ATM DALAM PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU 

Tugas pengaman hakikatnya boleh disebut sebagai campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara aman. Operasi Pengaman PBB telah serba sebanyaknya membawa kestabilan dan keselamatan di kawasan-kawasan yang bersengketa di merata dunia. Dari tahun 1948 hingga September 1994, PBB telah melaksanakan dua puluh lapan operasi pengaman. Daripada dua puluh lapan operasi tersebut tiga belas operasi masih lagi dijalankan. ATM terbabit melaksanakan tugas pengaman di 13 buah negara melibatkan 16 misi PBB.

Misi-misi PBB ini adalah seperti berikut:

  •     Operasi PBB di Congo (ONUC) – 1960-1963
  •     Kumpulan Pemerhati Tentera Iraq-Iran PBB (UNIIMOG) – 1988-1991
  •     Misi Pemerhati Iraq-Kuwait PBB (UNIKOM) – 1991
  •     Pejabat Setiausaha Agung PBB di Iraq (UNOSGI) – 1991-1992
  •     Misi Pengesahan Angola II PBB (UNAVEMII) – 1991
  •     Kumpulan Bantuan Peralihan PBB di Namibia (UNTAG) – 1989-1990
  •     Misi Hadapan PBB di Kampuchea (UNAMIC) – 1991-1992
  •     Kuasa Peralihan PBB di Kampuchea (UNTAC) – 1992-1993
  •     Pasukan Perhubungan Tentera PBB di Kampuchea (UNMLT) – 1993-1994
  •     Misi PBB bagi Referendum di Sahara Barat (MINURSO) – 1991
  •     Pegawai Perhubungan Tentera PBB di Yugoslavia (UNMLOY) – Februari-April 1992
  •    Operasi PBB di Somalia (ONUSOM II) – 1993
  •    Operasi PBB di Mozambique (ONUMOZ) – 1994
  •    Pasukan Perlindungan PBB di Bosnia-Herzegovina (UNPROFOR) – 1993
  •    Misi Pemerhati PBB di Liberia (UNOMIL) – 1993
  •     Kumpulan Pemerhati Aouzou Strip PBB (UNASOG) di Chad – April-Mei 1994

CONGO (1960-1963)

Penyertaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam operasi pengaman PBB bermula sejak tahun 1960 sebelum pembentukan Malaysia. Ini adalah pembabitan ATM yang pertama dalam operasi pengaman. Sebagai menyahut seruan PBB menyertai Operasi PBB di Congo (United Nations Operation in Congo – ONUC), Pasukan Khas Malaya (Malayan Special Force) telah ditubuhkan terdiri daripada empat kontinjen yang berkhidmat di Congo mulai Oktober 1960 hingga April 1963.
Mandat PBB yang diberi kepada Pasukan Khas Malaya dan pasukan Pengaman PBB yang lain ialah pada mulanya memastikan penarikan keluar Tentera Belgium dan “membantu Kerajaan yang baru ditubuhkan memelihara undang-undang dan ketenteraman serta menyediakan bantuan teknikal”. Namun demikian, apabila peristiwa demi peristiwa berlaku, fungsi ONUC kemudiannya diubahsuai supaya memasukkan “pemeliharaan keutuhan wilayah dan kebebasan politik di Congo, mengelakkan berlakunya perang saudara dan menjamin penarikan keluar dari Congo semua tentera, separa tentera dan anggota penasihat asing yang bukan di bawah pemerintahan PBB dan semua askar upahan”.
MSF melaksanakan tugas dengan cemerlang sepanjang perkhidmatan mereka di Congo. Di atas keberanian dan ketabahan mereka menjalankan tugas, tiga orang pegawai telah dikurniakan anugerah keberanian negara yang unggul iaitu Panglima Gagah Berani (PGB). Mereka ialah Kapt Maurice S.C. Lam (5 Jun 1963), Leftenan Muda Neville Siebel (5 Jun 1963) dan Leftenan Lee Ah Pow (3 Januari 1964).

KUMPULAN PEMERHATI TENTERA IRAN-IRAQ PBB (1988-1991)

Setelah kira-kira 28 tahun, Malaysia sekali lagi menyahut seruan PBB. Kali ini, Malaysia menghantar Pemerhati Tentera (military observer) menyertai Kumpulan Pemerhati Tentera Iran-Iraq PBB, ringkasnya UNIIMOG.

