ANCAMAN KOMUNIS (1968-1989)

Dari 1968 hingga 1989, kebangkitan kegiatan pengganas komunis telah berlaku secara beransur-ansur di Semenanjung Malaysia. Fenomena ini didorong oleh kejayaan insurgensi komunis yang hebat di Vietnam. Dari tempat persembunyian mereka di sempadan Malaysia-Thai, PKM telah menubuhkan “unit-unit gempur” yang besar dalam usaha untuk menimbulkan perasaan gentar dan menggugat kestabilan Kerajaan sekali lagi. Peronda-peronda polis dan tentera telah diserang hendap dan jalan raya dipasang periuk api. Tahun 1974 hingga 1975 adalah tahun paling buruk dari segi insiden-insiden keganasan komunis semenjak 1948. ​

Dalam tempoh yang sering digelar sebagai “Darurat Kedua”, pengganas komunis menerima-pakai taktik-taktik baru Vietkong. Pertama ialah penubuhan gerila bandar untuk menimbulkan rasa gentar penduduk-penduduk bandar, berbeza daripada Darurat Pertama, yang sebahagian besarnya tertumpu di hutan dan kawasan luar bandar. Dalam tempoh ini, gerila bandar komunis membunuh beberapa orang kenamaan antara lain termasuk Ketua Polis Negeri Perak di Ipoh dan Timbalan Penguasa Polis di Kuala Lumpur. Kedua ialah mulanya penggunaan jerangkap samar yang telah mengakibatkan banyak kecederaan dan kematian anggota-anggota Pasukan Keselamatan. ​

Di Sarawak, pergerakan komunis adalah diarah oleh Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) yang meliputi tiga negeri iaitu Sarawak, Sabah dan Brunei. Tumpuan utama PKKU dipusatkan di Sarawak. PKKU menubuhkan dua unit tentera yang dikenali sebagai Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU) dan Pasukan Gerila Rakyat Sarawak (PGRS) untuk bcroperasi di Sarawak. Ancaman komunis yang memuncak di Sarawak Tengah pada 1971 membawa kepada penubuhan Pemerintahan Keselamatan Kawasan Rejang (RASCOM). Di bawah struktur pemerintahan bersekutu ini yang berpusat di Sibu, pihak tentera, polis dan awam telah digabungkan bagi memastikan operasi-operasi menentang pengganas komunis di kawasan Rejang dirancang dan diarah dengan sebaik mungkin.
Pada 1972, Malaysia dan Indonesia menandatangani Perjanjian Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) bertujuan untuk membanteras ancaman komunis di Sempadan Malaysia-Indonesia sepanjang 1,600 kilometer. Di bawah perjanjian ini, Angkatan Tentera Malaysia dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) berjaya melancarkan kempen sempadan terhadap PGRS dan PARAKU. Kempen tentera bergabung di antara angkatan tentera kedua-dua negara merupakan tamparan hebat kepada pergerakan komunis di Sarawak. Ini mengakibatkan penyerahan diri unit PGRS pada hujung tahun 1973, hasil daripada Operasi Sri Aman. ​ Perjanjian GBC dengan Indonesia sangat berhasil sehinggakan modus operandi ini juga digunakan terhadap PKM di Semenanjung Malaysia. Dengan menggunakan contoh ini, Malaysia dan Thailand mengikat perjanjian GBC yang serupa dengan objektif yang sama iaitu menghapuskan PKM. Hasil daripada perjanjian ini, operasi-operasi bergabung dan terselaras di antara Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Tentera Diraja Thai di kawasan sempadan telah dilaksanakan. Kali ini, komunis-komunis tersebut tidak ada lagi tempat berlindung. Pilihan yang tinggal hanyalah menyerah diri atau mati. ​

Justeru itu, PKM terpaksa berunding untuk berdamai. PKM telah menandatangani perjanjian damai pada 2 Disember 1989. Pada 17 Oktober 1990, satu lagi perjanjian damai telah ditandatangani dengan Parti Komunis Kalimantan Utara apabila unit PARAKU di Sarawak menyerah diri. Kedua-dua perjanjian damai ini menandakan berakhirnya secara rasmi ancaman komunis di Malaysia. Dengan termeterainya kedua-dua perjanjian sempadan dengan Indonesia dan Thailand, maka terkuburlah insurgensi komunis di Semenanjung Malaysia serta di Sarawak dan Sabah. Tahun 1990 merupakan bab terakhir saga komunis yang seolah-olah tidak berkesudahan di Malaysia.