CONFRONTATION (1963-1966) 

Pada 16 September 1963, Persekutuan Malaysia telah diisytiharkan. Pada hari ini, perkataan Persekutuan telah digugurkan daripada gelaran semua unit tentera dan digantikan dengan perkataan “Malaysia”. Hari ini juga menyaksikan penubuhan Batalion Pertama Renjer Malaysia, unit infantri berbilang kaum yang pertama ditubuhkan di Sarawak. Pasukan Renjer Sarawak yang dihidupkan semula oleh British pada 1953, merupakan nukleus Rejimen Renjer Malaysia yang baru ini.

 

Dengan penubuhan Malaysia, satu lagi ancaman baru telah timbul. Presiden Sukarno dari Indonesia telah mengisytiharkan dasar konfrontasi terhadap Malaysia.

Ancaman konfrontasi luar yang digelar sebagai “perang tidak diisytihar” adalah dalam bentuk pencerobohan rentas sempadan, penyusupan dan kegiatan subversif. Indonesia juga melancarkan pendaratan laut di selatan Johor serta pengguguran payung terjun di Labis, Johor Tengah. Tetapi semua pencerobohan ini berjaya dipatahkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM). ​

Memandangkan keadaan keselamatan yang semakin buruk di Malaysia Timur, Briged Infantri Ke-5 telah ditubuhkan di Tawau, Sabah pada Disember 1963. Briged Infantri Ke-4 (ditubuhkan pada Mac 1963) telah dipindahkan dari Singapura ke Pahang. Unit Gerak Khas Malaysia (RGKM) telah ditubuhkan pada 1 Mei1965. Unit ini kemudiannya menjadi Rejimen Gerak Khas Malaysia yang dikenali sebagai “Komando”. ​

Dengan kegagalan cubaan rampasan kuasa oleh Parti Komunis Indonesia (PKI) pada Oktober 1965 dan seterusnva penggulingan Presiden Sukarno, maka konfrontasi ditamatkan dengan serta-merta. Pada Jun 1966, perjanjian damai di antara Malaysia dan Indonesia telah ditandatangani dan hubungan dua hala dipulihkan kembali.