Utama > Mengenai Kami > Yang Dipertua KSSKA
       YANG DIPERTUA KSSKA
 
LAKSAMANA TAN SRI AHMAD KAMARULZAMAN HJ AHMAD BADARUDDIN

PGAT PSM PJN SPTS SPMS DGPN DGSM PSAT DPMS PGDK PAT JMN SMS KAT KMN PJM PKN PPS PPA

The Order of King Abdulaziz (Excellent Grade) (Saudi Arabia) MBA (Strathclyde) MA (UKM) mpat psc

Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman menyertai Tentera Laut pada 24 Februari 1977 selepas menamatkan pengajian di Maktab Tentera Diraja. Beliau mengambil alih tampuk pemerintahan Tentera Laut Diraja Malaysia sebagai Panglima Tentera Laut Ke-16 pada 18 November 2015. Sepanjang 40 tahun berkhidmat, beliau telah memegang beberapa jawatan penting di dalam Tentera Laut dan tiga perkhidmatan termasuk Panglima Angkatan Bersama, Panglima Armada, Panglima Wilayah Laut 2 dan Asisten Ketua Staf (Rancang dan Operasi) di Markas Tentera Laut.

Beliau telah memperolehi Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada University of Strathclyde Business School, Scotland dan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan dan Perhubungan Antarabangsa (MA) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau turut menamatkan Program Eksekutif dalam Pentadbiran Perniagaan daripada Kenan-Flagler Business School, Universiti North Carolina Amerika Syarikat. Beliau juga merupakan Distinguished Graduate dalam bidang Peperangan Politik daripada Kolej Fu Hshing Kang, Republik Rakyat China.

Beliau adalah merupakan lulusan Naval War College, Newport, Rhode Island. Beliau juga telah menghadiri pelbagai kursus profesional dan ketenteraan di dalam dan luar negara termasuk International Surface Warfare Officer's Course di Sekolah Amfibi Tentera Laut Coronado, San Diego, Amerika Syarikat; Principal Warfare Officer Course di HMS DRYAD, Portsmouth, United Kingdom; Kursus Pengurusan Krisis Antarabangsa di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Kuala Lumpur dan pelbagai kursus serta kelayakan yang lain.

Beliau sering dijemput menjadi penceramah seminar dan konferens keselamatan maritim antarabangsa termasuk International Seapower Symposium (ISS) di Rhode Island, ASEAN Regional Forum (ARF) di India dan Kuala Lumpur, US Military Operations (MILOPS) Conference di Singapura, International Maritime Organization (IMO) Conference di Jakarta, Littoral Defense Conference di Singapura, Electronic Warfare Conference di London, ASEAN Navy Chiefs Meeting (ANCM) dan MIMA International Conference di Kuala Lumpur.

Sebagai pengiktirafan di atas jasa dan bakti yang telah dicurahkan, beliau telah dianugerahkan pelbagai pingat dan darjah kebesaran daripada dalam dan luar negara. Antara darjah kebesaran yang dikurniakan kepada beliau adalah Pingat Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri dan Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIV serta The Order of King Abdulaziz (Excellent Grade) daripada Kerajaan Arab Saudi.

Beliau telah berkahwin dan dikurniakan seorang anak lelaki. Beliau minat membaca dan merupakan seorang yang berwawasan.





 
   Copyright © 2018 Kelab Sukan, Sosial & Kebajikan ATM. All Rights Reserved. Visitor Hits : 14160