logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

PUTRAJAYA, 10 Jun 2022- Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda (KDYMM SPB) Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah bercemar duli ke Istiadat Mengarak Panji-Panji KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong sempena Hari Keputeraan Rasmi Baginda bertempat di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya hari ini. Turut berangkat sama adalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Sempena istiadat ini sebanyak lima (5) Panji-Panji KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong diarak oleh kontinjen-kontinjen dari tiga (3) perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM) melibatkan Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Kor Armor Diraja (KAD) di samping Panji-Panji Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Istiadat ini melibatkan 131 pegawai dan 1,066 anggota lain-lain pangkat (LLP) di mana dari jumlah keseluruhan tersebut, seramai 57 pegawai dan 847 anggota LLP diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Fadzly bin Mohd Yasin, Pegawai Memerintah Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD) adalah mereka yang terlibat dalam perbarisan istiadat berkenaan. Sebanyak lima buah pesawat ATM turut terlibat iaitu tiga buah Helikopter EC725AP, sebuah Agusta 109 dan sebuah Superlynx yang membuat formasi terbang lintas hormat dengan membawa Bendera Jalur Gemilang, Bendera ATM, TDM, TLDM dan TUDM diketuai oleh Mejar Nazrul Nizam bin Ismail TUDM dari No 10 Skuadron bersama dengan Tembakan Kehormatan 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohammad Asri bin Che Wil. Keseluruhan perbarisan pada pagi ini diiringi oleh gabungan daripada pancaragam Angkatan Tentera Malaysia di bawah pimpinan Mejar (DOM) Muhamad Nor Azizan bin Yahaya.

Perbarisan mengarak panji-panji adalah satu istiadat gilang gemilang kepada ATM. Panji-panji merupakan satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat dan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh ATM terhadap Raja dan Negara. Penganugerahan panji-panji kepada perkhidmatan atau pasukan di dalam ATM merupakan pengiktirafan, penghormatan dan lambang kesetiaan sesebuah perkhidmatan/pasukan berkenaan kepada Raja dan Negara. Ianya juga dapat membangkitkan semangat juang yang tinggi dan menjadi kemegahan kepada sesuatu perkhidmatan/pasukan itu.

Istiadat ini diadakan 3 kali dalam tempoh lima (5) tahun pemerintahan bagi setiap Raja Melayu yang dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu bagi tahun pertama, tahun ketiga dan tahun terakhir pemerintahan. Selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2019, Istiadat ini yang sepatutnya diadakan pada tahun 2021 tidak dapat dilaksanakan atas penularan pandemik COVID-19 melanda seluruh negara. Tahun ini serta selaras dengan negara telah memasuki fasa Endemik, maka Seri Paduka Baginda telah berkenan untuk istiadat berkenaan dilaksanakan pada tahun ini.

Turut hadir dalam Istiadat ini adalah Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob serta isteri, YABhg Datin Sri Muhaini binti Zainal Abidin; Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Hussein serta isteri YM Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah; Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato' Sri Ikmal Hisham Bin Abdul Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM dan isteri YAM Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk Hjh Tengku Muhaini binti Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, Dato' Sri Muez bin Abd Aziz, Panglima-panglima Perkhidmatan, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, Pihak Pengurusan Tertinggi ATM dan Kementerian Pertahanan.

Lihat Galeri Gambar