logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

KUALA LUMPUR, 14 Mac 2023 - Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM dan isteri Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk Hajah Tengku Muhaini binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang juga Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM semalam telah menyantuni mantan-mantan Panglima Angkatan Tentera dan mantan Panglima Perkhidmatan dalam satu majlis khas di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, semalam.
Majlis bertemakan "Pengabdian, Pengorbanan dan Perjuangan Tanpa Sempadan" yang juga sempena Sambutan Hari ATM Ke-89 ini merupakan ruang kepimpinan ATM masa kini dalam menghargai jasa dan kepimpinan mereka yang diraikan di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim bersama para mantan kepimpinan ATM terdahulu. Panglima Angkatan Tentera menyifatkan majlis seumpama ini telah mencetus semangat dan iltizam kepimpinan terkini untuk terus memberikan yang terbaik kepada kecemerlangan organisasi keramat ini.

Dalam intipati ucapannya, beliau telah menyatakan sepanjang tempoh ATM ditubuhkan dan bakal memasuki usia 90 tahun pada 16 September ini, ATM telah menjadi semakin matang hasil pengalaman melalui pelbagai jenis ancaman dan cabaran. Justeru, meniti usia kematangan ini, ATM akan terus progresif berevolusi tanpa henti bagi memastikan ianya sentiasa relevan untuk mendepani cabaran lanskap keselamatan masa kini yang dibayangi persekitaran ancaman hibrid, sekaligus menjadikannya semakin kompleks dan tidak berketentuan. Sehubungan itu, ATM melalui pemerhatian dan analisis yang jitu, telahpun menyediakan pelan tindak untuk mengurangkan impak aturgerak angkatan dalam menangani ketidaktentuan keselamatan ini. “Hasilnya, Angkatan Tentera Malaysia berjaya menerbitkan dokumen Strategi Ketenteraan Negara atau SKN 2.0 pada Hari Ulangtahunnya yang ke-89 lalu. Dokumen ini menjelaskan perancangan strategi ketenteraan yang holistik serta inklusif bagi mentransformasikan angkatan ini kepada sebuah Angkatan Masa Hadapan yang mampu mencapai objektif-objektif ketenteraan, sekaligus membolehkan angkatan ini mendapat kelebihan strategik dalam apa jua keadaan.” Ujar beliau. Di samping menghargai jasa dan pengorbanan kepimpinan terdahulu, Panglima Angkatan Tentera turut menitipkan penghargaan buat pasangan atau isteri yang memimpin organisasi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) yang sentiasa cekal komited mentadbir-kelola perihal kebajikan ahli keluarga warga tentera demi manfaat semua pihak bersama.


‘’Keprihatinan mereka terhadap tugas menjaga kebajikan yang dibuat secara sukarela ini seharusnya diberikan pujian yang sewajarnya. Mereka faham tentang peri pentingnya perihal kebajikan ini serta peka akan implikasinya. Secara tidak langsung, kesedaran ini telah membangkitkan rasa belas kasihan yang tinggi untuk terus membantu nasib mereka-mereka yang memerlukan. Hasilnya, BAKAT pada hari ini terus berdiri teguh melaksanakan amanahnya. Usaha gigih serta pengorbanan Puan Sri-Puan Sri mantan Pengerusi Jemaah Tertinggi dan Pengerusi Jemaah Perkhimatan dalam meletakkan asas yang kukuh amatlah dihargai.’’ Ujar beliau lagi.
Dalam pada itu Panglima Angkatan Tentera turut menjemput semua yang hadir untuk menghadiahkan surah Al-Fatihah buat mantan-mantan Panglima Angkatan Tentera dan mantan-mantan Panglima Perkhidmatan yang telah kembali ke rahmatullah. Semoga segala jasa murni dan pengorbanan yang dicurahkan oleh mereka dicatat sebagai amal khair oleh Allah Subhanahu Wataala.


Turut hadir ke majlis ini ini ialah Timbalan Panglima Tentera Darat mewakili Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Bin Ab Rahman; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Bin Ayob dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Bin Goriman Khan TUDM dan para Pegawai Kanan ATM.

Lihat Galeri Gambar