Peristiwa ini berlaku pada 20 Ogos 1988 apabila Iraq akhirnya menyetujui gencatan senjata selepas 8 tahun perang berdarah di sepanjang sempadan bersama mereka sejauh 1,200 kilometer. Berikutan tamatnya permusuhan, maka timbul keperluan untuk mengawasi, mengesah dan mengelolakan gencatan senjata serta penarikan keluar semua tentera ke sempadan yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa sementara menunggu penyelesaian komprehensif.

Malaysia menghantar tiga kumpulan pemerhati tentera ke Iraq mulai Ogos 1988 hingga Februari 1991. Mereka ditempatkan di Baghdad, Sulaimaniyah, Bagubah dan Basrah di Iraq.

PEMERHATI TENTERA UNIIMOG

Kumpulan Pertama (1988-1989)

  •     15 pegawai diketuai oleh Lt Kol Mohd Zahidi Zainuddin.

Kumpulan Kedua (1989-1990)

  •     15 pegawai diketuai oleh Lt Kol Sulaiman Yusof.

Kumpulan Ketiga (1990-1991)

  •     15 pegawai diketuai oleh Lt Kol Abdul Razak Samad.

Berikutan tamatnya misi UNIIMOG pada bulan Februari 1991, PBB menubuhkan Pejabat Setiausaha Agung PBB di Iraq (UNOSGI) yang merupakan kumpulan pentadbir terdiri daripada sekumpulan kecil pemerhati tentera dari Zambia, Hungary dan Malaysia. ATM telah diwakili oleh Mejar Norshahid Kamaruddin, Mejar Ramly Samek dan Lt Kolonel Mohd Kamal Omar sehingga Jun 1991.

KUMPULAN BANTUAN PERALIHAN PBB (UNTAG) DI NAMIBIA (1989-1990)

Ekoran pergolakan politik di Namibia yang dikuasai Afrika Selatan, campur tangan PBB ialah dalam bentuk Kumpulan Bantuan Peralihan PBB atau UNTAG yang ditubuhkan untuk menyelia pelaksanaan rancangan PBB bagi peralihan Namibia yang membawa kepada kemerdekaan

Buat pertama kali semenjak operasi PBB di Congo (ONUC) dalam tahun 1960-an, Malaysia menempatkan satu kontinjen terdiri daripada 891 pegawai dan anggota sebagai sebahagian daripada UNTAG. Kontinjen Malaysia yang memulakan operasi dari 26 Februari 1989 hingga 20 April 1990, terdiri daripada kumpulan berikut:

  1. Kumpulan Batalion (851 pegawai dan anggota LLP):
    >    Batalion ke-17 RAMD yang diperintah oleh Lt Kolonel Mislan Saiman dan kemudiannya diganti oleh Lt Kolonel Abdul Ghaffir Abdul Hamid.
    >    Kompeni Batalion ke-21 RAMD telah diperintah oleh Mej Hasni Abu Bakar.
  2. Staf Markas UNTAG: 14 pegawai diketuai oleh Kolonel H. Shariff Abdul Ghaffur bertugas di Windhoek. Kolonel H. Shariff telah dilantik sebagai Ketua Staf Markas UNTAG.
  3. Pemerhati Tentera: 25 pegawai diketuai oleh Lt Kolonel Yunos Othman telah ditugaskan dalam kumpulan-kumpulan kecil di Oshakati, Ruacana, Ondangwa dan Oshivello bersama dengan pemerhati tentera dari negara-negara lain.

Batalion Malaysia atau ringkasnya MALBATT telah ditugaskan terutamanya di Namibia Utara di Wilayah Ovamboland dan Kaokoland.

PEMERHATI PBB UNTUK MENGAWASI PERJANJIAN GENCATAN SENJATA IRAQ-KUWAIT (1991)

8

Walaupun ATM tidak terlibat dalam Perang Teluk, namun tempoh lepas perang tersebut membabitkan penyertaan ATM dalam Misi Pemerhati Iraq-Kuwait PBB ataupun dikenali sebagai UNIKOM pada April 1991. Ditubuhkan sebagai misi pemerhati tanpa senjata, mandat UNIKOM termasuk tugas-tugas berikut:

