logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

BUKIT KAYU HITAM, 2 Dis 2020 - Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM telah membuat lawatan kerja ke OP BENTENG Zon Utara, Sektor OP PAGAR II di bawah kawasan tanggungjawab Tentera Darat Malaysia hari ini.

Kawasan tangungjawab operasi sektor ATM di persempadanan Malaysia-Thailand merangkumi keluasan 1,089 km persegi dengan jarak 345 km dari keseluruhan 646.5 km panjang sempadan. Manakala, selebihnya adalah di bawah pengawasan Pasukan Gerakan Am (PGA). Dengan jarak yang luas dan panjang, penugasan ini memerlukan koordinasi aturgerak dan maklumat perisikan yang dikongsi secara bersama melalui koordinasi padu oleh National Task Force (NTF). Kesepaduan ini juga seterusnya dapat mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan dengan lebih berkesan.

Dalam rangka lawatan ini beliau telah meninjau beberapa pos kawalan daratan yang dioperasikan oleh trup ATM dengan kekuatan yang mencukupi pada setiap masa yang berupaya menjaga sempadan negara daripada dibolosi. Panglima Angkatan Tentera menegaskan bahawa ATM akan terus komited dengan peranan utamanya bagi memastikan kawalan keselamatan persempadanan Negara dipertingkat sebilang masa. Ini merupakan tanggungjawab dan peranan utama ATM bagi memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

Tegas beliau lagi, “Usaha ini juga memerlukan kolaborasi padu antara agensi-agensi penguatkuasaan dan keselamatan yang lain. Sepertimana pengoperasian OPERASI BENTENG melalui penubuhan National Task Force (NTF), ia merupakan kaedah penyatuan secara bersepadu antara 19 agensi keselamatan yang terlibat susulan arahan kerajaan agar kawalan persempadanan diperkasakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 melalui kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).”

Melihat kepada situasi semasa, laluan atau lorong tikus merupakan tumpuan bagi aktiviti jenayah rentas sempadan yang perlu diberi perhatian atas faktor ancaman yang bukan sahaja mengganggu-gugat kedaulatan negara malah risiko tindakan penjenayah yang boleh memberi ancaman keselamatan kepada anggota ATM itu sendiri. Dengan rondaan secara agresif dan kawalan keselamatan persempadanan secara menyeluruh, ia memberi halangan besar kepada modus operandi jenayah yang dipercayai berselindung di sebalik sindiket-sindiket tertentu yang menjurus kepada aktiviti jenayah berat dan bersenjata.

ATM sentiasa berusaha memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan persempadanan serta tidak menolak untuk mengaturgerak aset sedia ada yang bersesuaian bagi memastikan operasi dapat dilaksanakan secara berkesan sekaligus memberi perlindungan yang lebih baik kepada anggota-anggota ATM yang bertugas.

Kesemua ini dan termasuk pembinaan pos-pos baharu di persempadanan Malaysia-Thailand serta strategi-strategi peningkatan aspek kawalan keselamatan persempadanan akan diperhalusi keperluannya secara menyeluruh yang turut melibatkan perbincangan bersama agensi-agensi penguatkuasaan dan keselamatan lain sebagai langkah memperkasakan kawalan persempadanan. Perbincangan ini akan membuka ruang kepada sebarang penambahbaikan operasi-operasi yang sedang dilaksanakan.

ATM juga mempunyai platform untuk berhubung dengan negara jiran dalam membincangkan isu-isu yang mempunyai kepentingan bersama terutamanya isu keselamatan di sepanjang kawasan sempadan. Dalam konteks ini, Mesyuarat High Level Committee Malaysia-Thailand (HLC MALTHAI) akan digunakan sepenuhnya demi manfaat penyelesaian isu-isu keselamatan di kedua-dua buah Negara.

Operasi kawalan persempadanan ini bukan perkara baharu yang dilaksanakan kerana pandemik COVID-19. Kawalan operasi persempadanan ini baik daratan, perairan mahupun pemantauan ruang udara adalah tugas utama yang telah dilaksanakan sejak dahulu lagi. Ia bukan sahaja melibatkan ATM malah agensi keselamatan lain. Justeru, arahan kerajaan untuk merperkasakan kawalan persempadanan ini adalah tugas tambahan kepada usaha membanteras kemasukan PATI bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Namun, apa jua usaha yang dilaksanakan, kerjasama rakyat dalam menangani aktiviti jenayah ini amat diperlukan. Masyarakat harus tampil ke hadapan untuk menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat kepada pasukan keselamatan. Kerjasama daripada rakyat ini juga sekaligus menyumbang kepada konsep pertahanan menyeluruh melalui pendekatan secara ‘whole-of-government’ dan ‘whole-of-society’ seperti yang digariskan dalam pembetukan Kertas Putih Pertahanan.

Jenayah rentas sempadan serta aktiviti penyeludupan ini tidak pernah berhenti walaupun negara dan dunia kini menghadapi pandemik COVID-19. Tambahan dengan pelbagai pemerkasaan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh kerajaan demi mengekang penularan wabak berkenaan, sudah pasti memberi tekanan kepada mereka yang menjalankan aktiviti jenayah ini.

Panglima Angkatan Tentera juga turut mengadakan lawatan ke Markas Taktikal Bn 3 PGA untuk melihat persekitaran kawasan operasi di bawah tanggungjawab PGA. Terdahulu beliau telah diberi taklimat operasi Briged Utara PGA oleh Komander Briged Utara PGA, SAC Abdul Ghani bin Mohamad Ji berkaitan operasi yg dilaksanakan oleh pasukan tersebut di persempadanan Malaysia - Thailand serta dibawa ke kawasan penugasan pasukan PGA dan lokasi anggota PGA yang di tembak menggunakan senapang angin pada kejadian 24 nov lalu.

Turut hadir dalam lawatan ini adalah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain, Komander National Task Force, Laksamana Madya Dato’ Aris Adi Tan bin Abdullah dan Komander Briged Utara PGA, SAC Abdul Ghani bin Mohamad Ji.