logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

KUALA LUMPUR, 25 April 2022 - KDYMM SPB YDP Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Berbuka Puasa bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertempat di Masjid Khalid bin Al-Walid Kementah, Kementerian Pertahanan, hari ini. Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut oleh Menteri Kanan Pertahanan, Yang Berhormat Dato’ Seri Hishammuddin Hussein, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM dan para Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan serta ATM.


Majlis sempena Ramadan Al-Mubarak yang dihadiri sejumlah 800 orang warga ATM diadakan tahun ini setelah ia tidak dapat dilaksanakan sejak dua tahun sebelum ini akibat penularan Pandemik COVID-19. Melalui kelonggaran penganjuran majlis-majlis rasmi serta pematuhan SOP dalam fasa Endemik ini, ia merupakan satu kesyukuran kepada ATM dan menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda berdua atas kesudian berangkat ke majlis di peringkat ATM ini.


Sempena majlis ini juga, Seri Paduka Baginda Baginda berdua turut berkenan menunaikan solat magrib yang diimamkan oleh Mejar Dr Muhammad Syukri bin Hj Zahari bersama warga ATM serta tetamu jemputan lain. Mengambil kesempatan ini juga, Panglima Angkatan Tentera dan isteri Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Hjh Tengku Muhaini Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM 200.00 kepada para pelajar Sekolah Tahfiz dan Anak Yatim ATM (STAY) dan anak-anak yatim dari kalangan warga ATM yang turut dijemput hadir pada majlis ini.


Hadir sama di majlis ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM.

Lihat Galeri Gambar