  •   Mengawasi jalan air Khawr Abd Allah di antara Iraq dan Kuwait dan Zon Bebas Tentera (Demilitarized Zone – DMZ).
  •   Menghalang pecerobohan di sepanjang sempadan.
  •   Mengekalkan pengawasan ke atas DMZ.
  •   Mengawasi sebarang perilaku seteru yang dilancarkan dari wilayah sesebuah negeri terhadap negeri yang lain.
9

Berikutan beberapa peristiwa dalam bulan Januari 1993, pada Febuari 1993, PBB memutuskan untuk menambah kekuatan UNIKOM dan memperluaskan bidang tugasnya supaya merangkumi “keupayaan mengambil tindakan fizikal untuk menghalang percerobohan ke atas DMZ dan ke atas sempadan yang baru ditanda di antara Iraq dan Kuwait”.

Untuk memenuhi misi ini, ATM menempatkan lapan pemerhati tentera yang diketuai oleh Lt Kolonel Mohd Azumi Mohamad mulai 20 April 1991. Lt Kolonel Mohd Azumi yang ditugaskan sebagai Pegawai Penerangan Tentera Kanan membantu Suruhanjaya FORAN dalam mengembalikan harta benda perang Iraq/Kuwait dan penggubalan dasar bagi memelihara ketenteraman awam di DMZ. Hingga Januari 1994 seramai 20 orang pegawai ATM telah berkhidmat dengan UNIKOM.

MISI PENGESAHAN ANGOLA PBB (1991)

10

Misi Pengesahan Angola PBB 1 yang dikenali sebagai UN Angola Verification Mission (UNAVEM 1) pada mulanya ditubuhkan oleh PBB pada 20 Disember 1988 atas permintaan Kerajaan Angola dan Cuba. Tugasnya ialah untuk mengesahkan pengunduran berperingkat dan menyeluruh terup Cuba dari Angola mengikut jadual waktu yang dipersetujui oleh kedua-dua kerajaan.

Ekoran pengunduran trup Cuba pada 25 Mei 1991, Kerajaan Angola memohon kepada Setiausaha Agung PBB bagi penyertaan PBB untuk mengesahkan pelaksanaan perjanjian damai bagi Angola, yang diusahakan oleh Kerajaan Angola dan pihak musuhnya pasukan Uniao Nacional para a Independencia Total de Angola (UNITA). Ini membawa kepada penubuhan misi pengesahan yang diusaha oleh PBB dikenali sebagai UNAVEM II pada 30 Mei 1991. Mandat UNAVEM II ialah untuk “mengesahkan peraturan yang dipersetujui oleh pihak-pihak di Angola bagi mengawasi tempoh gencatan senjata dan memerhati serta mengesahkan pilihanraya mengikut perjanjian damai yang ditandatangani oleh kerajaan Angola dan UNITA”.

Malaysia hanya menyertai UNAVEM II. Sepasukan 16 pemerhati tentera yang diketuai oleh Kolonel Hassan Samin telah dihantar ke Angola pada 17 Julai 1991. Mereka berkhidmat di beberapa tempat di Angola termasuk Luanda, Saurimo, Hambo, Chicala, Mavinga, Cazombo, Muconda, Quilengues, Santa Clara dan Marimba.

PEMERHATI PBB UNTUK SAHARA BARAT (1991)

Selama beberapa dekad. organisasi pembebasan bagi Sahara Barat yang dikenali sebagai POLISARIO, telah berjuang menentang kerajaan Morocco yang dituduh menduduki tanah mereka secara haram. Pada 11 Ogos 1988, kedua-dua pihak bersetuju dengan penyelesaian yang dicadangkan oleh PBB yang membabitkan perjanjian gencatan senjata dan mengadakan referendum tanpa kekangan tentera atau pentadbiran. Ini akan membolehkan rakyat Sahara Barat menjalankan hak mereka untuk menentukan nasib sendiri dan memilih sama ada kemerdekaan atau perpaduan dengan Morocco. Pada 29 April 1991, PBB memutuskan untuk membentuk Misi PBB bagi Referendum di Sahara Barat (MINURSO).
PBB memohon supaya Malaysia menghantar sepasukan pemerhati sebagai sebahagian daripada keperluan MINURSO untuk mengawasi gencatan senjata, memastikan terup kedua-dua pihak dibataskan di lokasi yang dipersetujui, pengawasan penyimpanan senjata dan peluru tertentu dan pengurangan terup. Pada mulanya, Malaysia hanya menghantar seorang pegawai bermula dengan Mejar Abdullah Ahmad pada Julai 1991. Pada 2 Oktober 1993, kekuatan pemerhati tentera telah ditambah kepada empat pegawai. Pada 19 Oktober 1993, Kolonel Mazlan Baharuddin telah ditugaskan sebagai Ketua Staf Markas MINURSO.

