logo mafhq

PORTAL RASMI
MARKAS ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

(MAFHQ)

logo jata
 
gov1
MyGov
mod
MinDef
markas angkatan bersama
MK AB
tentera darat malaysia
TDM
tentera laut diraja malaysia
TLDM
tentera udara diraja malaysia
TUDM

logo mafhq
 

PORTAL RASMI
MARKAS ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

(MAFHQ)

 
logo jata

Timbalan Panglima Tentera Darat

 

tptd

LEFTENAN JENERAL DATO' HASAGAYA BIN ABDULLAH
PSAT DSAP DMSM PAT JSM KAT KMN PJM PNBB (Cambodia) PPS MDef Studies (Canberra) MSoc Sc in Def Studies (UKM) 
MSc National Security and War Studies (NDU Islamabad) nswc mpat psc

 

Leftenan Jeneral Dato’ Hasagaya telah dilahirkan pada 1 November 1963 di Segamat, Johor. Beliau menyertai Tentera Darat pada 1 Disember 1981 dan mengikuti latihan Pegawai kadet di Sekolah Pegawai Kadet, Port Dickson, Negeri Sembilan. Setelah setahun menjalani latihan, beliau telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 18 Disember 1982.

Leftenan Jeneral Dato Hasagaya mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan memegang pelbagai perjawatan pemerintahan, staf dan kejurulatihan. Sebagai pegawai infantri, jawatan pertama beliau adalah sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-6 RAMD pada tahun 1983. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Kompeni di Batalian Ke-9 RAMD (Para) pada tahun 1997 dan Pegawai Memerintah Batalion Ke-17 RAMD (Para) dari tahun 2003 hingga 2004. Kesinambungan tugas sebagai pemerintah diteruskan apabila beliau telah dilantik sebagai Timbalan Panglima 10 Briged (Para) pada tahun 2008 hingga 2011 dan seterusnya dilantik sebagai Panglima 3 Briged pada September 2011, Panglima 30 Briged pada September 2012 hingga Oktober 2013 dan Panglima 10 Briged (Para) pada tahun 2015. Beliau seterusnya memegang jawatan sebagai Panglima 3 Divisyen dari tahun 2016 hingga September 2018. Pada 19 September 2018, beliau telah dinaikkan ke pangkat Leftenan Jeneral dan dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat Ke-24.

Bagi cabang penugasan staf, beliau pernah menyandang beberapa jawatan penting iaitu sebagai Pegawai Staf 2 Gerak di Markas 10 Briged (Para), Pembantu Ketenteraan kepada Panglima Medan Tentera Darat, Pegawai Staf 1 Sumber Manusia di Cawangan Sumber Manusia dan Jabatan Arah Infantri, Pengarah Sekretariat Tentera Darat dan sebagai Ketua Pengarah Pembangunan di Cawangan Perancangan dan Pembangunan. Satu-satunya perjawatan beliau di Markas Angkatan Tentera Malaysia adalah sebagai Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan. Dalam bidang kejurulatihan pula, beliau telah berkhidmat sebagai Jurulatih di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat dari tahun 1991 hingga 1994. Beliau juga pernah bertugas dalam Program Pertukaran Pegawai Tentera Darat sebagai Jurulatih di Sekolah Infantri, Waiouru, New Zealand pada tahun 1995 hingga 1996. Beliau pernah berkhidmat sebagai Pemerhati Tentera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Kemboja (PBB - UNTAC) pada tahun 1993.

Pengalaman Operasi dan Latihan yang pernah disertai oleh Leftenan Jeneral Dato’ Hasagaya bin Abdullah antaranya ialah operasi di sempadan Malaysia - Thailand di antara tahun 1983 sehingga 1996 khususnya dalam OP KOTA FOXTROT/ECHO (Sempadan Malaysia Thailand) dan OPS INDERA (Pahang) menentang pengganas komunis. Beliau juga pernah dilantik sebagai Komander Operasi Tentera (NBOS) PDRM/ATM ASEAN SUMMIT 2015. Dari aspek latihan bersama dan gabungan, beliau berpengalaman sebagai Pengarah Latihan bagi Exercise Cooperation Afloat Readiness and Training (CARAT) antara ATM dan US Marines pada tahun 2008 dan sekali lagi bagi Exercise Land MALPHI antara Tentera Darat Malaysia dan Tentera Darat Filipina pada tahun 2012 dan terlibat secara aktif sebagai Pengarah Latihan dan Staf Perancang dalam Exercise Latgabma Malindo Darsasa dan Exercise Keris Strike.

Dari segi kelulusan akademik, Leftenan Jeneral Dato’ Hasagaya memiliki Master of Defence Studies dari University of Canberra, Australia, Master of Social Sciences in Defence Studies dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Master of Science in National Security and War Studies dari National Defence University, Islamabad, Pakistan. Antara kursus-kursus ketenteraan di luar negara yang pernah beliau hadiri adalah Australian Army Command And Staff College Course di Fort Queenscliff, Australia (1999), Advanced Security Cooperation Course di Asia Pacific Centre for Security Studies, Hawaii, Amerika Syarikat (2009), National Security and War Course di National Defence University, Islamabad, Pakistan (2012) dan High Defence Studies Course for Senior Officers Asia Pacific, di Madrid, Sepanyol (2015).

Berkat perkongsian rumah tangga Leftenan Jeneral Dato’ Hasagaya dan Datin Norhanita binti A. Hamid, beliau telah dikurniakan dengan lima orang cahaya mata. Hobi beliau adalah membaca dan beriadah.