EVOLUSI PEMBANGUNAN TENTERA DARAT 

Kejatuhan Saigon pada 1975 dan penyatuan Vietnam memberi kesedaran kepada Malaysia supaya mempertingkatkan keupayaan Angkatan Tentera. Serangan Vietnam ke atas Kampuchea pada Disember 1978 menjadi pemangkin luar yang mendorong Tentera Darat Malaysia berusaha untuk menjadi sebuah angkatan pejuang yang konvensional.

Dengan demikian, tahun 1979 hingga 1983 menyaksikan perubahan Tentera Darat Malaysia menjadi angkatan konvensional melalui perlaksanaan program pemodenan khas Perkembangan Istimewa Tentera Darat (PERISTA). Dalam tempoh empat tahun itu, Tentera Darat berkembang daripada kekuatan seramai 52,500 anggota pada 1978 kepada 80,000 pada 1983. Tentera Darat Malaysia beransur-ansur bertukar daripada pasukan melawan insurgensi kepada organisasi yang lebih berstruktur konvensional. Pada akhir program PERISTA dalam tahun 1983, wajah baru Tentera Darat Malaysia dikonvensionalkan dengan cara seperti berikut:

  • Unit Tempur

  1.     Markas Kor Tentera Darat
  2.     Empat Divisyen Infantri
  3.     Sembilan Briged Infantri
  4.     Tiga Puluh Enam Batalion Infantri
  5.     Tiga Rejimen Kavalri
  6.     Satu Rejimen Gerak Khas
  7.     Satu Rejimen Kereta Perisai Anggota (Armoured Personnel Carrier)
  • Unit Bantuan Tempur

  1.     Empat Rejimen Artileri Medan
  2.     Dua Bateri Pemusnah Pesawat Udara
  3.     Lima Rejimen Jurutera
  4.     Lima Rejimen Semboyan
  • Unit Bantuan Perkhidmatan Tempur

  1.     Unit Pentadbiran dan Lojistik

Proses peralihan ke arah pemodenan Tentera Darat Malaysia diteruskan mengikut haluan yang ditetapkan, walaupun mengalami sedikit kelewatan. Ini khususnya akibat kesan kemelesetan ekonomi sejagat dalam tahun 1980-an yang melengahkan pembelian senjata dan peralatan tentera. Walau bagaimanapun, penjelmaan Tentera Darat Malaysia sebagai jentera pejuang yang moden masih jauh dari lengkap. Usaha pemodenan adalah suatu proses yang berterusan untuk menyediakan Tentera Darat Malaysia menghadapi cabaran-cabaran masa depan.

Inilah kali pertama rakyat Malaya, tidak kira bangsa, warna kulit atau keturunan, hidup dan berlatih bersama-sama demi menyahut seruan mempertahankan negara. Hari ini, semua unit tentera yang lain, kecuali batalion Askar Melayu, adalah berciri berbilang kaum.

Dengan pembesaran Tentera Darat semasa darurat, Briged Infantri ke-2 telah ditubuhkan pada bulan Oktober 1955. Briged ini telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan operasi tentera menentang gerila komunis di negeri-negeri utara seperti Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu. Briged Infantri ke-3 telah ditubuhkan dalam tahun 1957 untuk membanteras ancaman komunis di negeri-negeri selatan Semenanjung.