OPERASI PENGAMAN DI KAMPUCHEA (1991-1993)

Sebelum tertubuhnya kuasa peralihan di Kampuchea yang dilanda persengketaan, PBB telah membentuk Misi Hadapan PBB di Kampuchea (UNAMIC) pada 30 September 1991 bagi membantu kempat-empat puak Kampuchea yang berperang mengekalkan gencatan senjata dan mengusahakan latihan kesedaran periuk api kepada penduduk awam. Pada 28 Februari 1992, Majlis Keselamatan PBB menubuhkan Kuasa peralihan PBB di Kampuchea (UNTAC). Apabila UNTAC mula beroperasi pada 15 Mac 1992, UNAMIC telah diserapkan ke dalam UNTAC.

Selain komponen ketenteraan, UNTAC juga mempunyai komponen bantuan yang lain untuk pengawasan hak asasi manusia, pilihanraya, pentadbiran awam, kepolisian, penghantaran balik dan pemulihan. Mulai 16 Mac 1992, Malaysia menghantar sebuah kontinjen tentera terdiri daripada 910 pegawai dan anggota untuk berkhidmat selama tempoh 12 bulan.

Kontinjen ATM terdiri daripada kumpulan-kumpulan berikut:

1.  Batalion Malaysia (MALBATT):

  • Pemerintah: Kol Mohammad Arshad Mohammad Raji diganti oleh Kolonel Mohd Zamri Hj Ismail pada Jun 1993.
  • Penolong Pemerintah: Lt Kolonel Goh Ah Bah, Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja, diganti oleh Lt Kolonel Anwar Abdul Aziz, Pegawai Memerintah Batalion ke-11 RAMD pada Julai 1993.
  • Kumpulan Batalion: Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (850 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat), kemudiannya diganti dengan Batalion ke-11 RAMD pada Julai 1993.

2.  Anggota Markas Operasi UNTAC:

  • Pada mulanya sekumpulan tujuh pegawai dan tiga anggota Lain-Lain Pangkat diketuai oleh Kolonel Mohd Aris Salim berkhidmat sebagai staf di Markas Operasi UNTAC bertempat di Battambang. Pada Julai 1993, Kolonel Mohd Rodi Zakaria menggantikan Kolonel Mohd Aris Salim.

3.  Pemerhati Tentera (MILOB):

  • Lt Kolonel Soo Ah Chai mengetuai sekumpulan 29 pegawai sebagai pemerhati tentera. Pada Julai 1993, Lt Kolonel Harbans Singh mengambil alih tanggungjawab sebagai Ketua MILOB.

4.  Detasmen Polis Tentera (PT):

  • Kapten Adam Marsidi mengetuai detasmen seramai 20 anggota PT. Beliau kemudian diganti oleh Kapten Anbanathan pada Julai 1993.

5.  Kumpulan Tentera Udara Diraja Malaysia:

  • Sekumpulan 25 pegawai dan 52 anggota diketuai oleh Mejar Quek Swee Chai dari TUDM ditugaskan pada Januari 1993. Kumpulan ini mengandungi Pegawai Trafik Udara, Pemadam Kebakaran dan anggota Operasi Pangkalan. Kumpulan TUDM telah ditempatkan di Phnom Penh.

Batalion Renjer Malaysia telah ditempatkan di wilayah Battambang kira-kira 300 kilometer dari Phnom Penh dan 100 kilometer dari sempadan Kampuchea-Thai. Batalion ini telah mendapat kepujian tinggi di atas perkhidmatan mereka di Battambang.

Ketua UNTAC, Yasushi Akashi telah memuji Batalion Renjer Malaysia di atas peraturan keselamatannya yang cemerlang, sehingga menyebabkan kawasan tersebut mempunyai kehadiran pengundi yang terbanyak dalam tempoh dua hari pertama pembuangan undi.

Lapan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia juga telah dihantar untuk membantu menjalankan pilihanraya politik di bawah penyeliaan UNTAC di Kampuchea. Helikopter ini digunakan untuk membawa peti undi dan pegawai-pegawai pilihanraya dalam tempoh pilihanraya tersebut mulai 23 Mei 1993 hingga 27 Mei 1993.

