logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

KUALA LUMPUR, 5 Januari 2023 – Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM telah mengiringi Menteri Pertahanan YB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad bin Hj Hasan menyempurnakan Majlis Amanat Tahun Baru 2023 yang dilaksanakan di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur pada pagi ini.


Disamping mengimbas kembali kejayaan yang berjaya dikecapi oleh Kementerian Pertahanan dan ATM sepanjang tahun 2022, majlis tersebut turut menjelaskan perancangan serta hala tuju Kementerian Pertahanan bagi tahun 2023. Dalam majlis ini juga, Menteri Pertahanan turut mengambil kesempatan untuk menzahirkan penghargaan kepada ATM atas kejayaan semasa menerajui NTF bersama agensi keselamatan lain dalam operasi cegah rintang di sempadan negara serta bantuan yang diberikan semasa tragedi Tanah Runtuh di Tapak Perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali dan bencana banjir yang melanda negara terutamanya di pantai timur baru-baru ini.


Pada tahun 2023 ini, Kementerian Pertahanan akan komited meneruskan agenda pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan (KPP) bagi tempoh 2021 – 2030 yang sokong menerusi Pelan Strategik MINDEF 2021-2025 dan penerbitan dokumen susulan bagi Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN), Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) dan Pelan Pelaburan Pertahanan Negara (3PN). Selain itu, sebanyak 281 perancangan perolehan dengan unjuran nilai RM 8 bilion bagi pelaksanaan pembekalan alat ganti dan penyelenggaraan aset-aset ketenteraan ATM. Antaranya Meriam 155 milimeter Self-Propelled Howitzer, pasang pulih KD LAKSAMANA, KD JERAI dan KD LEKIR untuk TLDM, serta penyelenggaraan pesawat C130 dan pembekalan alat-alat ganti pesawat-pesawat TUDM pada tahun 2023.


Menteri Pertahanan turut menekankan perancangan perolehan Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan Medium-Altitude Long Endurance Unmanned Aircraft System (MALG UAS) dan Light Combat Aircraft (LCA) akan diteruskan serta keupayaan domain siber dan elektromagnetik akan terus dipertingkatkan. Manakala perolehan Littoral Mission Ship (LMS) akan dibawa untuk pertimbangan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan selain komited untuk penyiapan projek pembinaan Littoral Combat Ship (LCS).
Dalam aspek pelestarian warga, rancangan pembinaan 12,000 Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dalam Blueprint Perumahan 3.0 akan diteruskan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Ke-13 (RMK-13). Pada tahun lepas, sebanyak 468 unit RKAT telah siap dibina dan ditambah 409 unit lagi pada tahun 2023 serta penambahan pembinaan Poliklinik ATM di Sungai Petani, Kluang, Kuantan dan Kuala Terengganu. Kebajikan veteran turut diberi perhatian menerusi program Peluang Kerjaya Kedua Veteran ATM dan Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM.


Menteri Pertahanan turut menekankan pengukuhan hubungan diplomasi pertahanan dengan negara-negara sahabat selain penglibatan aktif MINDEF dan ATM dalam memperkasakan keselamatan serantau antaranya seperti platform ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM), ASEAN Defence Ministers’ Meeting - Plus (ADMM- Plus) dan Five Power Defence Arrangements (FPDA).


Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly bin Zahari; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz; Pengurusan Tertinggi Kementerian Pertahanan dan para Panglima Perkhidmatan serta para pegawai kanan awam dan ATM.

Lihat Galeri Gambar