logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

PORT DICKSON, 3 Dis 2020 - Majlis Perbarisan Pembubaran dan Pemakaian Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (Pingat PNBB) kepada Malaysian Battalion 850-7 (MALBATT 850-7) telah disempurnakan oleh Jeneral Tan Sri Dato Sri Hj Affendi bin Buang TUDM, Panglima Angkatan Tentera pada 3 Disember 2020 bersamaan bertempat di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan.

Penganugerahan Pingat PNBB kepada Kontinjen MALBATT 850-7 adalah bagi mengiktiraf kejayaan Pasukan tersebut semasa menjalankan misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) di bawah PBB di Lubnan selama setahun mulai 17 Oktober 2019 lalu.

MALBATT 850-7 diketuai oleh Kolonel Khairul Anwar bin Soib selaku Komander MALBATT 850-7. Kontinjen MALBATT 850-7 dianggotai oleh seramai 850 anggota terdiri dari 80 pegawai dan 770 anggota lain-lain pangkat (LLP) termasuk 3 pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang Pegawai Awam Kewangan dari Kementerian Pertahanan.

Aturgerak pergerakan balik keseluruhan kontinjen MALBATT 850-7 ini telah dilaksanakan dalam 4 peringkat pergerakan bermula pada 2 Oktober 2020 hingga 16 November 2020 dengan menaiki pesawat sewa khas Malaysia Airlines (MAS) dari Beirut, Lubnan ke Pangkalan Udara TUDM, Subang. Misi seterusnya telah diambilalih oleh MALBATT 850-8 mulai 14 November 2020 juga selama setahun.

Sepanjang penugasan di bumi Lubnan, Kontinjen MALBATT 850-7 telah mempamerkan disiplin dan mutu kerja yang cemerlang sekaligus membuktikan keupayaan serta kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan misi pengaman di peringkat antarabangsa. Kontinjen MALBATT 850-7 juga berjaya mengekalkan reputasi baik selaku pasukan pengaman yang disegani oleh masyarakat setempat dan antarabangsa.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Panglima-panglima Perkhidmatan, Panglima Angkatan Bersama dan Pegawai-pegawai Kanan ATM.