 

TUGAS PENGAMAN DI SOMALIA (1993-1995)

Permusuhan di Somalia yang tercetus sejak November 1991 adalah akibat pertempuran saudara di antara dua puak utama di Somalia iaitu satu puak menyokong Presiden sementara Ali Mahdi Mohamed dan satu puak lagi menyokong General Mohamed Farah Aideed, Pengerusi Kongres Somalia Bersatu. Selain itu, terdapat 15 lagi kumpulan yang bersenjata lengkap mengawal beberapa bahagian Mogadishu, ibu negeri Somalia. Beberapa kumpulan ini telah mengisytiharkan kesetiaan mereka dengan memihak kepada salah satu daripada dua puak yang bersengketa.

Pada 14 Februari 1992, PBB berjaya memujuk kedua-dua puak utama di Mogadishu supaya bersetuju menghentikan segera permusuhan untuk membolehkan pelaksanaan gencatan senjata atas usaha PBB. Pada 24 April 1992, PBB menubuhkan Operasi PBB di Somalia dikenali sebagai UNOSOM I. Misi UNOSOM I membabitkan dua kumpulan pengaman, pertama pemerhati tentera untuk mengawasi gencatan senjata dan kedua, anggota keselamatan untuk memberi perlindungan dan keselamatan ke atas anggota, peralatan dan bekalan PBB serta mengiring penghantaran bekalan kemanusiaan ke pelbagai destinasi.

Pada 26 Mac 1993, PBB memutuskan untuk menambahkan saiz dan mandat dengan membentuk UNOSOM II yang mengambil alih operasi Pasukan Petugas Bersatu PBB (UNITAF).

Pada 18 Jun 1993, Malaysia menghantar seramai 870 anggota dari Batalion ke-19 RAMD (mekanize) ke Somalia selama tempoh operasi enam bulan. Mereka pada mulanya ditempatkan di lapangan terbang Mogadishu bersama dengan lebih 4000 anggota UNOSOM II dari 10 negara peserta yang lain. Kontinjen Malaysia terdiri daripada kumpulan-kumpulan berikut:

1.  Batalion Malaysia (MALBATT):

  • Pemerintah: Kolonel Abdul Latif Ahmad
  • Timbalan Pemerintah: Lt Kolonel Muhamad Rozi Baharom
  • Kumpulan Batalion: Tiga Kompeni Raifal (dua kompeni mekanize dan satu kompeni dari Batalion ke-7 RAMD) menjadikan jumlah kekuatan seramai 52 pegawai dan 818 anggota Lain-Lain Pangkat. Elemen bantuan tempur dan bantuan perkhidmatan juga ditugaskan.

2.  Anggota Markas UNOSOM II:

  • Lt Kol Mutalib Salleh
  • Lt Kol Liew Wai Tong
  • Mej Bernard Stainslaus Philip
  • Mej Asnan Ismail
  • Kapt Md Nazari Md Nordin
  • Kapt Muhamad Rafi Abd Kadir
  • Kapt Mohd Rahani Muhamad
  • Kapt Abd Razak Rahim

Pengaman Malaysia di Somalia diberi sanjungan yang tinggi oleh negara-negara peserta dan PBB. Dari Rumah Putih Amerika Syarikat, Malaysia menerima sepucuk warkah yang berbunyi :

“… Kami amat mengagumi keberanian dan ketabahan tentera Malaysia yang telah membantu menyelamatkan askar-askar (Amerika Syarikat) yang terbabit dalam peristiwa J dan 4 Oktober 1993. Mereka, serta semua negara lain yang telah berkorban dalam usaha kemanusiaan ini, mendapat sekalung penghargaan dari masyarakat antarabangsa dan rakyat Somalia ….”

Surat penghargaan ini ialah ekoran kejayaan misi pertempuran yang dilaksanakan oleh Batalion ke-19 RAMD untuk menyelamat askar-askar Renjer Amerika Syarikat yang terperangkap berhampiran Pasar Bakara, Mogadishu pada 3-4 Oktober 1993. Dalam operasi waktu malam, Koperal Aznan Awang mengorbankan nyawa untuk menyelamatkan askar-askar Amerika yang terperangkap dalam tembak-menembak itu. Selain Koperal Aznan yang telah terkorban dalam pertempuran, empat yang lain turut cedera parah. Empat daripada 32 APC yang telibat dalam operasi ini telah musnah. Sungguhpun demikian, misi ini telah berjaya menyelamatkan 75 nyawa tentera Amerika. Koperal Aznan Awang diberi penghormatan dengan dikurniakan selepas meninggal dunia anugerah keberanian tertinggi negara iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) sempena keberaniannya dalam pertempuran bersenjata selama tujuh jam di Pasar Bakara.

