logoweb

Open menu
info.png
ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

BERITA TERKINI & SEMASA

 PERHATIAN:   Telegram ATM medium saluran perkongsian informasi berkaitan ATM untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.


Aduan dan Pertanyaan  Soalan Lazim  Hubungi Kami 
Peta Laman    Carian    lang ms  lang eng      

TEMERLOH, 29 Disember 2021 - Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM telah mengiringi Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Seri Hishammuddin Hussein ke Kem Batu 3, Temerloh Pahang yang terjejas teruk akibat banjir.

Di dalam lawatan ini, beliau turut diberi taklimat berkaitan bencana banjir di kem berkenaan dan aturgerak ATM di Pahang yang disampaikan oleh Panglima 4 Briged Mekanize (Mek), Brigedier Jeneral Dato' Zahari bin Mohd Ariffin. Manakala taklimat operasi banjir Daerah Temerloh telah disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Temerloh. Beliau turut berkesempatan melawat beberapa Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan instalasi teknikal yang terjejas.

Seramai kira-kira 400 anggota termasuk anggota bujang dan kira-kira 700 ahli keluarga telah terkesan dengan bencana banjir yang berlaku dalam kem berkenaan pada 20 Disember lalu. Bencana banjir tersebut telah menenggelamkan sebahagian besar kem berkenaan.

Di dalam lawatan tersebut, Menteri Kanan Pertahanan juga telah mengarahkan bantuan segera disampaikan sebagai sokongan moral kepada anggota yang terkesan banjir di kem berkenaan tambahan terdapat kediaman sebahagian mereka yang sedang bertugas juga terjejas sehingga memaksa keluarga mereka berpindah ke PPS. Peruntukan tambahan juga akan disalurkan sebagai persediaan jika Kem Batu Tiga tersebut dilanda banjir gelombang kedua.

Sementara itu, di hantaran facebook, beliau turut menyatakan Kementerian Pertahanan Malaysia juga akan mendapatkan kediaman di sekitar kem yang kebiasaannya selamat ketika banjir untuk disewa bagi didiami kira-kira 30 keluarga jika berlaku gelombang kedua. Ini penting demi keselamatan dan moral mereka yang banyak berkorban semasa musim banjir ini.

Bagi meringankan beban mereka yang terjejas di Kem Batu Tiga ini, Kementerian Pertahanan Malaysia telah menghulurkan bantuan awal berbentuk wang tunai sebanyak RM500 kepada setiap keluarga. Ini sebagai tambahan terhadap bantuan RM1,000 yang diumumkan Perdana Menteri dan bantuan RM500 yang diumumkan Kerajaan Negeri Pahang.

Selain wang tunai, Kementerian turut membekalkan bakul makanan serta kelengkapan asas rumah seperti peti ais, cerek, dapur, periuk nasi, bantal, tilam, cadar, selimut dan katil di samping menyalurkan peruntukan RM10,000 khusus untuk Sekolah KAFA di kem berkenaan bagi tujuan membaik pulih kerosakan.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana terus memberi perhatian dengan membekalkan tenaga elektrik sementara ke kem berkenaan dengan menggunakan generator. Namun beliau berharap agar bekalan elektrik di kem ini dapat dipulihkan segera oleh TNB kerana ia amat penting bukan sahaja untuk pengoperasian kem malah untuk kegunaan penghuni di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) kem berkenaan.

Turut hadir sama dalam tinjauan ini adalah Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Seri Wan Rosdy bin Wan Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato' Sri Muez bin Abd Aziz, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Pahlawan Mohammad bin Ab Rahman, Panglima 3 Div, Mejar Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar bin Haji Shamsudin, dan Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Azhar bin Mohd Yusoff serta agensi lain.

Lihat Galeri Gambar