PENGUNDURAN BRITISH (1967) 

Setelah hubungan dengan Indonesia pulih seperti sedia kala, Malaysia menghadapi satu cabaran baru – bersiap sedia untuk mengambil alih sepenuhnya daripada British. Ini berlaku hasil daripada dasar British untuk berundur dari Timur Suez berkuatkuasa mulai Julai 1967. Justeru itu, penyerahan tanggungjawab Angkatan Tentera kepada Malaysia dimulakan.

 

Proses ini dilaksanakan dalam dua fasa dengan penubuhan dua divisyen infantri, satu untuk Malaysia Timur dan satu lagi untuk Semenanjung Malaysia.

 

Fasa pertama ialah untuk mengambil alih tanggungjawab operasi di Malaysia Timur (Sarawak dan Sabah) daripada Markas Pengarah Operasi Borneo British (HQ DOBOP). Tanggungjawab ini telah diberi kepada Divisyen Pertama Infantri Malaysia yang telah ditubuhkan di Kuala Lumpur pada Julai 1966 sebelum dihantar ke Kuching, Sarawak. Mejar Jeneral Dato’ Ibrahim Ismail menjadi pegawai Malaysia yang pertama memerintah divisyen Malaysia yang baru ditubuhkan itu. Pada 12 Ogos 1966, beliau mengambil alih tanggungjawab operasi daripada Mejar Jeneral G.H. Lea dari Markas HQ DOBOP yang bertukar keluar. Jawatan DOBOP British telah ditukarkan kepada DOPEM iaitu Pengarah Operasi Malaysia Timur.

 

Briged Ke-3 Infantri Malaysia yang dihantar ke Kuching pada 1966 mengambil alih daripada Briged Gurkha 99 (juga dikenali sebagai West Brigade) yang bertukar keluar. Pada masa yang sama, Briged Ke-5 Infantri Malaysia menggantikan British East Brigade di Tawau. Sebelum akhir 1966, proses penyerahan tanggungjawab kepada Malaysia di Sarawak dan Sabah telah selesai dilaksanakan tanpa sebarang masalah besar.

 

Fasa kedua dijalankan di Semenanjung Malaysia. Proses ini dimulakan dengan penubuhan Divisyen Ke-2 Infantri Malaysia pada Januari 1969. Pada mulanya Markas Divisyen ini ditempatkan di Sungai Besi sebelum berpindah ke lokasi tetapnya di Pulau Pinang pada Januari 1982. Dua unit bantuan perkhidmatan tempur yang baru telah ditubuhkan dalam tempoh ini iaitu Kor Perubatan Angkatan Tentera Malaysia pada Mei 1967 dan Kor Perisikan Malaysia pada November 1969.