Pada 18 Julai 1994, militia Somalia menyerang hendap peronda PBB berhampiran Hotel Gulled di 21 October Road, di timur Mogadishu. Dalam peristiwa ini dua orang askar Malaysia, Staf Sarjan Azman Mohd Tahir dan Koperal Ghani Binyol telah terkorban dan empat yang lain tercedera. Pada 6 Januari 1994, Leftenen Jeneral Datuk Aboo Samah telah dilantik sebagai Pemerintah Pasukan UNOSOM II. Jeneral Samah mengambil alih pemerintahan pasukan PBB seramai 20,000 orang di Somalia daripada Leftenan Jeneral Cervik Bir dari Turki.

PASUKAN PERLINDUNGAN DI BEKAS REPUBLIK YUGOSLAVIA (1993)

Ekoran kejatuhan pemerintahan Republik Yugoslavia, negara ini telah berpecah menjadi enam wilayah iaitu Bosnia-Herzegovina, Croatia, Serbia, Montenegro, Slovenia dan Macedonia. Pasukan Perlindungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dikenali dengan akronim UNPROFOR (UN Protection Force) telah ditubuhkan pada 21 Februari 1992. UNPROFOR ditubuhkan adalah sebagai suatu rancangan sementara untuk mewujudkan situasi keamanan dan keselamatan yang diperlukan bagi mengadakan rundingan penyelesaian menyeluruh ke atas krisis Yugoslavia.

Di Croatia, UNPROFOR telah ditempatkan di tiga Kawasan Perlindungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UN Protected Areas (UNPA), di mana Majlis Keselamatan PBB memutuskan rancangan khas sementara dibuat untuk memastikan gencatan senjata yang berpanjangan dapat dikekalkan. Mandat UNPROFOR ialah untuk memastikan UNPA menjadi kawasan bebas tentera melalui pengunduran atau pembubaran semua pasukan bersenjata di kawasan tersebut dan semua penduduk di situ dilindungi daripada ancaman serangan bersenjata. Di Bosnia dan Herzegovina, UNPROFOR pada mulanya menubuhkan Markasnya di Sarajevo. Pada Jun 1992, persengketaan terus memuncak disebabkan campur tangan luar termasuk Tentera Rakyat Yugoslav (JNA) dan juga Tentera Croatia.

Untuk mencapai penyelesaian secara aman kepada sengketa tersebut, PBB mengenakan sekatan meluas ke atas Persekutuan Republik Yugoslavia (Serbia dan Montenegro). Mandat dan kekuatan UNPROFOR telah diperluaskan lagi untuk memelihara keselamatan lapangan terbang Sarajevo supaya bantuan kemanusiaan selamat dihantar ke Sarajevo dan kawasan sekitar. Lebih banyak lagi zon baru diwujudkan, setiap satu diawasi oleh satu kumpulan batalion infantri. Pada September 1992, mandat UNPROFOR telah diperluaskan lagi supaya rnembolehkannya membantu usaha Suruhanjaya Tinggi bagi Orang-Orang Pelarian PBB (UNHCR) menghantar bantuan kemanusiaan ke seluruh Bosnia-Herzegovina dan melindungi konvoi tahanan awam yang dibebaskan sekiranya diminta berbuat demikian oleh Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa. Mulai bulan November 1992, UNPROFOR telah mengawasi pematuhan larangan ke atas semua penerbangan tentera di ruang udara kawasan ini. Menjelang Mei 1993, beberapa bandar diisytiharkan “kawasan selamat” oleh Majlis Keselamatan PBB. Kawasan-kawasan ini ialah Siebrenica, Sarajevo, Tuzla, Zepa, Gorazde dan Biliac.

