SEJARAH AWAL TENTERA DARAT 

Pada 1 Mac 1933, sekumpulan 25 orang pemuda Melayu yang berminat dan berdedikasi telah diambil berkhidmat untuk menubuhkan Skuad Percubaan pertama Rejimen Askar Melayu di Port Dickson, Negeri Sembilan. Pencapaian yang tidak pernah berlaku ini adalah hasil desakan beberapa orang kenamaan Melayu seperti Sultan Alang Iskandar Shah (Sultan Perak), Tuanku Muhamad Ibni Yam Tuan Antah (Raja Negeri Sembilan), Raja Chulan (Kerabat Diraja Perak) dan Dato Abdullah Haji Dahan (Undang Luak Rembau). Penubuhan skuad ini menandakan detik permulaan sejarah Tentera Darat Malaysia. Selepas menjalani latihan intensif selama 5 bulan, enam orang rekrut Skuad Percubaan Pertama telah dinaikkan ke pangkat Lans Koperal. Dengan prestasi mereka yang boleh dijadikan contoh dan keupayaan menyesuaikan diri, rekrut Melayu ini telah menunjukkan kepada pihak British bahawa mereka berupaya melaksanakan peranan sebagai perajurit dan memikul segala tanggungjawab tentera. Bertitik tolak dari pencapaian cemerlang ini, pihak British telah didorong untuk membesarkan pasukan ini.

Skuad Percubaan telah disahkan dengan rasminya melalui Rang Undang-Undang Rejimen Askar Melayu yang diluluskan oleh Majlis Persekutuan dalam bulan Januari 1933. Menjelang Jun 1934, Skuad Percubaan ini telah bertambah bilangannya kepada 156 anggota. Skuad ini kemudiannya digelar Kompeni Percubaan Pertama Rejimen Askar Melayu. Pada 1 Februari 1935, seramai 232 orang perajurit lagi telah masuk berkhidmat. Mereka ini dapat dibezakan daripada pasukan tentera yang lain di Malaya melalui pakaian seragam tiga-warna mereka (hijau, kuning dan merah) yang merupakan warna-warna Islam, Raja-Raja Melayu dan Tentera Darat British. Mereka menggunakan cogan kata “Taat Setia”. Daripada 25 orang yang mula-mula masuk berkhidmat, empat orang perajurit telah dikurniakan Tauliah Diraja oleh King George V dari England pada 4 November 1936.

Dengan pengambilan rekrut secara besar-besaran, kekuatan Rejimen Askar Melayu kian meningkat. Justeru itu, pada 1 Januari 1938, Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu telah ditubuhkan dengan rasminya. Batalion ini terdiri daripada 17 pegawai British, 6 pegawai Melayu, 11 Pegawai Waran dan 759 lain-lain pangkat. Mereka terbahagi kepada tiga kompeni raifal, satu kompeni bantuan (machinegun), Markas Kompeni, platun depot khususnya untuk melatih rekrut serta platun dram, semboyan, rintis gempur dan platun kereta perisai.