanan berhubung perkara-perkara mengenai peraturan pertahanan.

Markas IADS yang berpangkalan di Butterworth, Pulau Pinang ialah elemen FPDA yang paling ketara. Markas IADS dianggotai oleh seorang Mejar Jeneral dan beberapa staf pakar dari lima negara anggota. Pada dasarnya, peranan masa aman IADS ialah untuk membentuk dan menyenggara suatu sistem pengawasan ruang udara Malaysia dan Singapura. Untuk memenuhi objektif ini IADS sering menjalankan Eksesais Pertahanan Udara (Air Defence Exercise atau ADEX) dan eksesais tambahan yang lain sama ada kecil mahupun besar.

EKSESAIS FPDA

Di bawah FPDA, beberapa eksesais darat, laut dan udara dijalankan setiap tahun. Dalam menjalankan eksesais darat bergabung, Malaysia, Australia, New Zealand dan Singapura bergilir-gilir menjadi negara tuan rumah kepada eksesais pelbagai hala ini. Eksesais gabungan darat FPDA ini sekarang digelar Ex Suman Warrior. Akronim Suman dipilih untuk menunjukkan negara peserta iaitu Singapura, United Kingdom, Malaysia, Australia dan New Zealand. Dahulu, nama kod bagi setiap eksesais darat diberi oleii negara tuan rumah, seperti Ex Kris Sakti oleh Malaysia, Ex Platypus oleh Australia, Ex Kiwi Connection oleh New Zealand dan Ex Lion Spirit oleh Singapura.

Eksesais tentera laut FPDA digelar Ex Starfish yang biasanya dijalankan di Laut China Selatan membabitkan tentera laut kesemua lima negara anggota. Sepertimana yang telah dibincangkan di bawah IADS, Eksesais Pertahanan Udara (ADEX) sering dijalankan membabitkan tentera udara lima negara peserta, biasanya terdiri dari beberapa eksesais besar dan kecil dalam setahun.

Selain dari eksesais FPDA pelbagai hala, Malaysia telah membuat ketetapan untuk menjalankan eksesais dua hala dengan Australia, Britain, New Zealand dan Singapura. Beberapa contoh eksesais tentera darat dua hala ialah Ex Orang Hutan dengan Britain, Ex Haringaroo dengan Australia, Ex Taiha Tombak dengan New Zealand dan Ex Malapura dengan Singapura. TLDM dan TUDM juga telah berjaya menjalankan eksesais dua hala dengan rakan sejawatan masing-masing dari Australia, New Zealand dan Singapura.

NILAI FPDA PADA MALAYSIA DAN NEGARA SERANTAU

Nilai ketenteraan FPDA dapat dilihat dari beberapa aspek. Pertama, ialah faedah latihan dan eksesais tentera. Dengan kejayaan pelaksanaan eksesais tentera tahunan, ATM telah berkesempatan untuk menjalani latihan silang dengan rakan FPDA dan berkongsi pengalaman operasi serta doktrin. Selama beberapa tahun, hubungan ketenteraan pelbagai hala di kalangan negara anggota FPDA telah mendorong pengukuhan ikatan perhubungan dan memupuk persefahaman yang lebih baik antara satu sama lain.

Kedua, ialah nilai kepentingan hubungan politik dan keselamatan, khususnya di antara Malaysia dan Singapura. Dalam hal Singapura, FPDA ialah suatu hubungan yang ketara yang niengikat Angkatan Tentera kedua-dua negara. Melalui FPDA, kedua-dua Angkatan Tentera dapat berlatih bersama. Ini ialah suatu proses yang penting dan merupakan langkah pembina keyakinan yang sangat bernilai di antara kedua-dua negara jiran ini.

Dari perspektif Malaysia, FPDA dilihat bukan sahaja sebagai mempunyai nilai keselamatan bahkan juga mempunyai merit politik dan ekonomi. FPDA mengukuhkan lagi jalinan ekonomi dan politik Malaysia dengan rakan FPDA yang lain iaitu Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom.

Sebagai analisis terakhir, pendekatan hubungan tentera dua hala yang diterima-pakai oleh ATM telah mewujudkan lingkaran ikatan keselamatan yang terjalin erat di rantau ASEAN. Ini dimantapkan lagi melalui pendekatan pelbagai hala yang dicapai menerusi rangkaian FPDA untuk memberi liputan pertahanan pencegahan kepada Malaysia dan Singapura. Pendekatan dua dimensi yang dirangka oleh ATM telah menyumbang secara positif ke arah peningkatan kestabilan negara serantau. Dalam dua dekad yang laiu, FPDA telah mencapai objektif memperolehi persekitaran yang bebas persengketaan seperti yang dihasratkan bagi Malaysia dan negara serantau. Hasil keselamatan yang diusahakan ini telah mewujudkan iklim yang sihat bagi pelabur-pelabur tempatan dan asing untuk menyertai secara aktif dalam aktiviti ekonomi dan perdagangan bukan sahaja di Malaysia bahkan juga di kalangan negara-negara ASEAN dan FPDA.