Untuk memenuhi mandat UNPROFOR yang telah diperluaskan itu, timbul permintaan supaya kehadiran PBB ditambah dalam bentuk pemerhati dan terup. Pada November 1993, Malaysia menempatkan satu kontinjen tentera terdiri daripada 1,489 pegawai dan anggota sebagai memenuhi permintaan PBB. Peristiwa bersejarah ini menandakan pertama kali terup Malaysia ditugaskan di benua Eropah yang beriklim sederhana. Kontinjen ini terdiri daripada kumpulan-kumpulan berikut:

1.  Batalion Malaysia (MALBATT):

  • Pemerintah: Kolonel Mohd Hashim Hussein
  • Penolong Pemerintah: Lt Kolonel Abidin Alwi
  • Kumpulan Batalion: Dua Kompeni Batalion ke-23 RAMD, tiga Skuadron Rejimen ke-3 Armor, platun mortar infantri, elemen-bantuan tempur dan bantuan perkhidmatan.

2.  Anggota Markas UNPROFOR:

  • Lt Kolonel Abdul Manaf
  • Mej Zhazali Mohd Yusof

3.  Pemerhati Tentera:

  • 20 pegawai diketuai oleh Lt Kolonel Kahar Mahmud.

Selain itu, Pasukan Perhubungan Udara yang terdiri daripada 4 pegawai dari Tentera Udara Diraja Malaysia telah juga ditugaskan. Pegawai TUDM tersebut ialah Kapt Khairani Mohamed, Kapt Ahmad Jamari Mohamed, Kapt Nor Khalid Ramli dan Kapt Hayazi Ghazali.

Berkhidmat di Bosnia-Herzagovina di bawah PBB juga tidak sunyi daripada kesedihan dan kepiluan. Pada 19 April 1994, Mejar Ramly Shaari telah terkorban ketika menjalankan rondaan untuk menentukan lokasi periuk api darat. Beliau terpijak periuk api di “Zon Pemisah” di Plastovo, Sibenik. Pada 12 Mei 1994, Mejar Ariffin Zakaria telah dibunuh oleh militia Serb ketika membuat rondaan di Sermenica, di timur laut Sarajevo.

 

 

 

PENGLIBATAN DALAM TUGAS PENGAMAN PADA MASA DEPAN

Selain daripada misi pengaman PBB yang tersebut di atas, terup Malaysia juga menyertai misi-misi lain seperti yang diminta oleh PBB dari semasa ke semasa. Misi pengaman tambahan PBB ini ialah seperti berikut:

1.  Operasi PBB di Mozambique (ONUMOZ),

2.  Operasi PBB di Liberia (UNOMIL),

3.  Kumpulan Pemerhati Aouzou Strip PBB (UNASOG) di Chad, Afrika.

Dalam semua misi PBB ini ATM telah melaksanakan tugasnya dengan sebaik mungkin. Pegawai dan anggota ATM telah menunjukkan teladan yang baik dan mereka telah mendapat penghormatan dan kepercayaan negara tuan rumah serta tentera PBB yang lain. Hakikat bahawa Malaysia telah dijemput berkali-kali menyertai operasi pengaman PBB membuktikan keupayaan dan kecekapan ATM. Anggota ATM ini boleh dianggap sebagai diplomat tentera Malaysia yang berkhidmat di bawah panji-panji PBB.

Berikutan itu, pada awal 1994 Malaysia telah dijemput menyertai Misi Pemerhati Komanwel di Afrika Selatan. Pada Mac 1994, ATM menghantar Mejar Azmi Muhammad sebagai jurulatih kepada Kumpulan Bantuan Pengaman Komanwel (Commonwealth Peacekeeping Assistance Group) yang ditubuhkan di Afrika Selatan.

Tidak dinafikan bahawa perkhidmatan gemilang Malaysia dalam operasi pengaman PBB membuktikan tahap profesionalisme yang tinggi dalam ATM. Sejak awal 1960-an, pihak PBB telah mengiktiraf sumbangan Malaysia terhadap pemeliharaan keamanan dan keselamatan sejagat. Tidak menghairankan yang Malaysia kini ialah di antara sepuluh negara teratas di dunia yang menyertai operasi pengaman PBB. Menerusi PBB, ATM telah berjaya mengeksport “produknya” sendiri iaitu komoditi tak ketara yang dikenali sebagai “keselamatan” ke negara-negara yang dilanda persengketaan. Hakikatnya, semua ini ialah lanjutan kepada dasar dalam negara Malaysia untuk membentuk masyarakat penyayang.