DARURAT PERTAMA (1948-1960) 

Ancaman komunis di Malaya adalah sebahagian daripada kebangkitan revolusi komunis antarabangsa yang melanda Eropah dan Asia dalam era selepas Perang Dunia Kedua. Parti Komunis Malaya (PKM) yang ditubuhkan dalam tahun 1930-an melancarkan rancangan ancaman politik dan keganasan di Malaya. Kempen tentera ini diilhamkan dari peperangan revolusi komunis Mao Tse Tung yang dilancarkan untuk menentang tentera nasionalis Chiang Kai Shek di China.

Pada 16 Jun 1948, PKM melancarkan serangan pertama. Dalam kejadian ini, tiga pengurus estet bangsa Eropah telah dibunuh oleh pengganas komunis berhampiran Sungai Siput, Perak. Berikutan kejadian ini, Pesuruhjaya Tinggi Malaya (Sir Edward Gent) mengisystiharkan keadaan Darurat di beberapa bahagian Perak dan Johor. Dalam bulan Ogos 1948, keadaan darurat telah diisytiharkan pula di seluruh Semenanjung Malaya. Mulai tarikh itu, peperangan melawan insurgensi terhadap PKM telah diisytiharkan. Komunis militan melancarkan kempen keganasan lengkap dengan senjata yang ditinggalkan oleh British dan Tentera Anti Jepun Rakyat Malaya atau MPAJA (Malayan Peoples’ Anti-Japanese Army) selepas Perang Dunia Kedua.

Untuk menentang ancaman komunis, Rejimen Askar Melayu telah diperbesarkan daripada tiga batalion kepada tujuh batalion. Pada tahun 1950-an, kesemua tujuh batalion Rejimen Askar Melayu diletakkan di bawah kawalan operasi Tentera Darat Timur Jauh British (Far East Land Forces) yang berpusat di Singapura dan Malaya Command yang berpangkalan di Kuala Lumpur. Semasa darurat, batalion Rejimen Askar Melayu telah ditugaskan beroperasi berganding bahu dengan pasukan British dan pasukan Komanwel British lain dari Australia, New Zealand, Fiji dan negara-negara Komanwel Afrika yang lain.

Satu lagi peristiwa penting dalam perkembangan Tentera Darat Malaya ialah penubuhan unit-unit tentera berbilang kaum yang benar-benar mencerminkan masyarakat majmuk Malaya. Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu, General Gerald Templer dengan perkenan Raja-Raja Melayu telah memberi kelulusan bagi penubuhan unit-unit berbilang kaum ini.

Sebagai permulaan, Rejimen Persekutuan (Federation Regiment) dan Skuadron Kereta Perisai Persekutuan (Federation Scout Car Squadron) telah ditubuhkan pada tahun 1952. Rejimen Persekutuan kemudiannya bergabung dengan Rejimen Kereta Perisai Persekutuan (asalnya Skuadron Kereta Perisai Persekutuan) untuk membentuk Kor Peninjau Persekutuan (Federation Reconnaissance Regiment) pada 1 Januari 1960.
Inilah kali pertama rakyat Malaya, tidak kira bangsa, warna kulit atau keturunan, hidup dan berlatih bersama-sama demi menyahut seruan mempertahankan negara. Hari ini, semua unit tentera yang lain, kecuali batalion Askar Melayu, adalah berciri berbilang kaum.

Dengan pembesaran Tentera Darat semasa darurat, Briged Infantri ke-2 telah ditubuhkan pada bulan Oktober 1955. Briged ini telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan operasi tentera menentang gerila komunis di negeri-negeri utara seperti Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu. Briged Infantri ke-3 telah ditubuhkan dalam tahun 1957 untuk membanteras ancaman komunis di negeri-negeri selatan Semenanjung.

Apabila negara mula mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Tentera Darat Malaya menjadi sebuah angkatan tentera yang berkembang maju dan dilengkapkan untuk menjalankan operasi melawan insurgensi. Mulai saat itu, Tentera Darat Malaya telah pesat dipermodenkan dengan penubuhan unit-unit bantuan tempur seperti Rejimen Semboyan, Rejimen Jurutera, Rejimen Artileri dan Rejimen Kereta Perisai Persekutuan. Selain itu, unit bantuan perkhidmatan tempur seperti Kor Polis Tentera, Kor Perkhidmatan Am Persekutuan (gaji, kerani dan pelajaran), Kor Penyenggaraan Angkatan Tentera (bekalan, pengangkutan, ordnans, kejuruteraan elektrik dan jentera) serta Pasukan Simpanan juga telah ditubuhkan.​

Dalam proses penyerahan tanggungjawab kepada Malaya, Markas Tentera Darat Persekutuan mengambil alih pemerintahan operasi dan pentadbiran pasukannya sendiri daripada British Malaya Command yang kemudiannya dibubarkan. Ketika itu, sebahagian besar Semenanjung Malaya telah bebas daripada ancaman komunis. Dalam tahun 1960, darurat ditamatkan dan segerombolan kira-kira 500 saki baki komunis lari mencari perlindungan di sempadan Malaya-Thai.