SEJARAH

 

 

Latarbelakang Masjid Khalid Ibnu Al-Walid

Masjid Khalid Ibnu al-Walid adalah sebuah masjid yang dahulunya popular dengan nama Masjid KEMENTAH. Masjid ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pertahanan Malaysia Dato' Seri Dr Mahathir bin Muhamad pada tahun 1985. Masjid ini ditadbir sepenuhnya oleh anggota tentera dan awam yang bertugas di KEMENTAH. Para imam dan tenaga pengajar terdiri dari golongan profesional di kalangan anggota KAGAT yang bertugas di sekitar Lembah Kelang.

Masjid ini terletak di persimpangan jalan dan merupakan tempat yang paling strategi serta menarik perhatian orang ramai terutamanya warga KEMENTAH. Masjid ini sering dikunjungi oleh pembesar negara khususnya di dalam majlis rasmi Angkatan Tentera Malaysia. Berbekalkan suasana persekitaran yang menarik dan strategik menggamit orang ramai dan ahli jemaah untuk terus berkunjung ke masjid ini. Aktiviti masjid begitu padat dengan program yang bersilih ganti. Berdasarkan kriteria ini Ahli Jawatankuasa Pusat Masjid memikirkan untuk menukar nama masjid ini kepada sebuah nama yang lebih komersial. Justeru itu melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Masjid KEMENTAH yang dipengerusikan oleh YBhg Lt Jen Dato' Nawi bin Alias Ketua Staf Markas ATM dan semua Ahli Jawatankuasa bersetuju menamakan masjid ini dengan nama Masjid Khalid Ibnu al-Walid sesuai dengan peranannya sebagai Masjid Angkatan Tentera Malaysia.

 
 

 Siapa Khalid Ibnu al-Walid

 

Khalid ibnu al-Walid atau Abu Sulaiman adalah seorang tokoh pahlawan Quraish yang berpengaruh dan kuat penentangannya terhadap agama Islam. Beliau  merupakan pemuda yang paling berani dan cekap sebelum memeluk Islam. Semasa peperangan Uhud beliau telah dilantik dari kalangan bangsa Quraish sebagai ketua pasukan berkuda yang menggempur pasukan tentera Islam ketika itu.

 

Beliau memeluk Islam agak terkemudian berbanding sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang lain. Namun beliau telah memperlihatkan keikhlasan dan kesungguhannya untuk menyumbangkan kekuatan pedangnya bagi menegakkan kalimah Allah. Beliau telah menyertai Peperangan Mu'tah bagi menentang angkatan perang Romawi Timor (Parsi) yang berjumlah seramai 200,000 orang. Manakala tentera Islam ketika itu hanya sekitar 40,000 orang. Walaupun beliau baru memeluk Islam namun tentera Islam telah memberi kepercayaan kepadanya untuk memegang bendera selepas sahabat-sabahat lain gugur syahid dalam peperangan tersebut.

Beliau ditugaskan oleh Rasulullah SAW untuk menakluki Kota Mekah dari tangan Musyrikin Mekah ketika itu. Namun dengan kepintaran dan kebijaksanaannya Kota Mekah dapat ditawan dan ditaklukinya tanpa pertumpahan darah.

Semasa pemerintahan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq R.A beliau ditugaskan untuk memerangi orang-orang murtad yang dipimpin oleh Musailamatul al-Kazzab dalam peperangan Yamamah. Beliau memikul tugas dengan jaya dan cemerlang sehingga orang Muslimin mencapai kemenangan. Beliau juga terkenal sebagai pahlawan terbilang yang rendah hati. Rasulullah SAW pernah bersabda untuk menggambarkan kepahlawanan dan keberanian Khalid Ibnu al-Walid dengan sabdanya yang bermaksud: "Khalid Ibnu al-Walid adalah pedang Allah."