PERANG DUNIA KEDUA (1939-1945)

Dengan kebimbangan perang akan tercetus pada bila-bila masa sahaja di Eropah, pertahanan Malaya dan Timur Jauh telah tidak diberi perhatian serius oleh pihak British. British sama sekali tidak menduga Jepun akan melancarkan serangan memandangkan Jepun sedang berperang dengan China selama empat tahun (1937-1941) dan sedang menghadapi persengketaan sempadan dengan Rusia. Panglima Pemerintahan Malaya, (General Officer Commanding) Lieutenant General A.E. Percival telah tersilap perhitungan dalam usaha mempertahankan Malaya dan Singapura.

Dalam bulan Julai 1941, Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu menjadi sebahagian daripada Briged Pertama Infantri Malaya yang baru ditubuhkan bersama dengan Batalion ke-2 Rejimen Diraja British dan Batalion Pertama Rejimen Dogra ke-17 Tentera Darat India. Batalion ke-2 Rejimen Askar Melayu telah ditubuhkan pada 1 Disember 1941, enam hari sebelum Jepun mendarat di Singora, Patani dan Kota Bharu. Pendaratan tiga penjuru ini merupakan titik permulaan serangan Tentera Maharaja Jepun di bawah  perintah Jeneral Yamashita yang berjaya melancarkan kempen tentera selama 70 hari di Malaysia dan Singapura.

Pertempuran di Pasir Panjang, Singapura pada 14 Februari 1942 merupakan satu ujian hebat ke atas perajurit Melayu dalam usia muda Rejimen Askar Melayu. Dalam pertempuran ini, pihak Jepun melancarkan serangan dari hadapan ke atas Batalion yang ditempatkan di Pasir Panjang. Batalion Pertama dan Batalion ke-2 menjadi sasaran serangan Jepun. Dengan serangan tentera Jepun yang bertubi-tubi dan hebat sekali itu, barisan pertahanan depan telah tumpas dan trup hadapan Batalion ke-2 telah berundur ke Permatang Pasir Panjang.

Dalam pertempuran ini, Batalion ke-2 Rejimen Askar Melayu telah berjuang dengan penuh keberanian, menyerang musuh dengan bom tangan dan raifal, dibantu dengan tembakan mortar dan meriam. Memandangkan bilangan anggota dan jumlah senjata musuh lebih banyak, Batalion ke-2 yang mengalami kekurangan anggota dan peluru terpaksa berundur. Jepun mengeksploitasi situasi taktik ini dengan melancarkan serangan besar-besaran. Batalion Askar  Melayu terus bertahan, kebanyakan mereka mengorbankan nyawa berjuang mempertahankan maruah negara hingga ke titisan darah terakhir.

Kejatuhan Malaya dan Singapura pada tahun 1942 mencatat sejarah sebagai salah satu kekalahan teruk empayar British. Sungguhpun malapetaka menimpa Malaya pada awal 1942, kedua-dua Batalion Rejimen Askar Melayu telah berjuang dengan gemilang dan berkorban untuk mempertahankan tanahair tercinta. Dalam menyanjung keberanian mereka, Brigedier J.R.G. Andre, Pegawai Memerintah Batalion Pertama semasa serangan Jepun, berkata dalam perutusan perpisahannya pada tahun 1952, “Saya akan sentiasa mengenang kembali hari-hari yang getir ini dengan perasaan penuh bangga dan kasih sayang yang mendalam terhadap perajurit Melayu”.

Kemusnahan Hiroshima dan Nagasaki oleh dua bom atom dalam bulan Ogos 1945 menandakan berakhirnya Perang Dunia Kedua. Selepas perang, saki baki Rejimen Askar Melayu dikumpul, disusun dan dilatih semula. Tetapi belum sempat mereka dapat menyesuaikan diri, suatu lagi ancaman baru tiba-tiba muncul dalam bentuk bahaya komunis.