SAMBUT RAMADAN DENGAN RASA SYUKUR

 
RASULULLAH SAW telah menegaskan dalam satu hadisnya yang bermaksud:  “Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadan, bulan yang penuh dengan keberkatan.  Di mana Allah mewajibkan kepada kamu berpuasa, kerana pada bulan Ramadan dibukakan semua pintu syurga, dikuncikan pintu-pintu neraka dan di belenggukan syaitan, dan juga terdapat suatu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan, barang siapa terlepas daripada mendapat kebajikan pada malam ini, bererti tertegahlah kepada segala bentuk kebaikan.”
 

Yang menghairankan bagaimana kejadian buruk masih lagi berlaku, sedangkan di bulan Ramadan segala syaitan dan kuncu-kuncunya telah dirantai dan dibelenggu, umpat mengumpat misalnya menjadi bualan mulut, kata-kata dan kata-kata kesat masih meniti di bibir-bibir mulut, malah yang mengaibkan lagi ada juga sebahagiannya yang sanggup melakukan perkara-perkara yang mencemarkan imej Islam.


Matlamat
Keadaan ini terjadi kerana matlamat puasa kita itu belum lagi mencapai tahap yang dikehendaki iaitu tahap sebagai benteng pertahanan jiwa.  Seandainya jiwa belum lagi terbentuk sebagai benteng yang kukuh senanglah nafsu syahwat yang sedia ada dalam jiwa mengajak ke arah keburukan. Ramadan ialah perkataan Arab dari kata dasar “Ramada” yang membawa dua pengertian:   Pertama: Memberi makna sangat panas atau membakar kerana pada masa dahulu apabila tiba bulan yang ke sembilan takwim Qamariah atau Hijriah kebanyakan Jazirah ke Arab atau kumpulan Arab berada dalam keadaan yang begitu panas dan bahang.


Kedua: Ada yang mentafsirkan Ramadan itu merupakan bulan ganjaran pahala orang yang berpuasa Ramadan dapat menghapus dan meleburkan dosa-dosanya yang telah lalu berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:  “Barang siapa yang ingin menghayati kelebihan beribadat di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan kerana Allah sahaja akan mengampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu.”  Riwayat Bukhari dan Muslim.
Difahamkan dengan sangat panas itu kemungkinan kekurangan bahan air di dalam tubuh badan lantaran berpuasa di samping hari panas menyebabkan badan kita terasa panas, begitu juga cuaca di kebanyakan negara Islam pada umumnya panas ketika bulan Ramadan.  Namun begitu maksud yang tersirat hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui.
Kita harapkan kepanasan maknawi itu akan membakar dan meleburkan dosa-dosa dan kesalahan harian di samping penghidupan kita.


Ibadat puasa mempunyai hikmah dan rahsia-rahsia sama ada dari segi rohaniah, jasmaniah dan kemasyarakatan. Dari segi kerohanian ia boleh menundukkan nafsu jahat yakni naluri atau perasaan yang mendorongkan kepada kejahatan. Ibadat ini bukan sahaja terdapat di dalam syariat Islamiah, malahan di dalam syariat-syariat lain juga ada memfardukan ibadat puasa miskipun keyakinan jiwanya berlainan.


Hikmah puasa dari sudut rohani juga boleh menguatkan keperibadian, meluhurkan kesusilaan dan membersihkan jiwa insan.  Puasa juga sebagai latihan rohaniah yang mana setiap yang berpuasa wajib menahan diri daripada nafsu makan minum, nafsu kejantinaan dan mengawal moral yang rendah dan menyakitkan orang lain seperti mencela, caci maki, mengumpat, bercakap kotor dan mengikut keinginan nafsu. Untuk membentuk keperibadian yang mulia seorang pengarang Jerman, James Brooke menulis sebuah buku yang mana di dalam tulisannya beliau memuji hikmah berpuasa, katanya, “Untuk menguatkan perasaan dan jiwa hendaklah jadikan puasa ini sebagai pokok atau dasar hidup, kerana ia paling berkesan untuk mengawal pengaruh rohaniah keinginan jasmaniah. Jesteru itu manusia boleh menguasai dirinya sendiri agar tidak menjadi hamba kepada naluri kebendaan.”
Puasa dari sudut kesihatan dan rawatan penyakit. Ibadat puasa merupakan sebahagian daripada cara-cara yang paling berkesan menjaga kesihatan bertepatan dengan kata-kata seorang ilmuan yang bermaksud: “Maidah” atau perut besar merupakan sarang penyakit dan berpantang itu pokok kepada segala ubat.


Imam al-Ghazali juga memberi penjelasan iaitu: “Perut besar seseorang yang kenyang, maka tidur nyenyaklah akal fikiran dan kaku bekulah kecerdasan dan kebijaksanaan. Akhirnya malas dan lesu seluruh anggota badan daripada menunaikan ibadat.
Penjelasan dari Imam al-Ghazali itu dapat kita fahami bahawa kekosongan perut orang yang berpuasa bukanlah merupakan satu azab atau penderitaan kepada mereka sebaliknya ia merupakan satu langkah untuk memperolehi kecergasan rohani dan kesegaran jasmani kerana akal fikiran ketika berpuasa sedang membangun.


Ada orang beranggapan puasa boleh menjejaskan kesihatan. Dalam konteks ini memang kumpulan kecil yang perlu dikenal pasti supaya dapat nasihat daripada doktor berhubung dengan berpuasa. Ada penyakit seandainya seseorang itu berpuasa boleh menjanjikan kesihatan dan Allah SWT telah memberi rukhsah atau kelonggaran kepada mereka yang uzur supaya tidak berpuasa. Kalau dilihat Allah SWT pencipta manusia dan alam lebih mengetahui akan perkara yang paling baik untuk kejadiannya dan sudah termaktub di dalam Al-Quran akan kelonggaran tersebut.